POLITIK Malaysia masih berantakan. Terkini, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi. Johor negeri keempat setelah Sabah, Melaka dan Sarawak mengadakan PRN.
Persoalannya, akan adakah negeri lagi yang mengikut jejak langkah Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor? Persoalan itu hanya boleh dijawab apabila tiba waktunya kelak. Situasi di atas membawa erti semasa PRU nanti, mungkin tidak semua negeri akan membubarkan DUN masing-masing, khususnya empat negeri yang telah pun mengadakan PRN mereka lebih dahulu.Undang-undang tidak menghalang DUN dibubarkan tidak bersama dengan Parlimen. Ia adalah prerogatif sultan setelah dinasihati menteri besar masing-masing.
Terdapat pelbagai faktor yang baik dan sebaliknya apabila negeri serta Persekutuan mengadakan pilihan raya berasingan. Sudah pasti dari sudut kos penyelenggaraan, ia akan meningkat. SPR akan menjadi lebih sibuk menyelenggarakan pelbagai PRU, PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Manipulasi pihak tertentu untuk memelihara kepentingan mereka juga mengakibatkan PRN dilihat sebagai disalah guna. Hal itu menyebabkan rakyat marah dan berkemungkinan menzahirkan protes tidak keluar mengundi.
Rakyat juga sudah mula mempunyai defisit kepercayaan terhadap ahli politik ketika ini kerana terlalu banyak kepelikan dirasai rakyat berlaku akibat campur tangan ahli politik tanpa mengira blok mana mereka berada.
Pilihan raya berperingkat juga akan menambahkan kepanasan suhu politik kerana rakyat dan pemimpin tidak akan henti-henti berkempen, menempelak pihak lawan, tuduh menuduh dan bermacam lagi. Kita sudah asing dengan kempen yang tulus memperincikan bagaimana sesebuah parti itu mahu menerajui negara atau negeri.
Namun dari sudut lain, isu Persekutuan dan negeri sebenarnya berbeza. Dengan mengadakan PRU dan PRN pada waktu berbeza, parti politik seharusnya menumpukan isu berkaitan sahaja. Jadi, isu nasional tidak akan mempengaruhi PRN, begitu juga sebaliknya.
Rakyat juga mempunyai dua peluang pada waktu berlainan dalam membuat pilihan. Bukan mengundi sekali gus dipengaruhi oleh isu yang sama.
Terdapat juga negara lain yang memastikan pilihan raya nasional dan negeri diadakan tidak pada waktu sama bagi tujuan tersebut. Namun, di Malaysia kita tidak mempunyai halangan sedemikian dan rakyat sudah sebati dengan pilihan raya Persekutuan serta negeri dilakukan serentak.
Pilihan raya berasingan, saya lihat berkemungkinan akan menjadi trend di Malaysia pada masa akan datang disebabkan umur maksimum suatu DUN dan Parlimen selepas pilihan raya adalah selama lima tahun. Jadi, tempoh lima tahun tersebut berbeza antara Parlimen dan DUN masing-masing.
Yang penting, kerajaan dipilih rakyat akan menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kuat dan memenuhi manifesto dijanjikan.
Sewajarnya rakyat dapat manfaat daripada pilihan raya yang diadakan, bukannya manfaat itu dijarah semata-mata oleh wakil rakyat yang memenangi pilihan raya.
Pilihan raya adalah pesta demokrasi. Rakyat akan menentukan pemimpin yang dipilih. Saya menggesa semua pihak berkepentingan bertandinglah dengan suci hati dan berkempen penuh integriti.
Kesimpulannya, pilihan raya berasingan mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri. Terpulanglah kepada negeri berkenaan menilai sama ada mahu adakan pilihan raya serentak atau sebaliknya selagi tiada undang-undang mengehadkannya.
Yang penting bukanlah pilihan raya itu sendiri tetapi hasil yang sepatutnya dapat membangunkan negeri atau negara.
Tiadalah gunanya menghabiskan beratus juta ringgit tetapi natijahnya kerajaan dipilih tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya atau bertukar-tukar dalam tempoh penggal pilihan raya.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca