SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, perolehan yang sepatutnya dilaksanakan mengikut jadual termeterai dalam kontrak bernilai tinggi agensi pertahanan dan keselamatan negara kerap menghadapi masalah. Salah satu komponen utama dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, perolehan yang sepatutnya dilaksanakan mengikut jadual termeterai dalam kontrak bernilai tinggi agensi pertahanan dan keselamatan negara kerap menghadapi masalah.

Salah satu komponen utama dalam mana-mana sistem perolehan adalah pihak yang bakal membekal atau menghasilkan produk akan dibeli agensi pertahanan dan keselamatan.

Jika dilihat kepada kes kelewatan penerimaan aset utama, kita tidak boleh lari daripada fakta bahawa sebahagian besarnya melibatkan pembekal dan pemain industri tempatan.

Memburukkan lagi keadaan, kejadian ini berlaku berulang-ulang seakan tidak memberikan kesedaran kepada pihak yang diberi tanggungjawab.

Sejarah penghasilan kapal New Generation Patrol Vessels (NGPV) Kelas Kedah pada tahun 1998 oleh firma tempatan PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-ND) adalah amaran awal. Program ini untuk menghasilkan enam kapal pertama daripada keseluruhan 27 buah. Nilai kontrak enam kapal ini dianggarkan RM5.35 bilion.

Ia bagi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), namun seakan menjadi petanda permulaan musibah yang sehingga hari ini terus membelenggu industri pertahanan maritim negara.

Pengerusi Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan berlakunya penyelewengan dalam program ini. Antara isu paling mengejutkan ialah 40 syarikat yang menjadi vendor dan kontraktor terlibat dalam pembinaan NGPV diancam ‘gulung tikar' akibat bayaran tertunggak mencecah sehingga RM180 juta yang tidak dilunaskan oleh PSC-ND turut diberi suntikan dana tambahan berjumlah RM120 juta untuk menyiapkan dua kapal pertama.

Episod buruk ini berakhir apabila pengurusan baharu dilantik dan firma Boustead mengambil alih PSC-ND. Kedua kapal akhirnya ditauliah ke dalam perkhidmatan TLDM, dua tahun lewat dari tarikh penyerahan sepatutnya.

Kini peristiwa sama seakan berulang dengan kelewatan platform permukaan termoden TLDM iaitu pembinaan kapal Litoral Combat Ship (LCS) Kelas Maharaja Lela. Kerajaan meluluskan permohonan perolehan enam buah LCS di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 kepada pihak Boustead. Tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 dengan nilai RM9 bilion.

Namun, sehingga 31 Oktober 2021, tahap kemajuan pembinaan LCS hanya 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 96.57 peratus. Ini bermakna kapal LCS pertama yang sepatutnya mengikut kontrak diterima TLDM pada tahun 2019, berkemungkinan akan hanya diterima pada 2025! Bahana ini bukan sahaja menimpa TLDM, tempias kelewatan atau mungkin ‘kegagalan’ perolehan platform turut dirasai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pada awal 2017, firma TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan Destini Berhad berjaya mendapatkan kontrak untuk membina tiga kapal ronda pesisir pantai kelas Tun Fatimah untuk APMM bernilai RM738.9 juta.

Tempoh pembinaan kapal pertama adalah 42 bulan selepas kontrak dimuktamadkan, dan penyerahan dijangka pada Februari 2020. Namun sehingga hari ini APMM masih menanti perolehan kapalnya.

Agensi seperti TLDM dan APMM terpaksa beroperasi dengan keupayaan lebih rendah, aset sedia ada terpaksa digunakan lebih kerap daripada sepatutnya dan keupayaan teknologi terkini pada platform baharu tidak dapat direalisasikan.

Satu penilaian yang telus, dipercayai, tanpa memilih bulu atau kroni mesti dilaksana. Ini untuk mengenal pasti bagaimana dan kenapa pemain industri pertahanan gagal memenuhi obligasi penyerahan aset mengikut masa ditetapkan dalam kontrak bernilai tinggi seperti ketiga-tiga platform yang disebut.

Rakyat yang telah berhempas pulas, membanting tulang memperuntukkan dana melalui pelbagai kutipan cukai mempunyai hak untuk tahu apakah dana mereka diguna dengan bijak bagi melindungi kedaulatan negara. Apakah wang disalurkan kerajaan kepada industri pertahanan digunakan sebaiknya.

Industri pertahanan tempatan mestilah mempunyai integriti dan akauntabiliti. Benteng pertahanan negara mampu dileraikan bukan sahaja dengan senjata musuh, tetapi juga di bilik mesyuarat korporat, padang golf dan pusat hiburan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca