KUALA LUMPUR - Mangsa akan ‘dipancing’ dengan tawaran kerja sambilan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp dan pesanan khidmat ringkas (SMS). Itu modus operandi sindiket tipu tawaran kerja di platform e-dagang yang menawarkan tawaran kerja... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Mangsa akan ‘dipancing’ dengan tawaran kerja sambilan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp dan pesanan khidmat ringkas (SMS).

Itu modus operandi sindiket tipu tawaran kerja di platform e-dagang yang menawarkan tawaran kerja dan ganjaran tunai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa yang berminat ini kemudian akan diberikan satu pautan kononnya sebagai langkah permohonan kerja.

Menurutnya, mangsa kemudian ditawarkan untuk membeli barangan di platform e-dagang terbabit dan akan menerima komisen berdasarkan harga barangan itu.

"Contohnya, mangsa membeli satu barang elektrik berharga RM100. Suspek akan menjanjikan komisen sebanyak 10 peratus daripada harga terbabit.

"Ini kes yang banyak dilaporkan di ibu negara kerana kebiasaannya, pulangan komisen hanya akan diperoleh di peringkat awal sahaja dan hanya membabitkan harga barang murah.

"Mangsa yang pada awalnya menerima komisen kemudian diarah untuk membeli barang lebih mahal, namun selepas membuat pembayaran menerusi transaksi perbankan, suspek gagal dihubungi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan statistik di Kuala Lumpur pada tahun 2021, terdapat 191 kes dilaporkan membabitkan kerugian mencecah RM3 juta manakala tahun ini sahaja setakat Januari, sebanyak 79 kes telah direkodkan dengan kerugian berjumlah RM1.5 juta.

"Mengikut pecahan mangsa bagi kes tahun 2021, terdapat 94 lelaki dan 97 wanita yang menjadi mangsa dan 29 lelaki serta 50 wanita pada Januari tahun ini.

"Kebanyakan mangsa adalah berusia lingkungan 20 hingga 40-an terdiri daripada mereka yang mencari pekerjaan sambilan,” katanya.

Menurutnya, polis percaya kegiatan sindiket ini turut melibatkan keldai akaun iaitu akaun milik individu lain bagi mengelakkan daripada identiti suspek mudah dikesan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi atau hubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Klik di sini untuk terus membaca