SHAH ALAM - Sindiket scammer gajet kini dipercayai menyasarkan pelajar universiti dan kolej sebagai mangsa penipuan mereka dengan menawarkan laptop pada harga murah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa mahasiswa dari seluruh negara mengakui menjadi mangsa penjual gajet online yang mempromosikan pelbagai jenis gajet di media sosial seperti Instagram dan Facebook.
Berikut empat pelajar yang ditemu bual Sinar Harian yang mendedahkan terpedaya dengan kumpulan scammer laptop dalam talian.
KES 1
Tawaran dua komputer riba RM1,700 buat pelajar tertipu
Tawaran dua buah komputer riba dengan harga RM1,700 membuatkan seorang pelajar di sebuah universiti awam menjadi mangsa penipuan jual beli secara dalam talian.
Mangsa, Nur, 25, berkata, tawaran tersebut amat berbaloi bagi seorang pelajar memandangkan harga asal bagi kedua-dua komputer riba tersebut boleh mencecah sehingga RM5,000.
Dia yang ingin memiliki komputer riba berjenama Apple dan juga Acer tersebut menjelaskan, penipuan tersebut dapat dihidu apabila penjual komputer riba melalui sebuah akaun di Instagram meminta bayaran tambahan sebanyak RM1,200 sebagai caj penghantaran.
"Penjual itu menawarkan harga serendah RM1,700 bagi dua komputer berjenama Apple dan Acer. ini membuatkan saya tertarik dan ingin beli. Saya bersetuju sebab ia ini memang menepati piawaian saya. Ketika itu pun komputer riba lama saya telah rosak.
"Saya terus lakukan transaksi kepada penjual. Kemudian, dia meminta saya untuk membayar RM1,200 pula atas alasan untuk caj penghantaran. Saya mula berasa pelik. Mengapa perlu ada caj tambahan.
"Pada awalnya, dia kata tiada masalah. Memang pelanggan sebelum ini semua membayar caj penghantaran. Tetapi, saya rasa tidak sedap hati. Dan dapat rasakan saya telah ditipu. Kemudian, saya laporkan kepada pihak polis. Saya memberitahu kepada penjual tersebut, dia hanya diam.
"Dia juga tidak memulangkan duit saya,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut Nur, perkara yang membuatkan dia lebih percaya terhadap penjual terbabit untuk membeli komputer riba tersebut adalah disebabkan mempunyai pengikut yang ramai di laman sosialnya itu.
KES 2
Tak sedap hati, tapi tergoda dengan perkataan promosi
Perkataan promosi yang digunakan oleh penjual komputer riba di platform Instagram menyebabkan seorang pengguna Twitter @sftuky ditipu sebanyak RM1,500 untuk mendapatkan sebuah laptop model Macbook Air.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Elly, 19, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, meskipun pada awalnya sudah menganggap ia sebagai penipuan, namun hasil hasutan menyebabkannya masih meneruskan pembelian.
"Siapa yang tidak mahu, harga pasaran dia RM3,200. Saya pelik juga kenapa murah sangat. Saya tanya, dia (penjual) kata sedang lakukan promosi. Meskipun pada awalnya saya tidak sedap hati, tetapi saya ingin mendapatkannya juga.
"Saya rasa terpedaya sebab penjual kata harga asal RM3,200 dan diturunkan kepada RM1,500 dan tanpa fikir panjang saya ingin membeli. Saya terus lakukan transaksi kepadanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelasnya, apabila telah melakukan transaksi, penjual tersebut meminta sebanyak RM1,500 lagi untuk pengaktifan jaminan bagi komputer riba yang dibeli.
"Dia kata, selepas sahaja aktif, duit RM1,500 yang saya berikan itu akan dipulangkan semula dalam masa satu jam. Namun, saya tidak melakukan transaksi tersebut.
"Saya mula berfikir untuk membatalkan pembelian. Saya meminta semula duit yang telah saya bayar kepadanya. Namun, penjual tersebut tidak membalas mesej saya,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum pembelian, Elly juga telah mendapatkan pengesahan dari rakan-rakan dan ibu bapa terhadap perkara tersebut.
"Saya ada tanya rakan sebelum beli. Semua kata boleh percaya. Saya juga minta ibu bapa tengokkan Instagram tersebut sama ada boleh dipercayai atau tidak, mereka bagi lampu hijau,” katanya.
Menurut Elly, RM1,500 yang dikeluarkan tersebut merupakan duit simpanan saya sendiri tanpa tambahan daripada keluarga mahupun rakan-rakan.
KES 3
Tertipu maklum balas akaun Instagram penjual
Maklum balas positif yang ditunjukkan scammer penjual komputer riba di Instagram menjadi penyebab pelajar universiti yang mahu dikenali sebagai Aida, 21, menanggung kerugian sebanyak RM1,000.
Katanya, hasil membaca maklum balas yang positif itu menyebabkan dia berminat untuk membeli sebuah komputer riba dengan harga serendah RM500 sahaja.
"Saya baca feedback (maklum balas) di Instagram tersebut memang semua bagus-bagus. Ia menyebabkan saya percaya yang dia bukan scammer.
"Jadi, saya berminat untuk beli komputer riba jenama Asus dengan harga RM500. Saya juga percaya harga tersebut sebab saya ingat ia merupakan komputer riba yang diperbaharui. Memang mereka yakinkan saya untuk beli,” katanya.
Selepas melakukan transaksi, Aida berkata, penjual tersebut memintanya untuk membayar sebanyak RM500 lagi untuk mengaktifkan jaminan komputer riba tersebut dan akan dipulangkan selepas satu jam.
Jelasnya, sehingga 24 jam, tiada sebarang transaksi pemulangan dan dia bertindak melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
"Saya dapat kesan mereka penipu disebabkan tidak memulangkan wang tambahan yang diminta.
"Saya terus lakukan aduan kepada pihak polis dan juga bank,” katanya.
Jelas Aida, bank mengesahkan bahawa wang yang telah diberi kepada penjual tersebut tidak dapat dipulangkan kembali dan hanya mampu menutup akaun scammer tersebut.
KES 4
Terbang RM600 kerana terdesak mahu gunakan komputer riba
Pelajar kolej swasta yang mahu dikenali sebagai Najihah, 19, ditipu sebanyak RM600 akibat terdesak bagi mendapatkan komputer riba bagi membuat tugasan yang diberikan.
Najihah yang baru sahaja berdaftar di kolej tersebut berkata, dia terpaksa menggunakan telefon bimbitnya untuk melakukan tugasan apabila komputer riba yang diingini tidak diperoleh akibat ditipu.
"Saya baru masuk bulan November lalu. Jadi, saya baru cari komputer riba minggu lepas. Saya cari yang bersesuaian dengan bajet yang saya ada iaitu RM600. Jadi saya terus lakukan transaksi.
"Komputer riba yang saya pilih adalah jenama HP. Sebelum ini saya menggunakan telefon bimbit untuk lakukan tugasan. Agak leceh kerana skrin kecil dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, semasa hari penghantaran, dia diminta untuk melakukan transaksi lain sebanyak RM600 lagi bagi mengaktifkan jaminan komputer riba tersebut.
Dia berasa curiga dan mula membuat panggilan kepada penjual tersebut namun tidak diangkat.
"Saya pelik, kenapa kena bayar untuk aktifkan jaminan ini. Saya cuba buat panggilan kepada penjual berkenaan. Semua tidak angkat. Masa itu saya rasa memang telah ditipu. Dia kata, kalau tidak berikan RM600, tidak boleh lakukan penghantaran.
"RM600 tu duit sendiri. Memang banyak untuk saya yang hanya seorang pelajar,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca