SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha membidas segelintir pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berterusan mengaitkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dengan parti itu.
Selain itu, Haniza juga memberi amaran kepada Bersatu agar tidak mengulangi kesilapan dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak menyingkirkan sebilangan besar pemimpin parti itu hanya disebabkan memiliki hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, berita pendedahan pucuk kepimpinan Bersatu sedang mempertimbangkan keputusan memecat Zuraida juga dianggap tidak rasional memandangkan Ahli Parlimen Ampang itu langsung tidak terlibat dengan PBM sehingga kini.
"Saya tidak pasti Bersatu hendak mengambil tindakan terhadap Zuraida atas alasan apa. Takkan kerana Zuraida masih berkawan dengan saya dan sebahagian besar pemimpin PBM, beliau bakal digugurkan keahlian parti? Itu tindakan tidak demokratik.
"Kalau tekanan untuk Zuraida dipecat hanya disebabkan beliau memegang jawatan menteri, Bersatu perlu sedar kuasa pelantikan menteri kabinet terletak di tangan Perdana Menteri.
"Saya nasihatkan Bersatu jangan ambil tindakan politik sebagaimana dilakukan PKR sebelum ini. Agak merugikan Bersatu kehilangan seorang menteri seperti Zuraida yang mempamerkan prestasi jauh lebih baik berbanding sebahagian besar menteri kabinet lain," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pucuk kepimpinan Bersatu ada membincangkan status keahlian Zuraida dalam Bersatu termasuk mempertimbangkan keputusan memecat beliau dalam satu mesyuarat MPT pada 25 Januari lalu.
Perbincangan itu dibangkitkan susulan Zuraida dan beberapa pimpinan Bersatu yang pro kepada beliau didakwa terlibat dengan PBM.
Pada Disember lalu, bekas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.
Mengulas lanjut, Haniza juga meminta Bersatu tidak bermain politik sempit yang berlebih-lebihan pada saat rakyat masih terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 dan masalah kelembapan ekonomi.
Lebih menarik, Haniza turut mempersoalkan agenda Bersatu cuba memburuk-burukkan PBM pada saat parti yang baharu diambil alih itu sudah menyatakan sokongan terhadap 'government of the day'.
"PBM sudah jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan semasa yang turut dianggotai Bersatu sendiri. Jadi, mengapa Bersatu cuba memaparkan kami selaku musuh politik?
"Bagi saya, sudah tiba masanya semua pihak matang dalam berpolitik serta mengutamakan agenda pembangunan negara pada saat rakyat dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera daripada kerajaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden PBM, Larry Sng menegaskan parti itu tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada Zuraida untuk menyertai PBM sehingga kini.
"Saya jawab ringkas, Zuraida bukan ahli PBM dan tiada kaitan langsung dengan parti kami,"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca