SELEPAS Sabah, Sarawak dan Melaka, kini giliran rakyat Johor diheret ke kancah Pilihan Raya Negeri (PRN). Antara alasan untuk PRN adalah kerana kerajaan negeri hanya ada kelebihan satu kerusi dan kononnya menyebabkan kerajaan negeri tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS Sabah, Sarawak dan Melaka, kini giliran rakyat Johor diheret ke kancah Pilihan Raya Negeri (PRN).

Antara alasan untuk PRN adalah kerana kerajaan negeri hanya ada kelebihan satu kerusi dan kononnya menyebabkan kerajaan negeri tidak stabil, mengganggu proses demokrasi dan membantutkan perancangan ekonomi.

Alasan tersebut sukar diterima kerana keadaan sedemikian bukannya tidak pernah berlaku sebelum ini. Situasi selisih satu kerusi antara kerajaan dan pembangkang pernah berlaku di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004 apabila Pas menang 24 kerusi dan UMNO menang 22 kerusi.

Setahun selepas itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir daripada Pas meninggal dunia. Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK), calon Pas kalah sehingga menyebabkan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) berada pada angka majoriti satu kerusi berpihak kepada Pas.

Namun, kerajaan negeri pimpinan Pas di Kelantan tidak menggunakan alasan ketidakstabilan kerajaan atau perlu mendapatkan mandat baharu membubarkan DUN. Malah, kerajaan negeri dapat bertahan empat tahun sehingga PRU seterusnya pada tahun 2008.

Sebelum DUN Johor dibubarkan, blok kerajaan terdiri dari 28 ADUN iaitu 16 daripada BN iaitu UMNO (14) dan MIC (dua). PN pula diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 11 kerusi dan Pas (satu). Pembangkang pula diwakili oleh 27 ADUN PH iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Biarpun selisih satu kerusi selepas ADUN Kempas, Osman Sapian meninggal dunia, keadaan di Johor bukanlah seperti di Sabah di mana PRN terpaksa diadakan kerana ADUN-ADUN kerajaan menarik sokongan, atau melompat parti.

Juga bukan seperti di Melaka di mana PRN diadakan susulan berlaku krisis dalaman yang dicetuskan oleh sepihak blok kerajaan.

Hakikatnya, di Johor, kerajaan negeri tidak berada dalam situasi di hujung tanduk, keadaan rapuh atau goyah mahupun dalam cengkaman ancaman blok pembangkang. Biar dengan majoriti tipis, kerajaan masih dapat ditadbir urus dengan baik.

KEPENTINGAN POLITIKUS

Malah, PH sebagai blok pembangkang telah memberikan komitmen terbuka untuk kerjasama dengan kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran agar pentadbiran kerajaan negeri masih dapat berjalan dengan baik.

Jadi apa yang telah begitu merimaskan kerajaan?

Kematangan blok pembangkang di Johor dapat dilihat apabila dalam persidangan DUN pada akhir tahun 2020, Belanjawan Johor 2021 diluluskan sebulat suara juga dengan sokongan blok pembangkang.

Justeru, mengapa begitu terdesak untuk DUN dibubarkan, padahal tempoh hayat DUN dan PRU hanya tinggal satu tahun sahaja.

Apakah ketika rakyat masih dibelenggu seribu masalah akibat penularan kes Covid-19 dan Omicron, rakyat tidak pun menuntut mandat dikembalikan dan sempadan antarabangsa khususnya antara Johor dan Singapura untuk menarik wisatawan dan pelabur masih belum dibuka, adakah PRN wajar menjadi prioritas.

Jelas PRN ini tidak ada sebarang manfaat untuk rakyat dan mereka diheret hanya untuk memuaskan gelora kepentingan sendiri politikus-politikus.

Dalam keadaan demikian apabila PRN ini bukan untuk kepentingan rakyat, mereka sebaliknya boleh memilih untuk mengekalkan status quo seperti sebelum DUN bubar, apatah lagi bila PRU15 hanya tinggal satu tahun lagi.

Malah, mengekalkan status quo boleh menjadi mesej rakyat untuk mengelakkan berlaku PRN seterusnya di lain-lain negeri. Pengundi di Johor dalam PRN ini boleh menjadi pemangkin pemikiran politik luar kotak.

Fikir-fikirkan...

* Norman Fernandez ialah seorang peguam. Penulisan ini adalah pandangan peribadi beliau.

Klik di sini untuk terus membaca