KLANG - Judi ternyata bukan sahaja merosakkan kehidupan seseorang individu itu malahan memberikan kesan terhadap keluarga serta masyarakat. Ketagihan berjudi mengakibatkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan keinginan... Klik di sini untuk terus membaca

KLANG - Judi ternyata bukan sahaja merosakkan kehidupan seseorang individu itu malahan memberikan kesan terhadap keluarga serta masyarakat.

Ketagihan berjudi mengakibatkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan keinginan untuk kaya cepat tercapai dalam sekelip mata.

Peredaran zaman kini menjadikan kegiatan judi turut berubah seiring dengan kemajuan arus semasa.

Judi dalam talian adalah kaedah judi baharu yang disifatkan lebih mudah, cepat dan kadangkala 'menguntungkan' bagi kaki judi.

Namun di sebalik ingin kaut 'keuntungan' dengan cepat, kesan kepada mereka yang melibatkan diri dalam judi dalam talian ini lebih besar keburukannya.

Mendedahkan perkara ini, Ketua Biro Aduan Awam MCA Klang, Datuk B.K Tan berkata, judi dalam talian mempunyai daya penarik tersendiri mengakibatkan ramai yang terpengaruh sekali gus berjinak dalam aktiviti ini.

"Kalau judi dahulu, mereka akan mengambil masa berjam-jam di kedai judi untuk bertaruh, namun bukan setiap masa dan masa sama tak semua berani berjudi bimbang diserbu pihak berkuasa.

"Namun, judi dalam talian ini kita lihat ia mempunyai daya penarik yang berbeza, iklan-iklan judi dalam media sosial dan ditambah dengan laman sesawang menjadikan aktiviti ini tampak lebih mudah," katanya kepada Sinar Harian.

Judi dalam talian mempunyai daya penarik tersendiri mengakibatkan ramai yang terpengaruh sekali gus berjinak dalam aktiviti ini.(Gambar kecil: B.K Tan)

TAKTIK TARIK KAKI JUDI

Katanya, adanya iklan judi ini sekali gus menjadi pendorong kepada mereka yang mendakwa ingin menambah pendapatan.

"Selalu kita dengar ayat masuk RM10 cuci RM30, dengar memang nampak seolah ada untung, tapi kita perlu tahu itu hanya taktik kegiatan judi dalam talian ini untuk menarik kaki-kaki judi baharu.

"Ia bagaikan satu ketagihan apabila dengan hanya bermula RM10, kemudiannya mereka akan menggandakan lagi wang pertaruhan mereka hingga melibatkan ribuan ringgit, namun peringkat awal saja mereka menang, selepas itu tidak lagi," katanya.

Menurutnya, menjadi salah satu taktik kegiatan judi dalam talian ini memberikan 'ayat manis' bagi memerangkap kaki judi ini.

"Awalnya mereka bagi menang dalam beberapa jumlah wang yang dipertaruhkan, namun setelah itu, apabila pertaruhan semakin banyak, maka bermulalah detik hitam bagi kaki judi ini.

"Mereka akan diperdayakan oleh kegiatan judi dalam talian ini, mengakibatkan mereka sentiasa menambah wang pertaruhan bermula dari jumlah kecil sehingga besar semata-mata untuk menang pertaruhan, sebaliknya perkara tersebut tidak berlaku," katanya.

Antara peralatan yang dirampas menerusi serbuan di premis yang dipercayai menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Tan berkata, terdapat kes yang diterima pihaknya mengenai mereka yang terlibat dalam judi dalam talian ini mendapatkan pinjaman daripada ah long.

Menurutnya, sebahagian besar kaki judi ini menjadikan ah long sebagai langkah terakhir bagi meminjam wang untuk dipertaruhkan.

"Banyak kes yang kami terima, ramai mangsa ah long terdiri daripada mereka yang terlibat dalam judi dalam talian ini.

"Mereka meminjam ah long dalam jumlah yang banyak untuk dipertaruhkan, malangnya mereka kalah sedangkan wang yang dipinjam daripada ah long perlu dibayar," katanya.

Beliau berkata, keadaan semakin mendesak apabila kadar bunga yang dikenakan oleh ah long semakin tinggi.

"Ada yang berhutang hampir ratusan ribu ringgit dengan ah long angkara judi dalam talian, yang menjadi mangsa bukan individu itu sendiri malah turut melibatkan ahli keluarga.

"Ada kes yang kita terima peminjam ah long ini terpaksa hidup berpindah randah gara-gara meminjam daripada ah long untuk bertaruh dalam judi dalam talian, " katanya.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terjebak dengan aktiviti judi dalam talian.

"Ingin saya tegaskan, judi dalam talian ini tidak ada satu pun kebaikan atau manfaat, ia akan memusnahkan kehidupan seseorang itu.

"Keluarga akan berantakan malah akan mengakibatkan seseorang itu akan mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang seperti meminjam daripada ah long yang kemudiannya akan memberikan kesan kepada kehidupan individu tersebut," katanya.

Individu yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ditahan di sebuah banglo di Hulu Langat, Selangor.

IKLAN JUDI PERLU DISEKAT

Tan berkata, iklan judi dalam talian di media sosial di negara ini perlu disekat sepenuhnya.

"Kita lihat kegiatan judi dalam talian ini mengiklankan aktiviti mereka dalam media sosial, ini merupakan satu kesan negatif kepada masyarakat.

"Kita bimbang sekiranya perkara ini berleluasa, ia akan menjadikan orang ramai lebih tertarik untuk melibatkan diri dengan aktiviti judi dalam talian ini," katanya.

Beliau berkata, ada juga iklan judi yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pengguna.

"Ini merupakan satu naratif yang tidak baik sebenarnya, mendedahkan kepada masyarakat berkaitan satu elemen yang negatif.

"Saya berharap dalam soal ini semua pihak harus memainkan peranan dengan memastikan ia dapat segera dibendung dan diatasi," katanya.

POLIS GEMPUR

Polis Selangor menahan seramai 89 individu diberkas dalam operasi khas membanteras perjudian dalam talian yang dilaksanakan di Klang Selatan serta Kajang bermula pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua tangkapan melibatkan kategori perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.

"Seramai 67 individu ditahan melibatkan tangkapan perjudian dalam talian dan 22 individu ditahan melibatkan loteri awam tanpa lesen.

"Hasil daripada tangkapan tersebut, polis telah berjaya merampas pelbagai peralatan perjudian terdiri daripada 77 buah komputer,182 buah komputer riba, 33 buah telefon bimbit, tujuh unit modem, enam unit router dan wang tunai berjumlah RM109,879," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Katanya, sasaran operasi menjurus kepada aktiviti perjudian dalam talian.

"Operasi menjurus kepada kegiatan perjudian dalam talian yang menggunakan komputer riba, tablet dan peralatan elektronik lain sebagai medium perjudian," jelasnya.

Menurutnya, statistik tangkapan perjudian di seluruh Kontinjen Selangor pada tahun 2020 dan 2021 mencatatkan sebanyak 6,432 kertas siasatan dibuka dengan jumlah tangkapan sebanyak 10,649 orang.

Sebahagian individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Paya Rumput Perdana, Melaka.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,859 bersamaan 92 peratus kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan perjudian di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan dua kategori iaitu perjudian dalam talian dan Loteri Awam Tanpa Lesen.

"Bagi kategori perjudian dalam talian sebanyak 2,106 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 5,792 orang.

"Bagi kategori Loteri Awam Tanpa Lesen sebanyak 4,326 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 4,857 orang," katanya.

Dalam pada itu, polis telah melancarkan operasi besar-besaran menggempur sindiket judi dalam talian di seluruh negara menerusi Ops Dadu sejak 15 Januari hingga 2 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, seramai 1,355 orang termasuk penjaga premis ditahan, 2,558 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM189,196 dirampas dalam 826 serbuan Ops Dadu.

"Sebanyak 856 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai RM30,078 dirampas dalam serbuan itu," katanya.

Beliau menegaskan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti judi dalam talian boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat ke WhatsApp hotline Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) JSJ Bukit Aman di talian 016-5773477.

Klik di sini untuk terus membaca