SHAH ALAM - Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK) memandang berat isu berkaitan pelajar yang ditipu semasa membeli komputer riba di media sosial.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, perkara tersebut merupakan isu serius memandangkan ia melibatkan pelajar yang amat memerlukan komputer riba untuk pengajian mereka.
"Ini bukan isu baru. Sebelum ini banyak kali berlaku dan banyak aduan telah diterima. Kita sentiasa beri perhatian terhadap isu ini kerana ia melibatkan para pelajar yang bersungguh mendapatkan komputer riba demi pengajian.
"Jadi, kita (MPPK) aktif dalam buat kempen terhadap perkara ini. Kempen tersebut adalah bagi menimbulkan kesedaran kepada mahasiswa untuk tidak ditipu dengan penjual laptop,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan hasrat seorang wanita untuk membeli tiga buah komputer riba tidak kesampaian apabila dia ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM109,200.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 19 Januari lalu apabila mangsa cuba membeli komputer riba yang dijual melalui laman media sosial Instagram.
Mengulas lanjut, jelasnya, MPPK juga sering mengambil inisiatif dengan sentiasa memperingati, melakukan kempen dan sebagainya untuk menimbulkan kesedaran terhadap mahasiswa sebelum membuat pembelian terhadap komputer riba tersebut.
"Kami buat kempen, kami sentiasa ingatkan kepada mahasiswa yang mahu beli laptop atau peranti ini dia kena pastikan bahawa ia betul. Cari rujukan yang sebenarnya. Selidik dengan lebih teliti terlebih dahulu.
"Jangan terlalu mengikut nafsu. Semak dahulu akaun, maklum balas dan juga sebagainya. Jika ada yang mencurigakan, jangan teruskan pembelian. Jika tidak tahu, tanya kepada mereka yang lebih pakar.
"Saya rasa, sebaiknya untuk beli di kedai kerana ia lebih bersifat fizikal dan kita nampak barang tersebut. Jika dalam talian, kita masih lagi tidak pasti sama ada ia wujud ataupun tidak,” ujarnya.
Tambah Muhammad Amir, MPPK sentiasa menasihati pelajar yang telah menjadi mangsa untuk membuat laporan polis dan menghubungi serta melakukan aduan di unit Hal Ehwal Pelajar di universiti masing-masing.
"Bahagian Hal Ehwal Pelajar di universiti memang akan membantu pelajar mereka yang sangat memerlukan bantuan. Tidak sama sekali akan membuat pelajar dalam kesusahan.
"Pelajar yang ingin membuat aduan, perlu nyatakan apa yang sedang dihadapi. Selalunya akan ada bantuan yang diberikan kepada yang terlibat ini oleh pihak universiti,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca