SHAH ALAM - Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan Persekutuan yang dijanjikan sebelum ini perlu segera disalurkan bagi membolehkan mangsa banjir memulakan kehidupan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata mereka mengharapkan wang bantuan tersebut diagihkan secara sistematik dan teratur.
Pekerja swasta, Khairol Amin Mohamad Akhir, 46, berkata, dia masih belum menerima sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan negeri mahupun pusat menyebabkannya sukar membeli barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais.
Menurutnya, di kawasan perumahannya di Meru, masih ramai mangsa banjir yang belum menerima bantuan sedangkan di tempat lain ada yang telah menerimanya secara keseluruhan ataupun separuh iaitu RM1,000.
"Kerosakan di kawasan saya ini memang teruk. Keseluruhannya rosak. Mana lagi saya mahu dapatkan bantuan kalau bukan daripada kerajaan? Mereka seharusnya cakna,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daerah Klang dan Petaling mencatatkan bilangan paling tinggi mangsa banjir yang belum menerima BSB berbanding daerah lain.
Jelas Amirudin, agihan akan dipercepat selepas bantuan mangsa banjir di daerah-daerah lain selesai.
Susulan itu, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor telah menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Izzat Latif di hadapan pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada Khamis bagi menuntut bayaran tersebut disegerakan.
Sementara itu, peniaga, Sarina Mohd Som, 44, memberitahu dia terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri bagi membaiki kerosakan rumah dan membeli barangan baharu.
"Saya tidak dapat apa-apa bantuan lagi. Saya dah tanya YB (Yang Berhormat), dia kata tunggu pejabat daerah. Kena tunggu giliran dan sebagainya. Satu taman belum dapat,” ujarnya yang menetap Taman Seri Puteri.
Sarina berkata, kerajaan seharusnya menyegerakan bantuan tersebut memandangkan bencana banjir telah berlaku dua bulan lalu.
"Kenapa saluran tidak sekata, ada yang telah terima, ada yang belum dapat. Rakyat perlukan bantuan segera. Saya memang kecewa,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Musjaiman Ahmad Mustar, 37, berkata dia telah menerima BSB sebanyak RM1,000 namun berharap agihan baki RM1,500 lagi dapat disegerakan.
Jelasnya yang merupakan mangsa banjir di Taman Sri Muda, jumlah yang diterima tersebut tidak mencukupi untuk membaiki keseluruhan rumah yang rosak akibat banjir.
Bagi seorang guru, Noor Wajihaa Halim, 40, pula dia menggunakan wang sendiri sebanyak RM8,000 bagi membeli barangan baharu di rumahnya.
"Saya pakai duit saya sendiri. Semua orang mahukan bantuan ini disegerakan. Lagi cepat, lagi bagus. Semua dalam keadaan susah sekarang.
"RM3,500 yang dijanjikan sebelum ini juga boleh membantu mangsa beli banyak barang. Jadi, jangan lengah lagi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca