NAMA Tan Sri Shahrir Abdul Samad bukan lagi asing dalam landskap pilihan raya negara. Sudah lebih empat dekad wajah beliau sinonim dengan pilihan raya. Bertanding kali pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1978, kerusi yang dipertahankan... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA Tan Sri Shahrir Abdul Samad bukan lagi asing dalam landskap pilihan raya negara. Sudah lebih empat dekad wajah beliau sinonim dengan pilihan raya. Bertanding kali pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1978, kerusi yang dipertahankan sehingga tahun 1990 dan kemudian kembali menyertai Dewan Rakyat pada 2004 dan kekal dipertahankan sebelum tewas pada 9 Mei 2018.

Antara kontroversi yang dijadikan kes teladan termasuklah keputusan melepaskan kerusi Johor Bahru pada 1988 untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Percubaan beliau untuk menguji popularitinya tercapai apabila memperoleh lebih banyak undi berbanding PRU 1986. Pilihan raya kecil itu dikaitkan dengan krisis politik dalaman UMNO turut membawa kepada pengenalan undang-undang melarang wakil rakyat melepaskan kerusi masing-masing daripada bertanding selama lima tahun.

Malah, Shahrir dilihat sebagai pemimpin yang bercakap terus-terang, tidak asing dalam siri kontroversi yang mengiringinya. Beliau beberapa kali pernah mengatakan bahawa tidak mahu terus kekal sebagai wakil rakyat. Bagaimanapun parti beliau anggotai melihat sebaliknya, sehingga mengekalkan beliau di peringkat Parlimen sehingga PRU 2018.

Awal minggu ini, beliau mengumumkan tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas alasan sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Menurut Shahrir, beliau berdepan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tuduhan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. Malah menurut bekas

TIDAK HILANG KEDUDUKAN

Pengerusi Felda itu, meskipun tuduhan dikenakan terhadapnya adalah pendakwaan selektif namun beliau enggan berselindung di sebalik kedudukan politik. "Dalam kedudukan saya menghadapi kes (mahkamah), saya rasa lagi tidak wajar saya mewakili parti sebagai calon di PRN atau PRU,” kata beliau dalam catatan di Facebook.

Selain beliau, beberapa pemimpin kanan termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diramal akan bertanding turut memutuskan sebaliknya.

Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian PRN Johor 9 Februari ini, pengumuman Shahrir sekali lagi mencuri perhatian banyak pihak.

Dalam catatan itu, Shahrir menekankan bahawa "jawatan dalam parti adalah bersikap sukarela dan pilihan ahli-ahli tapi jawatan wakil rakyat adalah dalam institusi politik tertinggi negeri dan negara.”

Malah katanya: "Kalau didakwa semasa memegang jawatan wakil rakyat, saya akan pegang jawatan itu sehingga habis tempoh dewan dan tidak akan bertanding semula. Kalau letak jawatan semata-mata kerana didakwa, habis pula kelayakan selama lima tahun.”

Di bawah undang-undang negara, seseorang wakil rakyat tidak akan hilang kedudukan mereka sehingga kesemua proses mahkamah selesai. Kita ada tiga peringkat perbicaraan dan mereka akan kekal dengan status sebagai anggota dewan perundangan. Pada masa yang sama, kita wajar memberikan keistimewaan masing-masing iaitu kekal tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah.

Pendakwaan tidak semestinya sudah terbukti melakukan kesalahan. Kita juga tiada undang-undang yang melarang seseorang yang didakwa daripada menjadi calon. Hak individu itu tiada sekatan.

Pada hari ini, sudah ada tuntutan agar pemimpin politik sama ada wakil rakyat atau anggota kabinet, di kedua-dua peringkat pusat dan negeri serta penjawat awam perlu berehat atau melepaskan jawatan apabila dituduh bagi memberi tumpuan ke atas kes mahkamah. Mereka boleh kembali selepas proses mahkamah berakhir dan didapati tidak bersalah.

Tidak ramai yang sanggup bersikap terbuka seperti Shahrir, melainkan parti mereka menggugurkan wakil rakyat daripada bertanding semula. Dari segi moral dan integriti, tindakan beliau harus dipuji. Dalam melahirkan persekitaran demokrasi berakauntabiliti, kita perlu lebih ramai yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, bukannya tiket pilihan raya.

Apa pun, pilihan akhir di tangan pengundi.

* Dr G Manimaran merupakan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca