BARU-BARU ini, empat sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di sebuah persimpangan lampu isyarat di Bentong, Pahang.
Menurut Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kejadian dipercayai berpunca daripada Nissan Navara itu.
Pemandunya yang berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan tersebut lalu merempuh kenderaan dinaiki mangsa.
Lebih mengejutkan, Zaiham memberitahu, pemandu Nissan Navara itu disyaki positif methamphetamine dan opiat.
Apa yang berlaku itu menyebabkan Mat Taici terfikir, apa agaknya nak jadi dengan Malaysia ini? 'Tahi dadah' bermaharajalela di sana-sini!
Mereka bukan sahaja mengancam nyawa keluarga dan jiran tetangga, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Berani sungguh 'tahi dadah' itu memandu dalam keadaan dipengaruhi najis dadah sehingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Tragedi seperti ini menyebabkan Mat Taici rasa macam nak pijak-pijak sahaja perut 'tahi dadah' itu.
Tapi, apakan daya... Negara kita ada undang-undang dan Mat Taici tidak boleh bertindak sesuka hati.
Namun, sampai bilakah kita akan berdepan dengan situasi seperti ini? Adakah kita selamat daripada ancaman golongan 'tahi dadah' itu?
Perkara ini sukar dijawab kerana kita sendiri tidak dapat mengenal pasti siapakah 'tahi dadah' dalam kalangan kita.
Boleh jadi mereka itu, kawan, ahli keluarga, rakan sekerja, suami dan mereka yang dihormati dalam komuniti.
Identiti mereka hanya akan terbongkar apabila berlaku tragedi berdarah sebagaimana yang menimpa nasib empat sekeluarga itu.
Tambahan pula, kes melibatkan 'tahi dadah' yang menyebabkan kematian bukan lagi baharu di negara kita.
Ia kerap berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan berpanjangan dalam kalangan masyarakat.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Kuala Selangor, Selangor awal tahun ini. Negara digemparkan dengan berita tragis seorang anak yang memenggal kepala ibunya dengan tangan sendiri akibat dadah.
Adakah kita mahu perkara sebegitu terus berlaku dalam komuniti? Jawapannya tentu sekali tidak.
Justeru, Mat Taici berharap sangat agar kerajaan dapat menggubal satu hukuman keras agar sesiapa sahaja tidak lagi berani mendekati najis dadah, sama ada mengedar atau menyalahgunakan najis tersebut.
Perkara ini tidak perlu ada kompromi kerana sejak dulu lagi kita telah berjanji dadah adalah musuh negara.
Segala yang berkaitan dengan penyalahgunaan najis tersebut harus ditentang dan diperangi sehingga hilang jejaknya!
Pss: Mat Taici suka makan dadih pasar malam.
Klik di sini untuk terus membaca