SEMALAM, Mat Taici teringin sangat nak makan ayam goreng di sebuah restoran makanan segera yang popular dan seperti semua tahu, hidangan tersebut tidak akan lengkap tanpa air dan kentang goreng sebagai hidangan sampingan.
Namun, alangkah kecewanya Mat Taici selepas mendapati bahawa semua set melibatkan kentang goreng tidak ada dan hanya tinggal saiz kecil sahaja.
Terus selera makan pelahap Mat Taici hilang serta-merta. Dengan berbekalkan semangat yang ada, Mat Taici pun pergi ke restoran makanan segera yang lain pada keesokan hari dan ternyata semua mengalami masalah yang serupa.
Apabila sudah hilang semangat makan di luar, Mat Taici pun cuba order melalui penghantaran makanan dari rumah sambil duduk melayan drama petang TV3.
Nasib masih belum menyebelahi Mat Taici apabila kentang goreng masih tiada dalam perkhidmatan malah semua makanan yang melibatkan kentang di kebanyakan restoran tidak boleh dipesan.
Hairan dan ajaib, Mat Taici pun terus mencari kawan baik sang Google untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi pada makanan kegemaran pilihan ramai ini.
Rupa-rupanya barulah Mat Taici tahu bahawa sekarang ini bekalan kentang di seluruh dunia sudah berkurangan dikatakan akibat cuaca ekstrem yang berubah-ubah.
Berdasarkan laporan The Washington Post, sebilangan barangan popular seperti krim keju juga menghadapi kekurangan di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh wabak Covid-19 dan faktor cuaca.
Hal ini telah menyebabkan beberapa rangkaian restoran makanan segera antarabangsa yang popular terpaksa menghentikan jualan kentang goreng bersaiz besar dan sederhana dalam usaha untuk memastikan produk itu tidak kehabisan stok.
Menurut laporan Jabatan Pertanian AS, tanaman kentang merosot sebanyak dua peratus pada tahun 2021. Tahun lalu, petani di AS terpaksa memusnahkan berjuta-juta kentang selepas lockdown dan perintah bekerja dari rumah yang telah menyebabkan penurunan mendadak dalam permintaan termasuk dari restoran.
Secara keseluruhannya, terdapat banyak masalah dalam industri kentang sekarang ini. Kanada, pengeluar utama berhenti mengeksport beberapa kentang ke Amerika Syarikat kerana penemuan kulat ketuat kentang di Pulau Prince Edward. Selain itu, hujan yang berlebihan mengurangkan bekalan pelbagai jenis kentang tertentu di Afrika Selatan.
Kentucky Fried Chicken (KFC) di Kenya pernah membuat ciapan di Twiter milik mereka yang mana restoran itu kehabisan kentang goreng dan menawarkan alternatif lain namun perkara ini telah menimbulkan kemarahan petani kentang di Kenya yang menghasilkan lebih daripada satu juta tan kentang setahun dan tidak mengalami sebarang kekurangan ketara tahun ini.
Membalas kenyataan itu, mereka berkata, ia merupakan prosedur jaminan kualiti syarikat yang memerlukan mereka untuk mengimport kentang yang kebanyakannya datang dari Mesir dan bukannya menggunakan kentang tempatan.
Tambahnya, kelewatan penghantaran di Mesir adalah disebabkan masalah berkaitan Covid-19 yang menjadi punca kekurangan kentang di KFC Kenya.
Nampaknya, wabak Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan bahkan banyak perkara termasuk bekalan makanan tanpa sedar. Mat Taici rasa mungkin sudah sampai masanya kita belajar hidup dengan norma baharu dan mencari makanan gantian bagi kentang.
PS: Terpaksa tukar selera makan nampaknya...
Klik di sini untuk terus membaca