SHAH ALAM - Saban hari ramai yang menjadi mangsa penipuan atau scammer terutama dalam urusan jual beli komputer dan telefon pintar dalam talian walaupun pelbagai usaha advokasi serta amaran diberikan oleh pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, modus operandi penjenayah berkenaan adalah dengan menawarkan harga murah yang tidak masuk akal.
"Cara dia cari mangsa adalah dengan tawarkan harga murah, tak ada benda lain. Kebanyakannya di platform media sosial.
"Scammer ini senang sangat cari makan, hanya perlu tukar produk sahaja. Kalau tak beli telefon, beli laptop kalau tak laptop beli beg berjenama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, orang awam perlu bijak membandingkan harga pasaran runcit sesuatu produk dan mengabaikan terus jika menerima tawaran dengan harga yang tidak masuk akal.
"Kita kena ada konsep supply dan demand di mana scammer ini akan tawar macam-macam produk jadi kalau kita bijak dan tak layan tak akan jadi apa-apa pun," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang diberikan oleh penjual dalam talian menerusi aplikasi Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.
"Kita ada Semak Mule CCID yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store dengan sangat mudah boleh semak nombor akaun sebelum buat pembayaran.
"Kalau dah tulis di situ nombor akaun yang kita nak berurusan itu sedang disiasat tak payahlah nak masuk duit lagi,” katanya.
Selain itu, Mohd Mahidisham berkata, PDRM juga telah menumbuhkan pusat panggilan setempat ‘CCID Scam Response Center’ yang boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari untuk sebarang pertanyaan atau bantuan membabitkan semua jenis penipuan.
Klik di sini untuk terus membaca