BOLEH jadi tidak semua orang tahu asal usul konglomerat Genting yang kini menjadi tajuk berita dunia susulan anak syarikatnya, Genting Hong Kong Limited muflis. Dan, boleh jadi juga ramai tidak tahu kebankrapan Genting Hong Kong Limited... Klik di sini untuk terus membaca

BOLEH jadi tidak semua orang tahu asal usul konglomerat Genting yang kini menjadi tajuk berita dunia susulan anak syarikatnya, Genting Hong Kong Limited muflis.

Dan, boleh jadi juga ramai tidak tahu kebankrapan Genting Hong Kong Limited akan memberi kesan kepada berjuta-juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Khazanah Nasional Berhad.

Konglomerat Genting diasaskan sebagai syarikat perjudian kasino pertama dan tunggal di Malaysia pada 1965 oleh dua orang sahabat – Lim Goh Tong dan Mohamed Noah Omar. Kedua-duanya sudah meninggal dunia dengan gelaran Tan Sri.

Mereka mendapat tanah di atas Banjaran Titiwangsa seluas 6,000 hektar daripada kerajaan Pahang dan Selangor serta lesen kasino daripada kerajaan Persekutuan pada zaman pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Bagaimana kebankrapan Genting Hong Kong memberi kesan kepada pencarum KWSP, pemegang saham amanah ASB dan Khazanah?

Genting Hong Kong ada syarikat pelancongan samudera dengan armada lima buah kapal persisiran mewah, lengkap dengan kasino dan pelbagai jenis hiburan. Ia juga memiliki pusat percutian di Filipina dan dua limbungan di Jerman. Saham-sahamnya diniagakan di Bursa Saham Hong Kong.

Kerugian akibat Covid-19 dan kawalan pergerakan antarabangsa, syarikat berkenaan mengalami kerugian sehingga tidak mampu membuat pembayaran kepada pembekal serta membayar balik hutang kepada bank.

Hutang yang perlu segera dibayar berjumlah AS$2.78 bilion atau kira-kira RM11.7 bilion. Oleh sebab tidak mampu membayar balik hutang atau hendak mencari jalan keluar, ia meminta kebenaran mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya muflis.

Di sinilah pencarum KWSP dan pelabur terjejas walaupun mereka tidak tahu apa-apa mengenai Genting Hong Kong. Duit simpanan dan pelaburan mereka digunakan bagi memberi hutang kepada syarikat yang bankrap itu.

Bukan itu sahaja, hutang yang mereka beri pula tiada cagaran. Siapakah yang beri pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat berkenaan?

Pertama, Malayan Banking Berhad (Maybank), kedua CIMB dan ketiga, RHB. Maybank dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Saham Maybank adalah antara portfolio pelaburan ASB. Hasil perniagaan Maybank akan mempengaruhi pendapatan pengurus ASB dan seterusnya pulangan pelabur ASB.

CIMB pula dimiliki Khazanah Nasional Berhad. Jangan lupa, Khazanah sendiri mengalami kerugian RM6.3 bilion pada 2018 dan terpaksa membuat pemotongan nilai aset (impairment) berjumlah RM3 bilion pada 2020 akibat kerugian Malaysia Airlines Bhd, manakala RHB dimiliki KWSP.

Tengku Zafrul

Elok disebutkan di sini iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan bekas Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CIMB sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan.

Tengku Zafrul juga pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Berhad. Jadi, beliau sangat tahu selok-belok pinjaman raksasa korporat tersebut.

Selain tanda tanya bagaimana bank-bank berkaitan kerajaan memberi pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong, kita juga hairan mengapa bank-bank milik usahawan Cina seperti Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad tidak terlibat.

Adakah eksekutif mereka, yang majoritinya bukan Melayu-Islam lebih berhati-hati memilih pelanggan hatta daripada etnik mereka sendiri?

Atau mereka tahu apa yang eksekutif Melayu-Islam dalam GLC tidak tahu?

Kesimpulannya, Tengku Zafrul dan pengurusan kanan bank-bank terlibat serta induk mereka seperti PNB, Khazanah dan KWSP wajib dipertanggungjawabkan untuk menyatakan kebenaran serta memastikan kesan sistemik akibat tindakan mereka tidak menganiaya rakyat yang melabur dan menabung dengan mereka.

Apatah lagi, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mereka dibayar gaji sangat lumayan.

Mereka bukan bekerja sukarela atau berkhidmat demi negara tetapi diupah jutaan ringgit setahun untuk membawa kebaikan bukan kerosakan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca