BEBERAPA jam sebelum Parlimen baharu Myanmar dijadualkan bersidang pada Februari tahun lalu, pasukan tentera menahan anggota-anggota Parlimen dalam serbuan pada waktu subuh sekali gus mengakhiri pemerintahan secara demokratik yang singkat... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA jam sebelum Parlimen baharu Myanmar dijadualkan bersidang pada Februari tahun lalu, pasukan tentera menahan anggota-anggota Parlimen dalam serbuan pada waktu subuh sekali gus mengakhiri pemerintahan secara demokratik yang singkat dan menyebabkan pertumpahan darah selama beberapa bulan.

Setahun kemudian junta tentera negara itu berjuang untuk menangkis tindak balas yang dilancarkan oleh golongan yang menentang rampasan kuasa tersebut dengan pertempuran berlaku pada setiap hari sehingga mengakibatkan pertumpahan darah.

Hampir 1,500 orang awam terbunuh dan lebih 11,000 orang ditangkap dalam tindakan memerangi golongan penentang secara berterusan, kata pemantau tempatan dengan kumpulan hak-hak asasi yang menuduh pihak junta tentera melakukan penyeksaan dan pembunuhan di luar undang-undang.

Namun, bagi gerakan pro-demokrasi yang marah dengan rampasan kuasa tentera, menamatkan keterjeratannya selama berdekad-dekad dalam politik Myanmar adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Ini bermakna, penganalisis berkata, tiada penamatan krisis itu yang telah menyebabkan ekonomi negara musnah dan sekolah-sekolah menjadi kosong di seluruh negara serta mengakibatkan ribuan orang melarikan diri ke negara jiran Thailand serta India.

"Kami masih hidup dalam era gelap," kata Htoo Aung yang menggunakan nama samaran kerana takut dengan tindakan pembalasan di sebuah pasar di pusat komersial Yangon seperti dilaporkan oleh AFP.

"Kita harus memikirkan bagaimana kita dapat berjuang menempuh kehidupan seharian di bawah pemerintahan diktator tentera ini dan bukannya mengenai tujuan kita, impian kita pada masa depan," tambahnya.

Tentera membunuh para penunjuk perasaan hampir setiap hari tanpa disedari oleh dunia, kata Htoo Aung.

Di Yangon dan bandar-bandar lain, junta tentera merancang untuk menjadikan situasi kembali normal apabila lalu lintas kembali sesak dan pusat beli-belah dipenuhi semula oleh orang ramai secara perlahan-lahan.

Ramai penduduk menentang rampasan kuasa junta tentera negara itu sejak tahun lalu. - Foto AFP

Dalam rampasan kuasa itu, ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang juga pemimpin Parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) dilaporkan ditahan oleh junta tentera pada 1 Februari 2021 selepas partinya menang besar dalam pilihan raya pada November 2020.

Selepas penangkapan itu, demonstrasi dan serangan ke atas pihak berkuasa Myanmar mula berlaku.

Baru-baru ini, pihak berkuasa mengumumkan bahawa mereka yang membunyikan hon kereta atau memukul periuk dan kuali yang merupakan tunjuk perasaan popular di bandar-bandar berikutan rampasan kuasa sebenarnya boleh didakwa kerana melakukan pengkhianatan atau didakwa di bawah undang-undang anti keganasan.

Bagaimanapun, pertembungan yang berlaku pada setiap hari antara puluhan 'pasukan pertahanan rakyat' (PDF) yang muncul di seluruh negara untuk melawan pihak berkuasa Myanmar tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Bekas-bekas penunjuk perasaan dan penduduk kampung telah memberikan tamparan kepada pasukan junta tentera dengan melakukan serangan gerila walaupun mereka bergelut untuk mendapatkan senjata-senjata berat.

Sekumpulan para wakil rakyat bayangan yang menentang junta tentera mendakwa hampir 3,000 askar maut dalam pertempuran dengan PDF antara Jun dan November tahun lalu.

Namun, junta tentera berkata, seramai 168 askar dan polis terbunuh antara Februari dan akhir Oktober.

Konflik itu sebenarnya menjejaskan imej tentera yang menghadapi masalah moral dan pengambilan rekrut baharu, kata seorang penasihat kanan Myanmar di pertubuhan International Crisis Group, Richard Horsey.

"Bagaimanapun, cabaran ini tidak mungkin akan memaksa pihak tentera menyerah atau hilang cengkaman terhadap kuasa di negara itu," kata Horsey.

Junta tentera juga dipersalahkan berikutan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada malam Krismas pada tahun lalu sehingga mengakibatkan kematian lebih 30 orang orang di lebuh raya di timur negara itu, termasuk dua kakitangan badan amal, Save the Children.

Dengan jeneral-jeneral Myanmar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat bantuan daripada China termasuk Rusia dan krisis rampasan kuasa itu yang mendesak untuk mendapatkan perhatian selain berlaku peperangan di Habsyah, Yemen serta krisis Ukraine telah mengakibatkan banyak pihak di Myanmar berasa putus asa untuk menerima bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

Jeneral-jeneral tentera telah menjanjikan negara itu akan kembali kepada demokrasi dan mengadakan pilihan raya baharu pada tahun 2023.

Pada tahun lalu, rampasan kuasa itu dilakukan selepas junta tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum di negara berkenaan.

Namun, mustahil untuk melihat bagaimana junta tentera dapat melakukannya (mengembalikan demokrasi) memandangkan ia lemah dari segi penguatkuasaan di kebanyakan tempat di negara tersebut, kata Horsey daripada pertubuhan International Crisis Group itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca