BANJIR merupakan fenomena semula jadi yang sering memberikan kesan sangat signifikan kepada pemilik dan pemain industri hartanah di Malaysia. Selain memberikan impak kepada nilai kerosakan harta benda dan bangunan, banjir juga meninggalkan... Klik di sini untuk terus membaca

BANJIR merupakan fenomena semula jadi yang sering memberikan kesan sangat signifikan kepada pemilik dan pemain industri hartanah di Malaysia.

Selain memberikan impak kepada nilai kerosakan harta benda dan bangunan, banjir juga meninggalkan memori mendalam dari aspek mental dan fizikal mangsanya.

Pada lazimnya, masyarakat kini secara keseluruhannya kurang mengambil berat aspek bencana alam dalam membuat keputusan untuk pembelian hartanah terutamanya rumah kediaman.

Ramai juga merasakan dengan memiliki unit kediaman jenis strata seperti kondominium, mereka akan terlepas daripada isu bencana alam seperti banjir. Jika unit kondominium juga boleh dimasuki air apabila berlakunya banjir besar, fikirkan bagaimana pula keadaannya jenis kediaman lain?

Apakah ada lagi pilihan jenis kediaman selamat bagi penduduk Malaysia pada masa kini? Kondominium dianggap sebagai antara pilihan unit kediaman yang mampu menjanjikan kualiti hidup mewah dan berprestij kepada penghuni dan pemiliknya.

Dilengkapi pelbagai fasiliti seperti kolam renang, gimnasium, kawasan permainan kanak-kanak, kedai serbaneka, dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan termasuk lif dan sistem keselamatan bangunan dengan kawalan 24 jam. Namun apabila banjir melanda semua kemudahan dan sistem keselamatan bangunan ini lumpuh sama sekali.

Kejadian banjir pada 18 Disember lalu telah membuka mata dan menukar paradigma masyarakat dalam aspek pemilihan lokasi hartanah yang ingin mereka miliki terutama melibatkan pembelian hartanah kediaman.

Bagi memastikan pelaburan dalam sektor hartanah dapat dilindungi dalam jangka masa panjang, pembeli rumah dan pelabur perlu memastikan hartanah yang ingin dimiliki itu terletak di kawasan selamat daripada bencana alam terutamanya banjir.

HENTI LIF

Justeru, banjir yang melanda ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada semua jenis hartanah di kawasan bencana. Peristiwa banjir mengakibatkan bangunan kondominium yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan juga tidak dapat beroperasi seperti sediakala semasa banjir. Penghuni kondominium yang membayar yuran perkhidmatan bangunan juga tidak dapat lagi menikmati fasiliti disediakan.

Pada lazimnya, apabila bangunan kondominium dimasuki air semasa peristiwa banjir terjadi, secara amnya kawasan aras bawah akan terjejas. Pihak pengurusan bangunan akan mula menghentikan penggunaan lif dan bekalan elektrik bagi keseluruhan bangunan kondominium.

Secara tidak langsung sistem keselamatan bangunan juga akan terjejas dan kawalan keselamatan terpaksa dijalankan secara manual. Bangunan kondominium juga terdedah kepada pencerobohan dari pihak luar terutamanya apabila sistem kawalan pintu keluar dan masuk ke dalam bangunan juga boleh diakses tanpa kawalan.

Palang kawalan bagi memasuki kawasan tempat letak kereta dan sistem kamera litar tertutup juga tidak lagi berfungsi. Risiko kecurian dan pecah rumah juga kemungkinan besar akan berlaku semasa banjir.

Kejadian bertambah buruk lagi apabila lif tidak lagi berfungsi dan penghuni terpaksa bergelap dan berada di unit kediaman masing-masing sehingga banjir reda dan keadaan keselamatan bangunan kembali seperti biasa.

Kerisauan juga timbul sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dalam kalangan penghuni jika ada mengalami masalah kesihatan atau kematian ketika perkhidmatan lif tidak berfungsi dengan ketinggian kondominium tidak sesuai di akses menggunakan tangga kecemasan.

Justeru, pihak pengurusan bangunan kondominium kini perlu lebih proaktif dalam memastikan sistem keselamatan bangunan dapat dikawal dengan baik. Pelan tindakan semasa berlakunya krisis bencana alam dan kecemasan perlu dipraktikkan bagi memastikan penghuni dan bangunan kondominium berada dalam keadaan selamat.

* Dr Siti Hafsah Zulkarnain ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara

Klik di sini untuk terus membaca