KEPENTINGAN peranan petani dalam menjana pengeluaran makanan dalam negara tidak dipandang remeh. Salah satu program mega yang bermula pada akhir tahun 2019 ialah program penanaman padi pulut di Langkawi.
Pada peringkat awal, hanya seramai 27 peserta bersetuju untuk menyertai program rintis itu dan dengan keluasan tanah 39 hektar. Hasil yang diperoleh boleh menjangkau lebih kurang 3.5 tan untuk satu hektar.
Harga padi pulut lebih mahal berbanding padi biasa iaitu RM1,960 untuk satu tan. Ini yang menarik perhatian petani untuk terlibat sama dalam program ini.
Oleh itu, agensi di bawah naungan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian, Mardi dan Bernas menggembleng tenaga untuk menambah baik program ini dari masa ke masa dengan memberi fokus kepada perataan tanah menggunakan traktor perataan tanah berlaser, saliran dan pengairan, biji benih berkualiti dan paling penting latihan kepada petani.
Ini bagi memastikan hasil pengeluaran padi pulut meningkat ke lima tan perhektar. Akhirnya pada tahun 2021, jumlah peserta meningkat kepada lebih 300 peserta dengan keluasan tanah bersaiz 520 hektar.
Penanaman padi pulut secara pertanian moden ini menggunakan kaedah transplanting di mana kaedah lama menabur biji benih atau menanam anak pokok padi pulut secara manual tidak lagi digunakan. Kini, traktor kecil digunakan untuk menanam anak pokok padi pulut dan petani perlu memastikan sawah mereka bersih dari rumput liar.
Anak pokok padi pulut ini kelihatan berbaris dan tersusun mengikut aturannya. Petani akan ke sawah pada setiap pagi dan lewat petang untuk membuang rumput liar dan memastikan pokok padi pulut dapat tumbuh dengan baik.
Dron digunakan untuk menabur baja dan menyembur racun. Petani memaklumkan kos upah pekerja meracun ialah RM60 sedangkan kaedah menyembur racun menggunakan dron adalah RM20 untuk satu hektar yang mengambil masa tidak sampai 15 minit.
Penyedia perkhidmatan menerbangkan dron bukan sembarangan kerana mereka mempunyai sijil kelayakan untuk menerbangkannya mengikut tahap ketinggian, faktor angin dan cuaca ketika menabur baja dan racun supaya setiap anak pokok ini mendapat taburan sama.
Padi pulut akan masak dan dituai pada hari ke-140. Ia perlu dituai segera untuk memastikan kualiti padi pulut. Traktor menuai padi pulut moden ini yang dapat meningkatkan kadar pengambilan hasil ketika menuai.
Hasilnya terus dimasukkan ke dalam lori untuk dibawakan ke pusat belian. Hasil pengeluaran padi pulut dibawa ke kilang Bernas di Kedah untuk diproses dan setelah diproses, produk akhir ini diserahkan semula kepada PPK di Langkawi.
Pembangunan tanah dan fasiliti pertanian disediakan MAFI kepada petani yang mengikuti program ini. Ini bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi pulut di Langkawi dan memenuhi permintaan terhadap pulut dalam negara. Program ini juga memberi alternatif kepada petani selain menanam padi di sawah, pulut juga adalah tanaman sesuai untuk dihasilkan di Pulau Langkawi.
Bagi memantapkan usaha dan minat berterusan terhadap penanaman padi pulut, setiap petani terutamanya mereka berumur 40 tahun ke bawah sewajarnya memainkan peranan lebih produktif untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran penanaman serta penjagaan padi pulut dari awal hingga ke musim menuai, dengan menghadiri latihan berterusan tentang peningkatan hasil pengeluaran padi pulut ini.
Selain itu, mereka sewajarnya diberi pendidikan dan mengusahakan perusahaan penanaman pokok padi pulut kaedah transplanting. Ini untuk memenuhi permintaan sangat tinggi, tambahan pula penanaman anak pokok juga perlu dilakukan mengikut masa bagi mengelakkan musim kemarau tiba.
Petani yang kreatif dan inovatif di Langkawi ini dapat dihasilkan jika mereka mempunyai kesedaran bahawa peranan mereka amat besar dalam meningkatkan sekuriti makanan dalam negara.
* Dr Askiah Jamaluddin daripada Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca