SHAH ALAM - Teka-teki sama ada Parti Bangsa Malaysia (PBM) bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir apabila Presidennya, Larry Sng mengesahkan penyertaan parti itu untuk bersaing dengan parti-parti lain pada pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Teka-teki sama ada Parti Bangsa Malaysia (PBM) bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir apabila Presidennya, Larry Sng mengesahkan penyertaan parti itu untuk bersaing dengan parti-parti lain pada pilihan raya negeri itu kelak.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, parti itu sudah memutuskan untuk menyertai PRN Johor susulan mendapat sokongan daripada akar umbi parti berkenaan selain permintaan tinggi daripada rakyat Johor sendiri.

Bagaimanapun, beliau masih merahsiakan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bakal ditandingi PBM.

"Sekarang ini, PBM lebih fokus kepada PRN Johor kerana kita sudah sah akan bertanding kelak.

"Soal berapa kerusi akan kita tandingi biarlah jadi rahsia buat sementara ini. Perkara itu akan dijelaskan kepada media dalam satu sesi penerangan oleh parti pada masa sesuai," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi PBM sedang mempertimbangkan keputusan untuk bertanding pada PRN Johor meskipun parti itu baru diambil alih tidak sampai dua bulan lalu.

LARRY

Sebelum ini, Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha menegaskan kemungkinan itu sangat tinggi berdasarkan perkembangan politik terkini, statistik dan maklum balas dari lapangan.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya di Selangor itu menegaskan, perkara itu masih dalam perbincangan bersama kepemimpinan tertinggi parti dan pihak tertentu yang berada di luar parti.

Ditanya sama ada PBM akan bertanding di bawah blok kerajaan atau secara bersendirian kelak, Larry hanya memaklumkan parti itu ketika ini menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Belum masanya saya hendak ulas perkara itu," jawab Larry dengan ringkas.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik pelbagai bangsa selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal, iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Parti berkenaan diketuai Larry sendiri dan di Johor, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen, iaitu Tebrau yang diwakili Steven Choong yang juga Naib Presiden parti itu.

Klik di sini untuk terus membaca