PENCEMARAN plastik sudah menjadi seperti wabak berbahaya kepada hidupan laut dan manusia. Mengikut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP), 50 peratus plastik digunakan hanya sekali sahaja dan 10 peratus daripada sisa... Klik di sini untuk terus membaca

PENCEMARAN plastik sudah menjadi seperti wabak berbahaya kepada hidupan laut dan manusia. Mengikut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP), 50 peratus plastik digunakan hanya sekali sahaja dan 10 peratus daripada sisa dihasilkan.

Kajian menunjukkan 10 peratus daripada semua plastik dikeluarkan di seluruh dunia berakhir di lautan dan kemudian membentuk ‘Pulau Sampah’ di tengah Lautan Pasifik.

Menurut The World Wide Fund for Nature (WWF2020), menjelang tahun 2050, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan berdasarkan berat.

Amat sukar untuk menangkis pencemaran plastik kerana ia digunakan dalam semua kegunaan harian terutama pembungkusan makanan.

Pandemik telah menyebabkan peningkatan permintaan plastik sekali pakai meningkat dengan ketara. Sejak awal wabak itu melanda dunia, dianggarkan 8.4 juta tan sisa plastik seperti pelitup muka dan sarung tangan dihasilkan oleh 193 negara.

Justeru, saintis meramalkan menjelang akhir abad ini, hampir semua plastik yang berkaitan dengan pandemik akan ‘berakhir’ sama ada di dasar laut atau di tepi pantai kerana ia jauh melebihi keupayaan sesebuah negara untuk memprosesnya dengan betul.

Di negara ini, secara purata kira-kira 300 beg plastik dibuang oleh rakyat Malaysia setiap tahun. Sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sisa pepejal seperti plastik ke dalam sungai dan merata tempat bukan sahaja boleh menyebabkan timbunan bahan plastik, malah mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri. Pakar penyelidik mamalia laut daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Cindy Peter mendedahkan, pembuangan sampah-sarap terutama plastik ke dalam sungai atau longkang yang kemudian membawanya ke laut terbuka dan kuala sungai merupakan salah satu faktor pencemaran alam yang banyak membunuh hidupan laut termasuk ikan lumba-lumba.

Natijahnya, saban tahun banyak hidupan laut mati akibat termakan plastik. Anggaran 100,000 spesies, 70 peratus daripada bilangan itu adalah terdiri daripada burung laut, manakala 30 peratus adalah penyu. Menurut World Wildlife Fund (WWF), 52 peratus populasi penyu pernah termakan plastik dan daripada jumlah itu, 22 peratus daripada bilangan tersebut berhadapan dengan risiko kematian.

Rantai makanan hidupan laut juga terjejas kerana pengambilan plastik mikro sebagai makanan. Bahan kimia digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) atau Polybrominated banyak ditemui dalam ikan dan mamalia laut.

Malah, sesetengah mamalia laut seperti paus dan penyu beranggapan plastik yang terapung di permukaan air adalah makanan. Sebagai akibatnya, plastik yang dimakan itu tidak dapat dicerna dan bertukar menjadi mikroplastik dalam badan mamalia tersebut. Ia akan terkumpul dalam badan ikan kerana haiwan ini tidak mampu menghadam dua bahan berkenaan.

Pengumpulan bahan ini dalam kuantiti banyak menyebabkan kehidupan haiwan itu terganggu atau boleh mengakibatkan kematian jika jumlahnya terlalu tinggi. Selanjutnya, manusia yang makan ikan dicemari mikroplastik dan nanoplastik dalam jangka panjang akan menerima kesan hampir sama seperti haiwan berkenaan.

Seluruh dunia menyumbang kepada pencemaran plastik yang akhirnya mencemar laut dan memberikan masalah kepada hidupan marin serta mengancam kesihatan manusia.

Pencemaran plastik di lautan diakui sebagai suatu isu serius yang mana dianggarkan 300 juta tan plastik sudah mencemari kawasan lautan di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Justeru, Malaysia yang berada di tempat kelapan pencemaran plastik di lautan mestilah bersungguh-sungguh mendidik masyarakat tentang pencemaran plastik. Masyarakat pula seharusnya mengambil langkah proaktif mengurangkan penggunaan dan seterusnya pembuangan sisa plastik ke dalam sungai dan laut.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca