SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan Pas diingatkan jangan terlalu banyak 'berdrama' dalam membicarakan isu kerjasama dua parti itu melalui Muafakat Nasional (MN) kerana perkara itu sebenarnya merupakan tuntutan akar umbi kedua-dua parti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan Pas diingatkan jangan terlalu banyak 'berdrama' dalam membicarakan isu kerjasama dua parti itu melalui Muafakat Nasional (MN) kerana perkara itu sebenarnya merupakan tuntutan akar umbi kedua-dua parti berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, mana-mana pemimpin UMNO dan Pas juga diminta tidak bersikap kebudak-budakan dalam mentakrifkan status terkini kerjasama MN memandangkan kenyataan mereka tidak mewakili kehendak akar umbi yang berada di bawah.

Jelas beliau, perkara paling penting adalah perjuangan di bawah akar umbi kedua-dua parti yang mahukan perpaduan di antara UMNO dan Pas terjalin bukan sahaja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambahnya, sudah menjadi lumrah politik orang Melayu bahawa pemimpin-pemimpin mana-mana parti Melayu sering mengambil tindakan berdasarkan kepentingan diri dan untung rugi masing-masing serta tidak mewakili kehendak akar umbi.

"Parti ini bukan hak milik peribadi sesiapa. Yang penting adalah perjuangan di bawah akar umbi kedua-dua parti yang mahukan perpaduan di antara UMNO dan Pas.

"Kenyataan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti yang mempersoalkan kerjasama MN juga tidak mewakili kehendak akar umbi di bawah disebabkan sudah lumrah politik orang Melayu, pemimpin ambil tindakan mengikut kepentingan diri masing-masing, berdasarkan untung rugi mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan mengenai status terkini kerjasama UMNO dan Pas dalam MN susulan beberapa episod pertelingkahan di antara pemimpin kedua-dua parti seolah-olah memberi isyarat MN sudah berakhir.

Terbaru, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kesal dengan sikap segelintir pemimpin UMNO yang seolah-olah lupa diri walaupun Pas bertungkus-lumus menyelamatkan parti itu selepas tewas pada PRU14.

Presiden Pas itu menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan MN.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenepikan dakwaan Pas dengan menegaskan parti itu kembali bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ Pas, sebaliknya kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO.

MOHAMED NAZRI

SEKEJAP BERPELUK, SEKEJAP BERTIKAM LIDAH

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan perangai pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang didakwanya asyik berdrama dengan 'sekejap berbaik, berpeluk dan sekejap lagi bertikam lidah' sebagai memalukan.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu, sebagai individu yang tetap memperjuangkan perpaduan Melayu Islam menerusi kerjasama UMNO dan Pas, beliau menggesa pemimpin kedua-dua parti agar mengikut sahaja formula pertandingan pada PRN Melaka yang langsung tidak memecahkan persefahaman kedua-dua parti itu meskipun berlaku pertembungan.

"Kena ingat akar umbi tidak mudah berubah. Amat memalukan apabila perangai pemimpin (UMNO-Pas) sekejap berbaik-baik, sekejap berpeluk-peluk dan sekejap lagi pula bertikam lidah ibarat kebudak-budakan.

"Ini semua drama minggu ini sahaja dan secara peribadi, saya tetap memperjuangkan perpaduan Melayu Islam menerusi kerjasama UMNO dan Pas," tegasnya lagi.

Ditanya sama ada beliau melihat inisiatif penyatuan Melayu Islam menerusi MN mampu diperluaskan kepada parti-parti Melayu lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamed Nazri menegaskan buat masa ini beliau hanya mementingkan hubungan UMNO dengan Pas sahaja.

"Saya hanya pentingkan hubungan UMNO dan Pas sahaja. Di Johor, pertembungan pun adalah antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sahaja.

"Semoga hubungan kerjasama UMNO-Pas jangan dipecahkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab kepada agama dan bangsa," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca