APA yang menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menarik dan berbeza dengan pilihan raya lain sebelumnya barangkali hanyalah Undi 18.
Buat pertama kali, negara bakal menyaksikan pengundi baharu (muda) layak mengundi, dengan PRN Johor memperlihatkan pertambahan signifikan pengundi daripada kelompok itu sekitar 30 peratus (749,731 pengundi) hasil pelaksanaan Undi 18.
Ia sekali gus menyaksikan pertambahan jumlah keseluruhan pengundi di Johor daripada 1.8 juta ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada 2.5 juta pengundi. Ia menarik minat pelbagai pihak disebabkan keterujaan mahu melihat trend dan kesan undi kelompok tersebut.
Selain itu, perebutan kuasa dan politik pilihan raya yang terlalu kerap berlaku dilihat sudah tidak lagi berupaya membangkitkan keghairahan ramai, kalaupun tidak sampai ke tahap bosan dan menyampah.
Mengapa menarik Undi 18 ini? Ada tiga sebab yang mungkin boleh difikirkan. Pertama, bagaimana corak dan arah sokongan undi kelompok berkenaan.
Kedua, bagaimana penerimaan dan sentimen mereka terhadap politik terutama dari aspek pengundian, dan ketiga, siapa yang bakal mendapat manfaat daripada pertambahan jumlah pengundi.
Secara umum, kesemua parti politik yang bakal bertanding pada PRN Johor masih berpeluang memancing undi kelompok tersebut. Walaupun masih samar, ia bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan sungguhpun kebanyakan mereka bersikap ‘atas pagar’, senyap dan tidak berparti.
Justeru, pengundi sebegini akan lebih taktikal dan undinya bergantung kepada dua angkubah. Pertama, persepsi dan pengetahuan mereka terhadap politik semasa. Kedua, pengaruh keluarga terutama ibu bapa yang sudah ada kecenderungan memangkah parti politik tertentu.
PERSAINGAN
Namun, ada banyak faktor saling berkaitan dalam membaca trend pengundian anak muda, antaranya persaingan dan konfigurasi partisan itu sendiri. Misalnya, berapa banyak (atau sedikit) kempen dan parti politik yang sampai kepada mereka.
Kedua, berapa banyak (atau sedikit) pendedahan dan pendidikan politik yang mereka terima. Ketiga, komposisi demografi pengundi muda itu sendiri dan yang terakhir, faktor semasa ketika pilihan raya itu diadakan.
Ada beberapa senario mungkin berlaku dalam PRN terhadap undi anak muda. Pertama, jika kesedaran dan pengetahuan politik mereka berada di tahap rendah atau sederhana, besar ke-mungkinan mereka tidak akan turun mengundi kerana berasakan ia tidak penting dan perlu.
Kedua, sentimen semasa. Apakah isu-isu terkini akan mampu menarik minat kelompok itu untuk mengundi. Isu-isu semasa yang melatari politik semasa kalau boleh digembleng dengan baik barangkali boleh meningkatkan keghairahan politik kelompok muda untuk mengundi.
Ketiga, penawaran parti-parti bertanding. Aspek kempen, calon, isu dan jentera mungkin berpeluang mempengaruhi arah serta kecenderungan mereka. Kempen secara bukan tradisi menerusi media sosial, kecenderungan orang muda untuk melihat calon berketerampilan dan mungkin sebaya serta isu-isu yang dekat dengan kehendak mereka dilihat perlu bagi menambat so-kongan kelompok tersebut.
Di sebalik semua itu, jelas tidak ada sebarang sebab yang boleh menerangkan trend dan sentimen sokongan anak muda dengan tepat dalam sesuatu pilihan raya.
Bagaimanapun, kelompok ini (terutama berumur 18, 19 dan 20 tahun) patut diberi perhatian khusus kerana mereka adalah pengundi baharu.
Penyertaan mereka dalam pilihan raya kelak sama ada tinggi ataupun rendah boleh memberikan gambaran sejauh mana kita telah menyediakan serta menyemarakkan minat mereka untuk mengambil bahagian dalam demokrasi negara.
Yang pasti, kemasukan kelompok berkenaan dalam sistem pilihan raya bakal mengubah landskap dan konfigurasi politik pilihan raya negara.
Apakah PRN Johor akan menjadi pemangkin kepada perubahan tersebut dan membuka jalan kepada politik anak muda untuk muncul sebagai kuasa baharu pada PRU15.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca