SEJAK beberapa minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) berulang kali memberi amaran tentang ancaman pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan rasa khuatir secara ‘berlebih-lebihan’ itu nyata tidak disenangi Kiev.
Ukraine bagaimanapun menolak ancaman tersebut malah Presiden Volodymyr Zelensky dan pegawai kerajaan cuba untuk meredakan kebimbangan ramai termasuk Barat dengan menyatakan mereka tidak melihat terdapat risiko yang wujud untuk peperangan tercetus seperti ketika konflik Kiev-Moscow bermula kira-kira lapan tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar menerusi Facebook memaklumkan jumlah penempatan pasukan tentera Rusia di sempadan tidak mencukupi untuk kempen pencerobohan berskala besar pada bulan ini seperti didakwa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.
"Presiden Rusia, Vladimir Putin sebenarnya cuba menggunakan helah itu untuk memeras ugut Barat dan memberi tekanan kepada Kiev. Matlamat taktikal Kremlin adalah untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat, menyemai rasa takut dan menggugat kestabilan dalaman,” ujarnya.
Kiev khuatir jika ketakutan dan panik melampau itu boleh menjejaskan ekonomi negara itu dan mencetuskan krisis politik selain memecahbelahkan hubungan antara AS dan Ukraine walaupun Washington tetap menzahirkan kedudukan mereka yang menentang sebarang pencerobohan Rusia.
"Segalanya masih terkawal. Tiada sebab perlu panik,” tegas Zelensky pada awal minggu lalu menerusi ucapannya yang lebih memfokuskan tentang isu Covid-19 berbanding krisis dengan Rusia yang dibimbangi Barat.
Sejak ketegangan semakin meningkat pada awal bulan lalu, Washington didakwa telah mencetuskan rasa cemas kepada banyak pihak apabila ia membuat keputusan untuk memanggil pulang diplomat di Kiev termasuk mengarahkan ahli keluarga staf kedutaan dipindahkan selain membenarkan kakitangan bukan kecemasan kembali ke AS.
Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price menyifatkan ia sebagai langkah berjaga-jaga, namun jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar, Oleg Nikolenko mengkritik keputusan terburu-buru berkenaan.
"Rusia cuba mengambil peluang untuk menjejaskan kestabilan di Ukraine dengan tindakan memanipulasi, menyebarkan maklumat salah dan berita palsu di seluruh Kiev serta media antarabangsa untuk mencetuskan panik kepada rakyat negara ini dan komuniti global."Ketika ini adalah sangat penting untuk menilai risiko dengan teliti dan secara bertenang,” ujar Nikolenko.
Rumah Putih dan Jabatan Negara AS berterusan mempertahankan keputusan melulu mereka setelah menyatakan kononnya ancaman pencerobohan itu kekal tinggi dan berpotensi memburukkan lagi krisis Rusia-Ukraine.
"Saya akan membiarkan pihak lain membuat penilaian, namun penempatan tentera Rusia berskala besar di sempadan Kiev jelas situasi yang berbahaya pada pandangan saya,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki pada Selasa lalu.
Sementara itu, Komander Tertinggi Pasukan Barisan Hadapan Tentera Ukraine, Leftenan Jeneral Oleksander Pavlyuk menerusi wawancara bersama ABC News mendedahkan hasil maklumat risikan mereka mendapati jumlah keseluruhan tentera Rusia adalah kira-kira 127,000 orang walaupun Washington pada mulanya meletakkan angka itu hanya kira-kira 100,000 orang.
"Pada masa ini, kekuatan tentera kami terdiri daripada 200,000 anggota dan lebih ramai anggota tentera Rusia diperlukan untuk menceroboh negara ini yang hanya berkeluasan sebesar negeri Texas di AS,” ujarnya.
Psaki bagaimanapun menafikan berlaku ‘percanggahan’ pendapat antara Washington dan Kiev tentang ancaman Rusia malah beliau mengulangi sokongan kepada Ukraine termasuk penghantaran peralatan ketenteraan sejak beberapa hari lalu.
Ketakutan melampau ditunjukkan AS menyebabkan empat negara lain iaitu Britain, Australia, Kanada dan Jerman mengikut jejak langkahnya untuk memanggil pulang kakitangan serta ahli keluarga diplomat di kedutaan masing-masing.
"Kami tidak boleh membenarkan situasi panik itu berterusan kerana ia berupaya menjejaskan negara kami dan pihak tertentu akan ambil kesempatan untuk merealisasikan matlamat Rusia,” tegas pegawai kanan keselamatan negara di Kiev, Aleksey Danilov
Stesen TV Moscow juga mempunyai pendapat berbeza ketika rangkaian berita Barat berulang kali memberi amaran tentang kiraan detik kepada peperangan yang bakal meletus antara Rusia-Ukraine yang disifatkan sebagai satu propaganda politik.
Ia menuding jari menyalahkan AS kerana menyebabkan gelombang ‘histeria’ kononnya Putin dalam persediaan mahu melakukan pencerobohan ke atas Kiev walaupun Kremlin menyatakan ia adalah sebahagian daripada rutin latihan ketenteraan yang dijalankan mereka.
"Ketika ini, serangan yang perlu dikhuatiri Barat adalah ‘serangan panik’ mereka sendiri,” sindir program berita Vremia di Channel One.
Sebuah lagi stesen penyiar di Moscow juga senada dengan pesaingnya apabila ia menyatakan: "Satu-satunya negara yang mahu berperang adalah AS. Peperangan sebenar Amerika sememangnya melibatkan konflik dalaman mereka sendiri”. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca