SHAH ALAM - Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendedahkan beliau tidak pelik jika ada pemimpin tertentu dalam parti itu yang cuba membakar 'jambatan' penghubung kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendedahkan beliau tidak pelik jika ada pemimpin tertentu dalam parti itu yang cuba membakar 'jambatan' penghubung kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ini kerana bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu mendedahkan memang ada pihak tertentu yang kurang selesa dengan kerjasama dibentuk antara kedua parti itu sejak awal lagi.

"Ada yang kurang mesra MN sejak awal lagi. Kalau sekarang ada yang membakar jambatan tiada yang pelik, ramai yang sebegini daripada kedua belah pihak, namun ia tidak menghalang untuk kita terus memperjuangkan perpaduan umat.

"Sekiranya Pas dan UMNO gagal untuk bersatu pada platform politik berpilihan raya, kita masih bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan rakyat," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi berkata, budaya politik matang sejahtera masih menjadi sebahagian dasar Pas dalam membawa politik dakwah.

"Usahlah serang-menyerang. Ambillah politik damai menghormati pilihan masing-masing. Teruskan berdoa yang terbaik untuk umat," katanya.

Mohd Khairuddin

Untuk rekod, hubungan Pas dengan UMNO dilihat semakin renggang selepas Tan Sri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin UMNO yang seolah-olah lupa diri walaupun Pas bertungkus lumus menyelamatkan parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden Pas itu menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan MN.

"Pas bukan mahu mengajar itik berenang, kita cuma nak selamatkan itik yang patah kaki dalam PRU14. tetapi malangnya, apabila kaki sudah sembuh, itik itu mahu berenang sendiri dan tinggalkan kita. Benda ini tidak bermoral," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Terengganu pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Pas supaya berhenti memalukan diri sendiri dengan terus menagih simpati dan seperti 'gila talak' untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Nur Jazlan berkata, perkara itu hanya menunjukkan Pas seperti terhegeh-hegeh selain menyifatkan parti itu sudah hilang arah selepas mempunyai dua 'suami' dalam perkahwinan berbeza.

"Sudah-sudahlah Pas, drama ini sudah boleh dihentikan, itu masalahnya bila kahwin dua, tiada pendirian, bila mereka sudah merasa gagal dapat kerusi DUN ketika bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, mereka ratib pula mahu bersama UMNO untuk PRN di Johor.

"Saya rasa jika benar UMNO mahu beri mereka peluang, sudah lama kita berbincang untuk kerjasama ini (PRN Johor), jadi saya mahu nasihatkan terimalah suratan takdir.

"Jika menyebut soal pendirian, saya rasa Pas sendiri sudah memilih siapa yang mereka mahu bersama dan PRN Melaka bukti mereka tolak untuk bekerjasama dan mahu melawan UMNO," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin menyatakan masih ada masa lagi untuk parti dan UMNO mengadakan rundingan bekerjasama pada PRN Johor.

Beliau berkata, ia berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Johor dalam masa beberapa hari lagi iaitu pada 9 Februari depan.

Berikutan itu, Nur Jazlan berkata, daripada apa yang berlaku, Pas juga dilihat terus menterjemah sikap tidak ikhlas dalam perjuangan partinya apabila terus mengejar UMNO dan meninggalkan Bersatu yang merupakan rakan komponen sah dalam PN.

Klik di sini untuk terus membaca