SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali menjadi calon pertama mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan perkara pelik, sebaliknya strategi 'serampang dua mata' untuk kembali menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Malah, ramai pemerhati dan penganalisis politik melihatnya sebagai salah satu strategi awal untuk menarik sokongan pengundi Melayu dan golongan muda terutama mereka berusia 18 hingga 21 tahun yang pertama kali boleh mengundi supaya berpihak kepada pembangkang pada PRN nanti.
Langkah berkenaan juga dilihat sebagai salah satu strategi PH terutama DAP mempromosikan dan memperkenalkan Sheikh Umar selaku salah seorang calon 'favourite' dan akan diangkat menjadi Menteri Besar jika pembangkang memperoleh majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri baharu selepas PRN Johor nanti.
Penganalisis politik dan pakar geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, beliau juga percaya PH berbuat demikian bagi mendorong dan menarik pengundi Melayu dan golongan muda berusia 18 hingga 21 tahun.
Bagaimanapun, Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, beliau tidak menolak kemungkinan strategi PH terutama DAP menamakan Sheikh Umar sebagai 'poster boy' atau calon Menteri Besar kurang berkesan kerana bekas ADUN Paloh berkenaan dikatakan tidak begitu popular dalam kalangan pengundi dan penduduk Johor sendiri.
"Kalau saya kurang mengenali Sheikh Umar mungkin penduduk Johor juga pun begitu. Malah, bagi saya seseorang yang hendak diletakkan sebagai calon Menteri Besar oleh sesebuah parti politik, beliau mestilah memenuhi kriteria tertentu seperti dikenali ramai dan terbukti kepimpinan di peringkat negeri Johor.
"Maksudnya seseorang yang mahu dicalonkan sebagai calon Menteri Besar mewakili mana-mana parti politik, individu berkenaan mestilah banyak berjasa dan dikenali ramai. Jadi bila ditanya mengenai 'Sheikh' saya ingat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetapi bukan dan rupanya Sheikh Umar yang kurang dikenali orang ramai dan hanya mungkin popular dalam kalangan pemimpih PH sahaja.
"Calon bakal Menteri Besar mewakili sesebuah parti adalah amat penting, jadi mereka perlulah seorang berpengalaman dan berwibawa. Namun, saya tidak pelik jika PH akan menamakan Sheikh Umar sebagai calon Menteri Besar mewakili PH kerana mereka biasa meletakkan muka baharu sebagai calon bakal Ketua Menteri atau Menteri Besar," katanya ketika kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Sebelum ini, wujud khabar angin bahawa Sheikh Umar mungkin diangkat sebagai calon Menteri Besar jika PH kembali menguasai DUN Johor kerana beliau mempunyai hubungan agak baik dengan Istana Johor dan boleh diterima oleh sebahagian besar pemimpin pembangkang termasuk DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Selain Sheikh Umar, dua nama lain yang disebut-sebut bakal diangkat sebagai Menteri Besar Johor dari kem pembangkang termasuklah Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (PKR).
Terdahulu, media melaporkan Sheikh Umar Bagharib Ali menjadi calon pertama yang diumumkan bertanding dalam PRN Johor, tidak lama lagi.
Nama Naib Pengerusi DAP itu diumumkan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng bagi mewakili PH untuk mempertahan kerusi Paloh yang dimenangi buat pertama kali pada 2018.
Guan Eng berkata, pemilihan Sheikh Umar, 36, bukan kerana rekod kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sahaja tetapi prestasi semasa menjadi Exco Kerajaan Negeri.
Katanya, pencalonan semula Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan harapan PH akan mendapat mandat semula menjadi kerajaan bagi membawa pembaharuan di Johor.
"Sebagai calon mewakili PH, Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor yang mana kita umumkan niat untuk berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan lebih baik.
"Dengan matlamat bukan sahaja untuk menang kerusi DUN ini tetapi juga berjaya menjadi kerajaan negeri Johor supaya beliau boleh kembali sekali lagi sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor," katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Pilihan Raya dan pengumuman Calon Pakatan Harapan N.30 DUN Paloh di pejabat ADUN Paloh di Jalan Abu Bakar, Johor, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Azmi berkata, bagaimanapun pencalonan Sheikh Umar sukar untuk menyaingi populariti dan kewibawaan Datuk Hasni Mohamad selaku Menteri Besar Johor, sebelum ini.
"Datuk Hasni kekal sebagai calon terhadapan untuk menjadi Menteri Besar jika BN dan UMNO kembali memperoleh kemenangan dalam PRN Johor nanti. Malah, sehingga kini tiada pemimpin lain sama ada dari UMNO atau parti lain yang nampak lebih menonjol dan layak jadi Menteri Besar Johor akan datang selain Datuk Hasni Mohamad.
"Strategi BN/UMNO sekarang adalah untuk memastikan penyokong mereka keluar mengundi. Jika lebih 80 peratus ahli dan penyokong BN/UMNO keluar mengundi maka mereka boleh menang dan kembali berkuasa di Johor selepas PRN nanti. Perkara sama sudah terbukti di Melaka apabila penyokong BN/UMNO keluar beramai-ramai untuk mengundi," katanya.
Penganalisis politik merangkap Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan PH mempertaruhkan nama Sheikh Umar untuk diangkat sebagai Menteri Besar adalah strategi DAP untuk menawan hati pengundi Melayu dan anak muda dalam PRN Johor nanti.
Bagaimanapun Mohd Izani berkata, peluang Sheikh Umar untuk mampu ke hadapan dan diangkat sebagai Menteri Besar jika PH menang PRN Johor agak sukar kerana beliau mewakili parti DAP.
"Malah, saya berpandangan pengundi Melayu akan kekal bersama BN/UMNO dalam PRN Johor nanti kerana Datuk Hasni Mohamad adalah calon Menteri Besar Johor yang lebih berwibawa dan popular di kalangan pengundi dan orang Johor sekarang berbanding Sheikh Umar," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca