BOLEH dikatakan, rungutan dan kritikan sudah sebati dalam kalangan rakyat Malaysia setiap kali musim raya.
Walaupun kebanyakan mereka dapat menikmati percutian sempena hari raya, namun kesesakan jalan raya, pertambahan kapasiti manusia di segenap tempat seperti di tempat pelancongan dan kedai-kedai makan sudah menjadi ‘acara wajib’ untuk menerima kritikan serta rungutan setiap kali musim raya.
Malah, fenomena melangsungkan majlis perkahwinan, kenduri-kendara, perjumpaan sahabat lama dan tuntutan memenuhi hobi masing-masing dengan berkonvoi menggunakan motosikal berkuasa tinggi serta pelbagai lagi acara santai semasa musim perayaan merimaskan lagi mereka.
Persoalannya, apa yang tidak kena sebenarnya? Adakah kita sahaja yang hendak bercuti dan bersantai, manakala orang lain perlu duduk di rumah?
Pada hemat saya, itu adalah sebahagian kecelaruan pemikiran dalam kalangan kita yang masih meletakkan kepentingan diri melebihi segala-galanya.
Sebetulnya, kita patut bersyukur kerana negara kita telah mengurniakan cuti tahunan antara yang paling tinggi di dunia disebabkan oleh kepelbagaian bangsa dan agama. Apabila dikurniakan cuti, sudah tentu pelbagai perancangan akan dilakukan untuk menenteramkan jiwa.
Tidak kiralah cuti bangsa apa dan agama apa, yang penting kita berhak menikmati cuti tersebut.
Menerusi tinjauan sepintas lalu melalui pelbagai media sosial sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, ramai dalam kalangan rakyat
Malaysia tidak kira bangsa berkongsi kegembiraan berkumpul sesama ahli keluarga, melancong dan berjumpa sahabat lama, selain mengunjungi rumah kenalan mereka yang berbangsa Cina.
HARMONI
Menariknya, keharmonian sambutan raya dengan menyediakan pelbagai makanan halal untuk tetamu mereka sudah menjadi kelaziman sebagai suatu bentuk toleransi yang cukup tinggi dalam kalangan kaum di Malaysia.
Malah, ada kawan-kawan saya yang berbangsa Cina menjadikan ritual ‘makan besar’ mereka dengan menjamah nasi kandar beralaskan daun pisang, nasi dagang, nasi kerabu (sinonim dengan kaum Cina di pantai timur) dan pelbagai lagi jenis makanan yang merentasi budaya.
Jangan terkejut, jika sesiapa mengunjungi rumah kaum Cina di kampung-kampung Cina di Kelantan dan Terengganu yang menyediakan ketupat, rendang, tapai serta pelbagai masakan tradisi Melayu.
Begitu juga dengan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, pelbagai juadah hari raya yang merentasi pelbagai budaya telah disediakan kepada tetamu mereka.
Malah, ketika bulan puasa, bazar-bazar Ramadan bukan sahaja dipenuhi oleh kaum Melayu untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa tetapi turut dikunjungi oleh pelbagai kaum di bazar berkenaan. Harmoninya negara kita.
Beberapa tahun lalu, saya masih ingat perbualan saya dengan sepasang suami isteri kaum Cina sepanjang perjalanan di dalam kapal terbang ke Phuket, Thailand berkaitan keharmonian kaum di Malaysia.
Kata mereka: "Rumah kami berdekatan masjid. Kami rasa cukup selesa dengan takbir raya setiap kali malam raya”
Pada mulanya saya tidak percaya, namun setelah mereka melafazkan takbir berkenaan dengan ringkas berserta nadanya, menyebabkan saya amat terkejut dan teruja dengan kesantunan mereka bertoleransi sesama kaum.
Adalah jelas, usaha kita bersama-sama menyantuni pelbagai kaum di Malaysia adalah selaras dengan firman ALLAH SWT: " Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami telah jadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). (Surah Al-Hujurat, 49:13).
Pun begitu, keharmonian negara tidak akan dikecapi selagi jiwa kita semakin mengecil dan minda pula semakin tertutup. Sayangilah Malaysia.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca