SHAH ALAM - Sudah tiba masanya rakyat negeri Kelantan menumbangkan Pas dan memilih UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 sekiranya mereka mahu memanfaatkan nikmat hasil royalti minyak negeri itu yang tertunggak sejak tahun 1975.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, isu utama membelenggu rakyat Kelantan adalah soal tuntutan royalti minyak terhadap Petronas dan kerajaan Pusat di mana tuntutan sebanyak lima peratus daripada hasil minyak dan gas asli negeri itu sejak tahun 1975 melibatkan anggaran lebih RM20 bilion.
Jelas beliau, nilai anggaran tertunggak yang sepatutnya disalurkan kepada dana Rakyat Kelantan itu merupakan jumlah wang besar dipercayai menyebabkan kerajaan Pusat masih terhutang kepada rakyat Kelantan.
Tambahnya, royalti ini adalah berasaskan kepada perjanjian sahih antara kerajaan Pusat dan negeri Kelantan pada tahun 1975, sekali gus mengundang persoalan mengapa Pas menarik balik tuntutan royalti minyak daripada dibicarakan di mahkamah.
"Kita tidak faham mengapa Pas menarik balik tuntutan ini daripada dibicarakan di mahkamah, hanya kerana kerajaan Pusat memberikan wang ihsan RM400 juta setahun, sedangkan hak rakyat Kelantan adalah lebih daripada itu.
"Hanya dengan memperoleh wang daripada Petronas itu, barulah kerajaan negeri baharu dipilih dapat membangunkan negeri Kelantan. Kita boleh bekal kepada rakyat air bersih mencukupi. Kita boleh menyediakan kilang-kilang untuk memberi pekerjaan kepada anak muda.
"Kita boleh menyediakan industri minyak besar seperti di negeri Sarawak, di mana hasil mereka peroleh lebih RM5 bilion setahun itu dapat memperbaiki sekolah, menyediakan perumahan mencukupi selain membina hospital di daerah-daerah bersesuaian untuk membantu masyarakat luar bandar," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Sehingga kini, perbalahan mengenai royalti minyak Kelantan terus dibangkitkan oleh mereka yang mendakwa hak negeri itu dirampas secara tidak adil dan seterusnya menjejaskan pembangunan negeri.
Kerajaan Kelantan dan aktivis yang bersetuju dengan pandangan itu telah menuntut royalti minyak selama beberapa dekad tetapi ditolak berulang kali oleh Putrajaya atas alasan minyak diekstrak di luar perairan wilayah Kelantan.
Bagaimanapun, Putrajaya memberi wang ihsan kepada negeri itu berjumlah RM15.7 juta pada 2019. Selain itu, kerajaan Pusat membayar RM400 juta kepada kerajaan Kelantan bagi tahun 2020 dan 2021 berdasarkan kadar lima peratus hasil petroleum yang diperoleh daripada negeri itu.
Namun begitu, Kelantan cuba menuntut bayaran royalti yang tertunggak sejak 2005, selaras dengan kadar royalti dipersetujui dalam perjanjian tahun 1975.
Mengulas lanjut, Mohd Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu turut mendedahkan beliau menerima jaminan daripada kepimpinan UMNO bahawa royalti minyak akan disalurkan melalui kaedah pembayaran tunai kepada rakyat Kelantan sekiranya parti itu kembali menguasai kerajaan Pusat dan negeri.
Ujar Mohd Zahid, beliau telah menghantar cadangan mekanisme pembangunan industri minyak dan gas di Kelantan yang tuntas kepada kepimpinan UMNO dan berpuas hati dengan maklum balas serta jaminan diberikan mereka.
"Kalau Sarawak ada Petros (Sarawak Petroleum), kita juga akan tubuhkan Kelantan Petroleum. Beribu pekerjaan akan dapat kita sediakan kepada anak muda Kelantan selain kemampuan membina perumahan mencukupi kepada mereka.
"32 tahun adalah satu masa yang lama. Dengan pemerintahan UMNO baharu, rakyat Kelantan bolehlah dapat bekalan air yang cukup. Tak payah lagi cari pam untuk bawa masuk air ke dalam rumah. Tak payah lagi gali telaga. Tak payah juga guna 'drilling' nak cari mata air untuk kegunaan persendirian," ujarnya lagi.
Mohd Zaid turut mengenepikan permainan persepsi pemimpin Pas dan 'rakan-rakan baharu' parti itu yang cuba menggambarkan pemimpin UMNO sebagai rakus dan dipenuhi perasuah.
"Di Kelantan, kita tahu pilihan rakyat lazimnya adalah sama ada kepada Pas atau UMNO. Tidak ada pihak lain akan berjaya.
"Kali ini Pas dan rakan-rakan baharu mereka cuba gambarkan pemimpin UMNO rakus dan penuh dengan perasuah.
"Saya ingin ingatkan pengundi, yang dibawa ke mahkamah belum lagi selesai proses pengadilannya, manakala yang tidak didakwa belum tentu benar-benar bersih. Jadi tunggu dahulu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap mereka," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca