BEIJING - Rusia yang berada di ambang peperangan dengan Ukraine kini mendapat sokongan dari negara komunis China pada Jumaat lalu berhubung penerimaan keanggotaan baharu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Sokongan itu disampaikan... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Rusia yang berada di ambang peperangan dengan Ukraine kini mendapat sokongan dari negara komunis China pada Jumaat lalu berhubung penerimaan keanggotaan baharu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sokongan itu disampaikan Beijing melalui Presidennya, Xi Jinping ketika bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladmir Putin sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di ibu kota China.

Menurut portal berita Global Times dari negara komunis itu, selain pertemuan rasmi, kedua-dua pemimpin tersebut juga berkongsi meluangkan masa bersama seperti menikmati kaviar dan aiskrim Rusia dan meraikan ulang tahun kelahiran masing-masing.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu ketika negara mereka berusaha untuk mengeratkan hubungan semasa menghadapi kritikan yang semakin meningkat dari Barat.

Jinping dilaporkan berkata oleh saluran berita CCTV bahawa beliau percaya pertemuan itu akan menyuntik lebih tenaga ke dalam hubungan China dengan Rusia.

Hubungan dengan Beijing berkembang secara progresif di sepanjang laluan persahabatan dan perkongsian strategik, kata Putin menerusi televisyen pada permulaan pertemuan mereka berdua.

Suatu ketika dahulu, Rusia dikenali sebagai Kesatuan Soviet yang melaksanakan pemerintahan komunis sebelum empayarnya tumbang pada tahun 1991.

Namun, hubungan rapat antara kedua-dua negara itu kini memberikan tamparan kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Ini adalah kerana kedua-dua pemimpin itu menyatakan penolakan terhadap hegemoni Barat yang dipimpin AS yang semakin mengancam keselamatan dan kestabilan global.

Gambar dari kiri: Xi Jinping, Vladmir Putin, Joe Biden

Washington sebelum ini juga terkenal dengan kempen bagi memerangi keganasan sehingga menyebabkan pasukan unit khas tenteranya berjaya membunuh Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama Laden di Pakistan dan dua Ketua Daesh yang dilaporkan terbunuh akibat membunuh diri iaitu Abu Bakr al-Baghdadi serta Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi dalam operasi tentera yang dilakukan oleh negara Uncle Sam itu.

Dalam kenyataan bersama yang panjang dan dikeluarkan berikutan pertemuan tersebut, Moscow dan Beijing mengecam apa yang mereka katakan sebagai peranan Washington yang tidak stabil dalam keselamatan global.

Ia juga menyeru NATO untuk meninggalkan pendekatan ideologi era Perang Dingin dan menggesa supaya kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara lain dihormati.

Kenyataan itu turut menyentuh tentang kelompok ideologi yang dipimpin Barat atas nama demokrasi, strategi Indo-Pasifik AS yang mengancam kestabilan wilayah, perkongsian keselamatan tiga hala antara AS, United Kingdom (UK) dan Australia atau dikenali sebagai AUKUS serta aktiviti senjata api domestik.

AUKUS memungkinkan kerjasama berkaitan pembinaan kapal selam yang bertenaga nuklear.

Ia ditubuhkan ekoran kebimbangan tentang keselamatan di Laut China Selatan selepas China yang dikatakan akan menyerang Taiwan.

AS dianggap terlalu berkuasa dalam menstabilkan keselamatan dunia. - Foto AFP

Portal berita Global Times memetik seorang penyelidik di Akademi Sains Sosial China yang menyentuh tentang kenyataan panjang itu.

Penyelidik itu, Lu Xiang menyatakan ia adalah pertama kali China dan Rusia mengeluarkan kenyataan panjang selepas kedua-dua pemimpin bertemu.

Kenyataan panjang itu, katanya, adalah merangkumi semua isu utama dan persoalan strategik dan menunjukkan bahawa hubungan China-Rusia telah mencapai tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Seorang pakar sains politik di Universiti SOAS London, Steve Tsang berkata kepada AFP bahawa Putin dan Jinping menunjukkan komitmen yang lebih tinggi untuk menjadikan dunia aman untuk otoriterisme khususnya di negara-negara bekas sosialis.

Dan bagi Jinping, mengambil pendirian mengenai Ukraine itu menunjukkan kepentingan bersama dengan Putin untuk mencabar penguasaan AS dalam dunia.

Putin menggunakan ancaman untuk menyerang Ukraine untuk menuntut penghentian pengembangan NATO dan apa yang disebutnya sebagai ideologi ‘Perang Dingin’ dan sekarang mendapat sokongan Beijing dalam pertarungan itu.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine masih kuat berlegar dalam pentadbiran Biden.

Timbalan Setiausaha Negara AS, Wendy Sherman dalam satu forum baru-baru ini berkata, AS percaya bahawa Putin bersedia untuk menggunakan kekerasan terhadap Ukraine menjelang pertengahan Februari ini. 600

Sebelum ini, Ketua Perisikan Tentera Ukraine yang baharu dilantik Presiden negara itu, Volodymyr Zelensky berkata kepada Military Times pada tahun lalu bahawa tentera Rusia merancang untuk menyerang Ukraine menjelang akhir Januari atau awal Februari tahun ini.

Namun, Rusia pernah menafikan bahawa ia akan menceroboh Ukraine.

Sehingga kini, serangan Rusia ke atas Ukraine seperti yang didakwa oleh AS itu masih lagi belum berlaku.

Klik di sini untuk terus membaca