RASA mahu tercabut kaki Mat Taici setelah seharian 'menjelajah' sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota demi mencapai misi mencari hadiah perkahwinan anak buah Mat Taici yang bakal naik pelamin tidak lama lagi.
Sambil menyelam sambil minum air dan alang-alang baru dapat habuan main kutu dengan rakan-rakan di pejabat, Mat Taici pun 'reward diri' beli beberapa helai seluar dan t-shirt.
Seronok ‘shopping’ wang tunai RM400 yang dibawa awal tadi pun sudah berbaki kurang RM50, lalu Mat Taici ambil keputusan pergi ke mesin ATM.
Mat Taici memang ada 'peel' suka membayar dengan wang tunai jadi perlu sentiasa ada 'cash' mencukupi di dalam dompet.
Sampai di mesin ATM, ramainya manusia menunggu giliran. Mat Taici jadi bingung kenapa mesin ATM kepala harimau ini menjadi tumpuan sedangkan ada dua buah lagi mesin ATM berbeza jenama bank tersedia.
Mat Taici juga adalah pengguna tegar bank kepala harimau tetapi dek kerana kaki yang makin lenguh tanpa fikir panjang Mat Taici terus menuju ke mesin ATM yang kosong.
Separuh jalan baru Mat Taici teringat caj RM1 bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) telah kembali berkuatkuasa bermula 1 Februari.
Seingat Mat Taici, pada 6 April 2020 kerajaan mengecualikan caj itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang daripada ATM yang menggunakan sistem Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS) tanpa perlu membayar RM1 sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Ikut firasat nujum Pak Belalang Mat Taici, sekiranya ramai memilih untuk tidak mahu membayar caj RM1 itu maka barisan di mesin ATM akan semakin panjang selepas ini.
Namun pilihan terletak di tangan empunya diri masing-masing, jangan pula ada yang sibuk 'judge' takkan RM1 pun mahu berkira.
Nilai RM1 itu berbeza kepada setiap orang terutama yang tiada simpanan berjuta-juta ringgit dalam akaun jadi jangan terlalu cepat membuat persepsi sendiri.
Tidak kurang juga nanti ada yang berhujah, sebenarnya sekarang ini tidak perlu pun beratur panjang di mesin ATM untuk mengeluarkan wang.
Alasannya, zaman sudah maju (walaupun masih tiada kereta terbang) kenapa tidak gunakan sepenuhnya transaksi secara 'cashless' atau tanpa tunai?
Hello? Sedarlah ya tidak semua premis perniagaan atau perkhidmatan menggunakan sepenuhnya mod transaksi 'cashless' sebaliknya masih ada yang memerlukan pembayaran dibuat dalam bentuk wang tunai.
Rasanya Mat Taici belum pernah tengok lagi orang bayar pisang goreng dan air balang di gerai tepi jalan dengan cara 'swipe' kad debit. Kalau ada, mohon kongsi info supaya Mat Taici boleh rasai sendiri pengalaman itu.
Kesimpulannya, buat yang mahu menjimatkan RM1 anda teruskanlah sabar beratur dan yang mana tidak kisah dicas RM1 maka tidak perlu beratur panjang. Tapi rasanya tidak salah kalau pengecualian caj RM1 dilanjutkan dan bank pun tak mungkin 'pokai' sekiranya menyerap bayaran tersebut.
PSS - Dulu keluar duit hanya perlu pecah tabung ayam
Klik di sini untuk terus membaca