SHAH ALAM - Seorang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui idea mewujudkan kerjasama politik di antara Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bernas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui idea mewujudkan kerjasama politik di antara Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bernas dan wajar dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berpandangan cadangan itu secara realitinya sukar direalisasikan memandangkan setiap parti memiliki ego masing-masing.

Ujar beliau, cadangan sebilangan penganalisis politik menggesa PN dan blok pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) mewujudkan persefahaman politik bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru sememangnya strategi ampuh untuk menghalang penguasaan UMNO dan BN pada PRN Johor kelak.

"Itu strategi baik. Jika PN-pembangkang satu lawan satu dengan UMNO-BN, saya yakin kerjasama ini akan menjadi.

"Tetapi untuk mendapatkan kompromi sebegitu rupa amat sukar. Melainkan semua pemimpin parti membuang segala ego demi bersatu menumbangkan UMNO-BN, saya fikir kerjasama itu sukar direalisasikan.

"Apa pun, saya fikir tidak salah PN dan blok pembangkang bersama-sama untuk duduk semeja bagi mencari formula bagaimana kita boleh mengurangkan bilangan penjuru pertandingan pada PRN Johor," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

RAZALI

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Pengerusi Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohammed Ariff berpandangan hanya kerjasama PN dan pembangkang bersatu membentuk Gabungan Rakyat Johor sahaja mampu menghentikan dominasi UMNO-BN pada PRN Johor kelak.

Jelas Rais Hussin lagi, sekiranya kerjasama pembangkang raya itu tidak dilaksanakan, UMNO-BN bukan sahaja bakal menang PRN Johor dengan majoriti dua pertiga, bahkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan bakal dipercepatkan.

Ditanya sama ada Bersatu sudah menggerakkan usaha perundingan dengan blok pembangkang, Razali menegaskan belum ada perbincangan secara rasmi ke arah itu di peringkat MPT Bersatu dan kepimpinan tertinggi PN.

Bagaimanapun, beliau mengakui perbincangan kerjasama itu tidak mustahil berlaku, lebih-lebih lagi setelah UMNO-BN secara terang-terangan menggunakan strategi meruntuhkan kerajaan negeri bagi mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin.

"Kunci paling penting untuk merealisasikan pakatan kerjasama PN-pembangkang adalah semua pihak kena buang segala sikap ego dan sombong.

"Paling penting, kerjasama politik ini bukan bertujuan untuk PN-pembangkang duduk di bawah satu logo dan satu manifesto pilihan raya. Kerjasama ini hanyalah untuk memastikan tiada pertembungan sesama sendiri sahaja," tambah Razali.

SHAMSUL ISKANDAR

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sewaktu dihubungi menegaskan parti itu dan PH lebih berminat mewujudkan khemah besar dalam kalangan parti-parti pembangkang berbanding bekerjasama dengan parti-parti 'terpinggir' dalam kerajaan.

Jelas beliau, cadangan pemimpin PN supaya koalisi itu bekerjasama dengan pembangkang bagi menghadapi PRN Johor juga membuktikan Bersatu dan PN masih lagi trauma dengan kekalahan teruk pada PRN Melaka.

"Seperti dijelaskan Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita mengalu-alukan cadangan bekerjasama dengan parti-parti dalam blok pembangkang, bukan kerajaan.

"Sekarang kita lebih fokus untuk menyelesaikan isu rumahtangga kita dengan menjayakan inisiatif 'khemah besar pembangkang' terlebih dahulu. Sebarang cadangan kerjasama lain, kita akan fikir kemudian," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca