SYUKUR dan lega rasanya Mat Taici baca berita hari ini bila kerajaan umumkan vaksin untuk kanak-kanak dilakukan secara sukarela. Maknanya tiada paksaan dan tiada sekatan ke mana-mana macam bagi kumpulan orang dewasa.
Kata Pak Menteri, perkara itu dibuat bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihak kementerian sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.
Sebenarnya, Mat Taici bukan mahu menentang dasar kerajaan dalam pemberian vaksin untuk golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dan jauh sekali antivaksin.
Namun, berdasarkan pengalaman yang sudah lengkap menerima tiga dos vaksin Pfizer termasuk terbaharu booster, Mat Taici berasa bimbang dan takut untuk membiarkan anak yang terlalu kecil baru berusia antara 5 hingga 11 tahun terima suntikan, jika mereka benar-benar tidak bersedia.
Manakan tidak kita yang dewasa ini pun ada yang demam dan sakit di tempat suntikan selama beberapa hari. Mat Taici masih ingat juga pengalaman anak Mat Taici berusia 13 tahun yang tidak sihat sampai perlu dibawa ke hospital selepas tiga hari mengambil vaksin.
Jadi bagi Mat Taici keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan tidak mewajibkan pemberian vaksin untuk golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun adalah tepat pada saat masih wujud kebimbangan mengenai vaksin.
Oleh itu, bagi Mat Taici, ibu bapa perlu tepuk dada tanya selera. Buatlah pilihan dan keputusan terbaik demi masa depan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dan negara.
Pada masa sama, Mat Taici juga berharap kerajaan terutama Menteri Kesihatan tidak membuat keputusan 'flip flop' dan tidak konsisten. Sekejap tiada paksaan tetapi apabila majoriti ibu bapa enggan vaksinkan anak mereka atau berlaku lambakan vaksin, diwajibkan pula ambil suntikan.
Bukan apa, Mat Taici masih teringat sebelum ini, Menteri Kesihatan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa suntikan booster adalah tidak wajib dan hanya akan diberikan kepada mereka menghidap masalah komorbiditi.
Namun, tidak lama selepas itu Khairy mengumumkan suntikan dos penggalak adalah wajib dan jika tidak berbuat demikian status MySejahtera akan bertukar menjadi tidak lengkap.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan kepada orang awam, sehingga tular video-video lama Khairy baru-baru ini.
Klik di sini untuk terus membaca