PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi akan menjadi antara penentu takdir senario politik Malaysia sementara menanti pengumuman Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Selepas menyaksikan PRN di Sabah, Sarawak dan... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi akan menjadi antara penentu takdir senario politik Malaysia sementara menanti pengumuman Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selepas menyaksikan PRN di Sabah, Sarawak dan Melaka, Johor kini sedang bersiap sedia untuk memilih. Ia akan menyaksikan warga Johor memberi mandat kepada kepimpinan baharu mentadbir negeri itu.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban meletakkan jangkaan kira-kira lapan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berstatus terpenting, dengan kemenangan akan ditentukan oleh pengundi kaum India.

Dengan itu, telah wujud harapan besar terhadap sokongan kaum India warga Johor akan berpihak kepada calon dan parti yang bakal bertanding.

Menurut Malaysia Nanban, negeri Johor memiliki kira-kira 183,292 orang pengundi kaum India. Angka itu dipercayai mampu memberi impak besar pada PRN Johor dan lapan kawasan DUN merangkumi keseluruhan populasi negeri Johor iaitu lebih 3.7 juta orang.

Pengundi kaum India di Johor pada PRU14 telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan memilih tampuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Namun, jelas Malaysia Nanban, pemikiran dan keperluan kaum India serba sedikit telah berubah mengikut arus peredaran krisis politik semasa negeri serta Persekutuan.

Justeru, trend pemilihan pengundi kaum India besar kemungkinan akan memberi kejutan di luar jangkaan pada PRN Johor.

Adegan politik yang serupa juga akan berlaku di lapan kawasan DUN Johor, antaranya Iskandar Puteri, Kulai, Pulai, Tebrau, Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Labis.

Malaysia Nanban menjelaskan kesemua kawasan DUN tersebut memiliki pengundi kaum India yang cukup tinggi.

Oleh sebab itu, barisan calon dan parti yang bakal bertanding di kawasan-kawasan berkenaan memerlukan sokongan padu daripada pengundi kaum India bagi menjamin kemenangan masing-masing.

Dalam pada itu, menyedari hakikat permainan politik PRN Johor dan kuasa penentu pengundi kaum India, parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC telah menggerakkan jentera politiknya bagi menawan kembali kepercayaan masyarakat India yang telah bertukar angin pada PRU14.

Parti MIC yang kini berwajah baharu di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran dan pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat telah giat melancarkan jentera pilihan raya bagi membantu pengundi kaum India di kawasan-kawasan utama membuat pilihan yang adil serta saksama.

MIC juga berusaha menunaikan tanggungjawab dengan mengenal pasti keperluan kaum India dan berjanji menyelesaikannya demi kelangsungan hidup lebih baik.

Sementara itu, barisan pemimpin kaum India daripada parti PKR dan DAP turut turun padang bersama jentera pilihan raya masing-masing di Johor untuk meraih sokongan pengundi kaum India bagi memastikan kemenangan parti-parti tersebut.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor.

Dengan keputusan itu, Johor menjadi negeri seterusnya yang mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah menyatakan keputusan melaksanakan PRN itu dibuat atas sebab beliau berasakan kerajaan Johor pada masa ini hanya beroperasi atas ihsan pihak pembangkang.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca