SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mendedahkan beliau tidak pernah terfikir langkah PH dan DAP mengumumkan pencalonan beliau lebih awal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mendedahkan beliau tidak pernah terfikir langkah PH dan DAP mengumumkan pencalonan beliau lebih awal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada Jumaat, adalah strategi DAP memikat pengundi Melayu negeri Johor.

Sebaliknya, Naib Pengerusi DAP Johor itu menegaskan strategi mengumumkan pencalonan beliau paling awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah disebabkan kerusi DUN Paloh adalah kerusi paling mencabar untuk dipertahankan kerana terletak di kawasan luar bandar.

Jelas beliau, PH dan DAP melihat inisiatif mempertahankan kerusi DUN Paloh sebagai penanda aras bagi menentukan sama ada koalisi itu mampu memenangi lebih banyak kerusi campuran dan luar bandar di negeri Johor.

Berikutan itu, Sheikh Umar menegaskan langkah parti mengumumkan beliau sebagai calon lebih awal diharapkan mampu menarik perhatian pengundi DUN Paloh untuk kekal menyokong beliau mengekalkan kerusi berkenaan kelak.

"Sebenarnya dalam DAP, kami tidak pernah terfikir langkah mengumumkan Sheikh Umar bererti DAP umum calon Melayu terlebih dahulu.

"Memandangkan saya terlibat dalam jawatankuasa perundingan kerusi bagi PH Johor, kami memang tidak pernah terfikir konotasi mengumumkan calon pertama orang Melayu daripada DAP akan dilihat sebagai strategi perkauman.

"Hakikatnya, justifikasi pengumuman awal calon DUN Paloh oleh PH dan DAP hanyalah disebabkan kerusi ini paling mencabar untuk dipertahankan DAP, berbanding kerusi-kerusi lain ditandingi kami yang terletak di kawasan bandar," kata Sheikh Umar sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan dan pandangan sebilangan warganet di platform media sosial yang beranggapan langkah PH dan DAP mengumumkan calon sulung daripada koalisi itu adalah pemimpin Melayu merupakan strategi DAP untuk memikat hati pengundi Melayu negeri Johor.

Sheikh Umar Bagharib Ali

Pada Jumaat, PH dan DAP Johor mengambil langkah berani apabila menjadi koalisi parti pertama yang bertindak mengumumkan calon pilihan raya paling awal sempena PRN Johor.

Majlis pengumuman pencalonan semula Sheikh Umar bagi mempertahankan DUN Paloh telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor mengakui terkejut apabila berita pengumuman awal beliau sebagai calon DAP pada PRN Johor dikritik sebilangan warganet di media sosial.

Bagaimanapun, beliau bersikap positif dan yakin pengundi negeri Johor tidak melihat perkara itu daripada kerangka perkauman, sebaliknya akan terus memilih mengekalkan beliau dari sudut keupayaan berkhidmat untuk rakyat DUN Paloh sejak tiga setengah tahun lalu.

"Pada masa sama, saya yakin lebih banyak calon DAP daripada kaum Melayu yang akan diketengahkan parti bagi bertanding di kawasan DUN majoriti pengundi Melayu kelak.

"Jadi, isu pencalonan saya lebih awal tidak perlu dilihat dari kerangka perkauman, sebaliknya ia merupakan strategi parti berdasarkan tahap kesukaran sesebuah kerusi DUN untuk dipertahankan," katanya lagi.

Pada masa sama, Sheikh Umar turut mengenepikan dakwaan langkah PH dan DAP mengadakan majlis pengumuman calon daripada parti masing-masing secara berasingan seolah-olah menunjukkan parti-parti dalam PH kini membawa haluan sendiri pada PRN Johor.

Sebaliknya, beliau menjelaskan amalan sama turut dipraktikkan sewaktu beliau dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Jadi bukan kewajipan untuk PH dan DAP mengadakan pengumuman calon pilihan raya secara serentak dengan perkara itu bukan satu amalan standard yang perlu dipatuhi.

"Saya juga fikir langkah DAP mengumumkan saya paling awal disebabkan kerusi DUN Paloh merupakan antara kerusi pilihan raya yang sudah dimuktamadkan pencalonannya lebih awal.

"Bagi beberapa kerusi DUN lain yang mungkin berlaku pertukaran calon atau pertukaran kerusi dengan parti-parti lain dalam PH serta rundingan belum selesai, ia akan diumumkan kemudian," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca