ORANG tua kita dahulu amat bijak bermain bahasa dan kata-kata. Mereka boleh mencipta peribahasa dan pepatah Melayu lama hanya daripada pemerhatian teliti di persekitaran. Sekali dibaca, mungkin kita tidak dapat mengaitkan apakah maksudnya.... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG tua kita dahulu amat bijak bermain bahasa dan kata-kata. Mereka boleh mencipta peribahasa dan pepatah Melayu lama hanya daripada pemerhatian teliti di persekitaran.

Sekali dibaca, mungkin kita tidak dapat mengaitkan apakah maksudnya. Kita mungkin tertanya-tanya kenapa perlu dikaitkan sesuatu benda kepada sesuatu yang lain kerana seperti tiada kaitan untuk diberi makna.

Kadangkala tidak masuk akal juga untuk kita memikirkannya. Contohnya, salah satu peribahasa yang menarik perhatian saya ialah ‘telur mengatakan lepang tak pandai duduk’.

Seimbas membacanya tidaklah saya faham maksudnya. Apa kaitan telur dengan lepang?

Semua orang tahu apa itu telur. Telur ialah benda bulat bujur yang biasanya berkulit keras dan berisi lembaga anak. Begitulah antara maksudnya menurut kamus Dewan Bahasa.

Namun, telur juga mempunyai maksud kedua yang mungkin tidak ramai mengetahuinya iaitu sejenis tumbuhan renek. Mungkin pepatah ‘telur mengatakan lepang tak pandai duduk’ merujuk kepada telur adalah sejenis tumbuhan kerana perkataan selepas itu iaitu lepang bermaksud sejenis tumbuhan herba memanjat.

Maka, telur iaitu sejenis tumbuhan renek telah mengejek-ejek lepang sejenis tumbuhan memanjat yang tidak pandai duduk diam agaknya, jika menurut pepatah tersebut.

Ada juga pepatah mengaitkan telur seperti ‘telur hari ini lebih baik daripada anak ayam besok’ yang memberi maksud pendapatan hari ini lebih baik daripada pendapatan hari esok. Mungkin telur hari ini tidak lagi baik seperti sebelumnya, apatah lagi telur hari ini sudah berada di hujung tanduk.

PUNCA-PUNCA

Baru-baru ini ketika cuti Tahun Baharu Cina, saya sempat pulang ke kampung halaman. Seperti dijangka jalan sesak. Hasrat hati mahu ke Pasar Payang di Kuala Terengganu terpaksa dibatalkan kerana kesesakan melampau.

Manusia berpusu-pusu keluar masuk, kelihatan membimbit segala macam barang, makanan, pakaian dan cenderamata di Pasar Payang.

Saya terpaksa meneruskan perjalanan ke Losong dengan harapan mungkin tidaklah ramai orang membeli keropok lekor. Situasinya sama sahaja. Kesesakan melampau tanpa ada penjarakan fizikal dengan orang ramai berpusu-pusu.

Ketika di Pasar Chabang Tiga, saya melihat ramai pula rakyat berbaris panjang mahu membeli telur. Mulanya saya tidak menjangkakan apa-apa, mungkin mereka sudah lama tidak makan telur agaknya. Itu pendapat saya sehinggalah saya membaca berita menyatakan Terengganu tiada telur.

Dikatakan ketiadaan telur sudah berlanjutan sejak sebulan lalu dan ramai berebut untuk membeli telur.

Seperti kenyataan pihak berkuasa yang terlibat dengan telur, yang menjadi punca katanya mungkin pengeluar telur yang licik. Dan ia tidak membabitkan semua jenis gred telur. Mungkin hanya telur gred rendah.

Puncanya lagi, mungkin disebabkan penetapan harga kawalan dalam tempoh panjang. Ada juga mengatakan disebabkan cuaca jadi punca telur ayam berkurang.

Katanya lagi, kejadian banjir turut menyebabkan kekurangan telur ayam. Saya tidak ingat bila kejadian telur berkurang berlaku disebabkan cuaca. Seingat saya yang sudah berumur 48 tahun ini, tidak pernah pula berlaku kejadian tiada telur disebabkan cuaca.

Eloklah dibuat kajian atau siasatan mengapa berlaku kekurangan. Menyalahkan cuaca dan banjir seperti bak kata pepatah Melayu lama lagi, ibarat berketuk ayam di dalam telur.

Tiada siapa yang akan mendengar jika sekadar berketuk di dalam telur. Dan boleh jadi juga, ibarat menerka ayam di dalam telur. Semuanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Begitulah hebatnya pepatah Melayu lama berkaitan telur. Silap hari bulan, kerana telur boleh menyebabkan huru-hara kerajaan dan negara. Hanya kerana telur, mungkin boleh jatuhnya sebuah kerajaan.

Pulang daripada bercuti, dalam perjalanan, anak saya ada berpesan: "Nanti kalau sempat singgahlah di kedai char kuetiau telur ayam dibasuh ya.”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca