TERBUBARNYA Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada minggu lalu bukanlah satu perkara pelik kerana pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) seakan-akan sudah menjadi trend politik popular negara masa kini. Hal ini sudah menjadi satu norma... Klik di sini untuk terus membaca

TERBUBARNYA Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada minggu lalu bukanlah satu perkara pelik kerana pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) seakan-akan sudah menjadi trend politik popular negara masa kini.

Hal ini sudah menjadi satu norma politik, apatah lagi selepas beberapa siri PRN menyaksikan BN menang bergaya di Perak manakala Gabungan Parti Sarawak menang besar di bumi Kenyalang.

PRN Johor yang bakal diputuskan tarikh pelaksanaannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Februari hadapan, menjadikannya PRN keempat selepas Sabah, Melaka dan Sarawak yang diadakan di luar Pilihan Raya Umum (PRU).

Sudah tentu UMNO dan BN berkeyakinan besar mampu mengulangi kemenangan majoriti dua pertiga pada PRN Melaka.

Keyakinan itu berdasarkan momentum sokongan rakyat terhadap parti itu di samping kedudukan blok pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang berada dalam keadaan paling lemah.

Namun, ramai pemerhati politik berpandangan PRN Johor adalah ‘game-changer’ yang mungkin menjadi refleksi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal ini memandangkan terdapat satu faktor tambahan paling penting yang bakal mengubah landskap politik negeri berkenaan - kehadiran hampir 750,000 pengundi baharu, berusia 18 tahun ke atas dan atas pagar - yang didaftarkan mengundi secara automatik oleh SPR.

KARAKTER PENGUNDI MUDA

Dengan jumlah keseluruhan pengundi bagi PRN Johor kini meningkat kepada 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada PRU14, parti manakah yang bakal menerima manfaat besar daripada kek pengundi baharu berkenaan? Persoalan ke mana aliran sokongan 28 peratus pengundi baharu ini bakal disalurkan terlebih dahulu bergantung kepada karakter pengundi itu sendiri.

"Sekiranya pengundi baharu merupakan anak muda tidak cakna atau tidak berpengetahuan politik, kesedaran mereka adalah amat rendah dan berkemungkinan enggan keluar mengundi bila sampai waktunya.

"Karakter pengundi baharu kedua adalah mereka terikat pengaruh ibu bapa atau keluarga dengan golongan ini kebiasaannya akan mengundi parti konservatif disokong keluarga seperti UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

"Satu lagi karakter pengundi baharu menarik untuk diperhatikan adalah pengundi atas pagar yang mudah dipengaruhi dengan sentimen semasa dan tidak bersikap kepartian. Kelompok pengundi ini kebiasaannya mewakili 60 hingga 65 peratus daripada bahagian pengundi baharu,” kata penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali kepada Sinar Premium.

Berdasarkan tiga karakter pengundi baharu yang dihuraikan Mazlan, beliau percaya sekurang-kurangnya 20 peratus daripada mereka akan menyokong parti pemerintah iaitu UMNO dan PN sekiranya suasana politik sepanjang PRN Johor diadakan adalah tenang, tidak dibayangi isu-isu nasional besar sehingga mewujudkan ‘kelesuan’ politik.

Hal ini memandangkan Johor pernah menjadi kubu kuat UMNO dan BN serta dianggap sebagai tempat lahir parti itu yang turut memberi kesan sentimental kepada pengundi muda Melayu sendiri.

Carta pie pengundi baharu.

"Namun, sekiranya berlaku pelbagai gelombang politik ‘panas’ sepanjang PRN yang akhirnya membangkitkan kemarahan anak muda seperti skandal integriti Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kenaikan harga barang serta tuntutan pengeluaran wang Kumpulan Wan Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya tidak menolak kemungkinan senario itu akan mencetuskan keghairahan pengundi baharu serta atas pagar untuk balik mengundi, sekali gus memberi kelebihan kepada blok pembangkang susulan unjuran menunjukkan 60 hingga 65 peratus pengundi baharu bakal keluar dan balik mengundi.

"Perlu diingat, jumlah pengundi Cina pada PRN Johor adalah mewakili 37.8 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta pengundi dan sebahagian besar pengundi muda daripada segmen ini bakal menjadi ‘kingmaker’,” ujar Mazlan lagi.

Sekalipun majoriti pengundi baharu berpihak kepada blok pembangkang, ramai pemerhati politik berpendapat senario itu tidak semestinya menguntungkan mereka terutama PH.

PENGUNDI DIAM

Bahkan, dengan PH kini berdepan krisis kepimpinan dalam kalangan parti- parti utama mereka selain kemunculan kuasa ketiga baharu, Parti Warisan (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) yang semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda, terdapat kebimbangan koalisi Warisan-Muda akan mencuri undi penyokong tegar PH.

"Atas faktor itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akhirnya turut mempertimbangkan idea khemah besar pembangkang bagi menggabungkan semula parti-parti dalam blok pembangkang termasuk Warisan, Muda dan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang).

"Namun, realitinya cadangan itu sukar dilakukan memandangkan keyakinan pengundi Cina terhadap DAP dan Anwar semakin terhakis selain pengundi atas pagar melihat PH tidak berkeupayaan untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya mereka sebagaimana selepas PRU14,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Menyentuh mengenai peluang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meraih sebahagian 'kek' sokongan pengundi baharu pada PRN Johor kelak, Mazlan berpandangan kedua-dua parti itu sukar meraih sokongan daripada pengundi baharu.

Hal ini disebabkan sikap kedua-dua parti itu yang agak pasif dan lebih berdiam diri pada saat isu skandal integriti Azam mencetuskan kemarahan terutama dalam kalangan golongan muda berpelajaran di negara ini.

"Peluang tetap ada, cuma mereka hanya dapat peratusan kecil sahaja, sebagaimana trend pengundi saluran empat dan lima pada PRN Melaka yang tidak begitu membantu kemenangan kerusi ditandingi mereka kelak,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca