DALAM kolum lepas, saya telah membincangkan satu keadaan hipotektikal di mana kuasa undi Siti Fatimah akan mengecut tinggal satu pertiga sahaja jika beliau berpindah dari kampungnya di N05 Tenang, Segamat (102,983 pengundi) ke N48 Skudai... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM kolum lepas, saya telah membincangkan satu keadaan hipotektikal di mana kuasa undi Siti Fatimah akan mengecut tinggal satu pertiga sahaja jika beliau berpindah dari kampungnya di N05 Tenang, Segamat (102,983 pengundi) ke N48 Skudai (33,734 pengundi) kerana melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kalau Siti Fatimah orang Selangor yang berasal dari P092 Sabak Bernam (51,170 pengundi) dan berpindah ke P102 Bangi (293,560 pengundi) untuk belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuasa undinya akan merosot sampai satu perenam sahaja.

Dari Tenang ke Sabak Bernam, anak muda berhijrah ke kota raya untuk mencari ilmu atau rezeki yang kurang peluangnya di kampung datuk nenek mereka. Tetapi mereka dihukum oleh sistem politik yang mengerdilkan kuasa undi mereka apabila kawasan bandar sesak dengan pengundi semacam ikan sardin dalam tin.

Maka, mampukah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita melahirkan kerajaan, undang-undang dan dasar-dasar yang pro anak muda daripada peluang pekerjaan, mutu pendidikan, harga rumah, pengangkutan awam, alam sekitar, kesamarataan di depan undang-undang (tiada dua darjat) sampai ke kelajuan internet?

Hairan mengapa pemimpin muda beratur panjang menunggu menggantikan pemimpin berkelas antik apabila pengundi muda selama ini dikerdilkan.

Pembahagian kawasan pengundi yang tidak sekata (malapportionment) selalu ditayangkan sebagai isu antara kaum yang menguntungkan orang Melayu.

Persepsi basi ini gagal melihat penghijrahan orang Melayu sejak 1970-an yang telah membandarkan orang Melayu dan turut memelayukan bandar.

Apabila anak muda yang kurang upaya dalam menentukan masa depan negara, siapa majoriti dalam kalangan mereka? Bukan anak muda Cina dan India, juga bukan anak muda Melayu kayangan, tetapi anak Melayu kebanyakan.

KUASA POLITIK

Terdapat sekurang-kurangnya lima cara penyelesaian untuk mengangkat kuasa politik anak muda.

Pertama, patuhi kehendak subseksyen 2(c), Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan di mana kawasan pilihan raya dalam negeri yang sama mesti mempunyai jumlah pengundi yang ‘lebih kurang sama banyak.

Kedua, munasabahkan pengagihan kerusi Dewan Rakyat dalam kalangan negeri Semenanjung dan di antara Sabah, Sarawak dan Labuan (kekal satu perempat jumlah kerusi).

Ketiga, perkenalkan kerusi ‘senarai parti' (party list) yang membolehkan pengundi mengundi parti secara langsung dan kerusi diagihkan antara parti bertanding secara berkadar (proportional) supaya anak muda dan pengundi lain senang mendapat perwakilan di Dewan Rakyat tak kira di mana mereka mengundi.

Keempat, perkenalkan pilihan raya untuk Wilayah Persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan tempatan. Kalau Jakarta boleh mengundi Gabenornya, apa kekurangan warga kota Kuala Lumpur untuk memilih Datuk Bandar?

Kelima, daripada melantik ramai orang politik dan elit yang tidak rasa denyutan nadi rakyat ke Dewan Negara, biar rakyat undi senator untuk mewakili negeri masing-masing. Ini tidak perlu pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana telahpun diperuntukkan di bawah perkara 45(4).

Parti-parti yang inginkan undi anak muda, usah beretorik panjang atau mempamerkan istilah canggih.

Tunjukkanlah keiltizaman anda untuk memperkasakan kuasa politik anak muda dalam manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca