SERANGAN Daesh ke atas sebuah penjara di Syria baru-baru ini yang merupakan operasi terbesar kumpulan berkenaan sejak bertahun-tahun lalu sekali gus menggambarkan bahawa Daesh mungkin muncul semula di negara itu. Pada minggu lalu, lebih 100... Klik di sini untuk terus membaca

SERANGAN Daesh ke atas sebuah penjara di Syria baru-baru ini yang merupakan operasi terbesar kumpulan berkenaan sejak bertahun-tahun lalu sekali gus menggambarkan bahawa Daesh mungkin muncul semula di negara itu.

Pada minggu lalu, lebih 100 anggota kumpulan itu menyerang penjara Ghwayran di bandar Hasakeh, utara negara berkenaan dengan menggunakan bom bunuh diri dan senjata berat sekali gus menyebabkan sejumlah tahanan meloloskan diri.

Serangan itu juga menyebabkan pertempuran selama beberapa hari berlaku antara Daesh dengan pihak berkuasa Kurdis.

Pertempuran antara kedua-dua pihak memasuki hari kelima pada hari Isnin lalu dengan lebih 700 orang yang berada dalam jel tersebut berusia di bawah umur.

Sebuah agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa mereka boleh direkrut untuk menganggotai Daesh secara paksa.

Seorang pakar kumpulan berkenaan, Aymenn Jawad al-Tamimi menyatakan bahawa serangan ke atas penjara itu merupakan operasi paling canggih Daesh di Syria sejak apa yang disebut sebagai pemerintahan khalifah tumbang pada tahun 2019 di Baghouz.

Ratusan penduduk Syria melarikan diri dari bandar Hasakeh selepas penjara Ghwayran diserang oleh Daesh. - Foto AFP

LETUPAN TERANCANG

Dalam satu kenyataan daripada cabang propaganda Daesh iaitu Amaq, kumpulan tersebut menyatakan ia melakukan operasi terancang yang dimulakan dengan letupan dua bom trak di pintu luar penjara berkenaan pada Khamis malam.

Anggota-anggota kumpulan tersebut kemudian melakukan serangan, kata kenyataan itu, manakala sejumlah tahanan di dalam jel berkenaan menyerang sebuah bilik simpanan senjata dan menawan sebilangan banduan.

Daesh mendakwa ratusan tahanan dibebaskan setelah anggota-anggota kumpulan berkenaan menyusup ke beberapa bahagian penjara berkenaan tetapi masih belum jelas berapa ramai banduan yang berjaya melarikan diri.

Lebih 150 orang dan puluhan pejuang Kurdis telah terbunuh, menurut Badan Pemantau untuk Hak-Hak Asasi Manusia Syria yang beribu pejabat di Britain.

Pada Isnin lalu, pasukan Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin oleh puak Kurdis dan disokong oleh pasukan tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk menangkap anggota-anggota Daesh.

Justeru, menurut pakar Daesh itu, kemungkinan kumpulan berkenaan dapat melakukan operasi berskala besar yang lebih canggih berikutan pembolosan anggota-anggotanya dari jel tersebut.

Namun, Aymenn menambah, kejayaan itu sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan kemampuan kelompok berkenaan yang pada tahun 2014 yang berjaya menguasai banyak kawasan di Syria dan negara jirannya, Iraq.

Bagaimanapun, serangan di penjara Ghwayran itu adalah langkah ke arah itu, menurut seorang penganalisis kanan, Nicholas Heras dari Institut Newlines di Washington, AS seperti dilaporkan oleh AFP.

Beliau berkata, kumpulan itu perlu membebaskan anggota-anggotanya dari penjara.

Berikutan itu, lebih banyak operasi seperti itu dijangka berlaku pada masa depan disebabkan oleh SDF kekurangan sumber untuk mempertahankan penjara yang menempatkan anggota-anggota Daesh.

PBB dalam laporannya pada tahun lalu menganggarkan bahawa kira-kira 10,000 pejuang Daesh aktif di seluruh Iraq dan Syria, kebanyakannya dari di kawasan yang dikuasai puak Kurdis.

Pihak berkuasa Kurdis pula menyatakan bahawa kira-kira 12,000 suspek Daesh yang memegang lebih 50 kewarganegaraan ditahan di beberapa penjara di bawah kendalian mereka di timur laut Syria.

Isteri dan anak-anak tahanan tinggal di kem pemindahan yang sesak dan semakin menjadi pusat ekstremisme serta radikal.

Charlie Winter iaitu seorang pakar Daesh pula menyatakan bahawa walaupun serangan di wilayah Hasakeh mungkin tidak memberi kesan langsung tetapi secara simboliknya ia memberi kesan yang sangat besar.

"Saya tidak melihat para penyokong Daesh dalam talian teruja seperti ini," kata Winter yang memantau saluran media sosial kumpulan jihad.

Serangan itu berlaku ketika Syria masih dalam kancah Perang Saudara yang meletus sejak tahun 2011 dan ketika negara berkenaan masih ditadbir oleh Presiden Bashar al-Assad. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca