SEMPENA perayaan Tahun Baharu Cina, Mat Taici berkesempatan pulang sebentar ke kampung di Larkin, Johor Bahru bagi menjengah ibu yang uzur.
Bila dah lama tidak pulang kampung, jadi Mat Taici pun tidak lepaskan peluang minum petang di Warung Sup Anis di Kampung Melayu, Majidee, port kegemaran 'otai-otai lama' termasuk bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad melepak dan menemui rakyat.
Ditemani bapa saudara yang aktif mengikuti politik negeri Johor, Mat Taici pun berpeluang bersembang dengan beberapa penduduk Kampung Melayu bagi selami apa tuntutan mereka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.
Pelbagai topik dan isu dibincangkan, tetapi perkara paling menarik perhatian Mat Taici adalah keluhan mereka mengenai nasib keluarga kepada penagih dadah yang mengalami gangguan mental.
Menurut kenalan bapa saudara Mat Taici itu, dia kini dalam dilema untuk menyelesaikan isu anak perempuannya yang semakin agresif mengancam keselamatan keluarga setelah lebih 10 tahun terlibat dengan najis dadah jenis syabu, 'ice' dan metaphatamine.
"Hanya kerana anak perempuan saya seorang, hubungan anak-beranak sudah semakin renggang, masing-masing salah-menyalah antara satu sama lain. Bahkan isteri saya pun sudah jadi murung kena terlalu bimbangkan nasib anak perempuan tunggal kami.
"Kami pun sudah beberapa kali merayu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya membenarkan anak perempuan saya menjalani rawatan pemulihan dadah di salah sebuah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dikendalikan agensi kerajaan itu.
"Namun, pegawai AADK hanya menjelaskan pusat-pusat pemulihan dadah diuruskan agensi kerajaan itu kebiasaannya tidak menerima penagih dadah yang sudah mengalami gangguan mental," kata seorang penduduk dikenali sebagai Pak Abu dengan nada sebak.
Tidak terhenti setakat itu, Pak Abu pun mendedahkan kos rawatan diperlukan untuk seorang penagih 'mental' seperti anak perempuannya mendapat rawatan di pusat pemulihan dadah swasta seperti Rumah Pengasih adalah mencecah RM1,500 sebulan.
"Mana saya nak 'cekau' duit banyak itu? Saya cuma askar pencen. Isteri saya tidak bekerja dan kena jaga seorang cucu Orang Kurang Upaya (OKU).
"Anak-anak saya yang lain pun bukan orang senang. Duit gaji mereka pun hanya cukup untuk tampung belanja anak bini masing-masing. Untuk keluarga tidak berduit macam kami, manalah kami mampu nak bayar kos rawatan bulanan mencecah RM1,500?" luah Pak Abu lagi.
Mendengar cerita Pak Abu, Mat Taici pun turut sebak. Mat Taici tidak menyalahkan pusat pemulihan dadah swasta seperti Rumah Pengasih untuk mengenakan caj tinggi bagi merawat penagih 'mental'.
Yalah, tugas merawat penagih dadah, lebih-lebih lagi mereka yang berdepan gangguan mental bukan perkara mudah.
Tetapi yang Mat Taici kesalkan, mengapa kerajaan tidak cari satu inisiatif tuntas bagi mewujudkan lebih banyak Puspen yang mempunyai keupayaan merawat penagih 'mental'?
Berdasarkan statistik Buku Maklumat Dadah Tahun 2020 dikeluarkan AADK, golongan penagih syabu dan 'ice' yang terangkum di bawah kategori, Amphetamine-Type Stimulants (ATS) masih dominan sebagai dadah paling banyak disalahgunakan.
Seramai 83,698 orang atau 65.2 peratus penyalah guna dan penagih dadah dikenal pasti menyalah guna dadah jenis ATS, diikuti dengan dadah jenis opiat meliputi seramai 39,599 orang atau 30.9 peratus.
Bahkan dalam buku berkenaan, AADK sendiri mengakui trend penyalahgunaan ATS memberi kesan paling buruk kepada individu terutamanya menyebabkan masalah kecelaruan mental dan meningkatkan perlakuan jenayah sekiranya tidak dibendung.
Seharusnya terdapat satu kesungguhan politik daripada kerajaan dalam mencari jalan agar lebih ramai golongan penagih dadah 'mental' berpeluang mendapat rawatan di Puspen yang dinaik taraf dengan kemudahan rawatan psikiatri.
Dengan tindakan memenjarakan penagih 'mental' bukan solusi jangka panjang, Mat Taici pun tidak mahu berlaku lebih banyak episod anak penggal kepala ibu bapa, adik tikam abang atau kegiatan sumbang mahram pada masa hadapan.
Perlu diingati, kesan negatif dibawa oleh seorang penagih 'mental' tidak dirawat, berupaya memusnahkan seluruh institusi keluarga penagih berkenaan sekali gus mengurangkan produktiviti seluruh isi rumah dalam menyumbang kepada ekonomi negara.
Justeru, sekiranya isu lambakan penagih 'mental' bukan dianggap perkara serius, Mat Taici percaya di luar sana ada beribu keluarga senasib dengan Pak Abu dan masih tercari-cari jawapan untuk menyelesaikan masalah anak mereka yang tersalah langkah.
Pss: Mat Taici takut jarum, lebih suka makan sagon.
Klik di sini untuk terus membaca