PERTUBUHAN Pembebasan Palestin (PLO) akan berhimpun pada Ahad ini untuk memilih tokoh kepimpinan utama yang ditugaskan untuk mengekalkan perjuangan bagi menubuhkan sebuah negara yang mempunyai pemerintahan sendiri. Pada perhimpunan itu juga... Klik di sini untuk terus membaca

PERTUBUHAN Pembebasan Palestin (PLO) akan berhimpun pada Ahad ini untuk memilih tokoh kepimpinan utama yang ditugaskan untuk mengekalkan perjuangan bagi menubuhkan sebuah negara yang mempunyai pemerintahan sendiri.

Pada perhimpunan itu juga pemimpin tersebut mungkin menggantikan Presiden Mahmoud Abbas.

Jawatan yang paling penting untuk diisi oleh PLO itu ialah bagi menggantikan Ketua Perundingnya, Allahyarham Saeb Erekat yang merupakan Setiausaha Agung pertubuhan tersebut dan telah terlibat secara mendalam selama beberapa dekad dalam rundingan damai dengan Israel.

Saeb Erakat - Foto AFP

Namun, beliau meninggal dunia pada tahun 2020 akibat komplikasi Covid-19.

Sebelum ini, PLO yang dianggap juara dalam memperjuangkan hak-hak Palestin tetapi kini kehilangan kerelevanannya sejak tertubuhnya Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada tahun 1994.

Mahmoud yang kini memegang jawatan Pengerusi PLO serta Presiden PA sudah berusia 86 tahun dan telah menyaksikan sokongan terhadapnya menjunam ke paras terendah dalam sejarah berdasarkan kepada tinjauan pendapat.

Menurut satu tinjauan pendapat Pusat Untuk Kajian dan Penyelidikan Dasar Palestin pada September tahun lalu, kira-kira 78 peratus penduduk Palestin mahu melihat Mahmoud berundur daripada jawatannya.

PILIH HAMAS

Tinjauan itu mendapati bahawa 45 peratus penduduk Palestin percaya Hamas harus memimpin dan mewakili mereka manakala hanya 19 peratus menyatakan bahawa parti politik Fatah yang mana Mahmoud pernah menjadi antara anggota pengasasnya layak mendapat peranan itu.

Sebelum ini kali terakhir penduduk Palestin memilih Presiden ialah pada tahun 2005 dengan kemenangan diperoleh oleh Mahmoud manakala Pilihan Raya Majlis Perundangan diadakan pada tahun 2006.

Mahmoud Abbas - Foto AFP

Bagaimanapun, Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2021 terpaksa ditangguhkan selepas keengganan Israel untuk membenarkan ia dilaksanakan di Baitulmaqdis Timur.

Nasib yang sama juga dihadapi Pilihan Raya Majlis Perundangan apabila ia yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei 2021 terpaksa ditangguhkan kerana alasan yang sama.

Keganasan yang meletus hampir setiap hari di Tebing Barat yang dijajah Israel manakala keadaan dilaporkan kembali pulih di Gaza yang terlibat dengan satu lagi peperangan yang dahsyat dengan rejim Zionis itu pada tahun lepas.

Mesyuarat PLO yang akan diadakan di Ramallah itu akan berusaha bagi mengisi jawatan-jawatan penting dalam gerakan yang ditubuhkan pada tahun 1964 dengan pertubuhan itu dianggap sebagai wakil tunggal untuk semua penduduk Palestin.

Turut terbuka bagi mengisi jawatan berprofil tinggi itu ialah Hanan Ashrawi tetapi beliau meletak jawatan lebih setahun lalu daripada Jawatankuasa Eksekutif yang mengandungi 18 anggota dan ia merupakan badan pembuat keputusan tertinggi PLO.

Hanan Ashrawi - Foto AFP

Orang kepercayaan Mahmoud ialah Hussein al-Sheikh iaitu Menteri Hal Ehwal Awam Palestin dan secara meluas disebut-sebut akan mengisi tempat yang dikosongkan oleh Erekat sekali gus berperanan sebagai Ketua Perunding.

Beliau juga antara yang dilihat sebagai pengganti Mahmoud tetapi pencabar-pencabar lain ialah Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh dan Marwan Barghouti yang kini berada di penjara Israel atas peranannya dalam merancang serangan selain disifatkan oleh penyokong sebagai Nelson Mandela Palestin.

Hussein al-Sheikh - Foto WAFA

"Hussein al-Syeikh dipandang tinggi oleh Israel," kata Khaled Elgindy iaitu seorang Felo Kanan di Institut Timur Tengah.

"Orang lain merasakan bahawa beliau adalah jenis lelaki yang boleh bekerjasama," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Hussein juga telah memupuk hubungan dengan diplomat asing dan Israel selain pernah bertemu Menteri Luar rejim Zionis, Yair Lapid pada bulan lepas.

Bagaimanapun, Israel telah menolak rundingan damai rasmi dengan Palestin.

"Ia kelihatan seperti Mahmoud sedang menyediakan landasan untuk proses pengganti masa depan. Saya tidak pasti bahawa proses penggantian sebenar akan berlaku mengikut kehendaknya," kata Khaled kepada AFP.

Dalam pada itu, Hassan Khreisheh, ahli jawatankuasa eksekutif PLO dan pengkritik Abbas dilaporkan berkata bahawa mesyuarat pada Ahad ini tidak mungkin meningkatkan kaitan PLO atau memulihkan kepercayaan terhadap Mahmoud.

Ini adalah disebabkan oleh kemarahan masih memuncak atas keputusannya membatalkan pilihan raya yang dijadualkan pada tahun lepas, kata Hassan.

Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin yang dituduh Israel merancang serangan ke atasnya turut berkata, ia akan memboikot mesyuarat PLO.

Hamas iaitu kumpulan Islam yang mengendalikan Gaza dan mempunyai hubungan tegang dengan Fatah pula bukan sebahagian daripada PLO dengan punca pergeseran yang berlaku antara kedua-dua pihak telah menghalang tadbir urus Palestin yang bersatu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca