SETAHUN lalu pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar atau Tatmadaw telah merampas kuasa daripada pemerintah sivil dan menahan Aung San Suu Kyi serta pemimpin-pemimpin daripada National League for Democracy (NLD) yang telah memperoleh kemenangan besar ketika pilihan raya umum pada November 2020.
Namun, yang tidak diduga oleh pemimpin tentera Myanmar adalah tahap ketahanan dan penentangan penduduk Myanmar terhadap pemerintahan tentera.
Penduduk Myanmar telah bangkit memprotes. Pasukan polis dan tentera telah diarah meredakan keadaan. Perhimpunan beramai-ramai diharamkan tetapi tidak berjaya menghentikan orang ramai terus berhimpun untuk memprotes.
Pemerintahan tentera sudah menjadi sebahagian kehidupan penduduk Myanmar kerana Myanmar atau Burma suatu ketika dahulu diperintah tentera sejak 1962 apabila tentera Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Ne Win merampas kuasa.
Tentera Myanmar terus berkuasa sehingga peralihan kuasa kepada pemerintahan sivil pada 2011. Persoalannya, mengapa sehingga hari ini walaupun setelah setahun berlalu, kebanyakan penduduk Myanmar masih menolak pemerintahan tentera sedangkan Myanmar sudah mempunyai tradisi pemerintahan tentera hampir 50 tahun (1962-2011).
Sebenarnya, penduduk Myanmar telah menikmati kebebasan demokrasi dan pembangunan ekonomi di bawah pemerintahan sivil selama 10 tahun (2011-2021) dan mereka tidak mahu kembali kepada era pemerintahan tentera. Rampasan kuasa mengakibatkan proses demokrasi di Myanmar terjejas.
Selama 12 bulan, dilaporkan tentera Myanmar menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dan orang awam yang cuba melarikan diri. Dianggarkan seramai 1,500 orang telah terbunuh sejak konflik bermula setahun lalu.
Malah, sejak tentera mengambil alih pemerintahan, lebih ramai orang awam yang anti-pemerintahan tentera didesak menyertai kumpulan bersenjata etnik minoriti yang menentang kerajaan.
Segelintir tentera dan polis telah berpaling tadah dengan menyokong kumpulan bersenjata kerana tidak sanggup menyaksikan kekerasan dilakukan pemerintahan tentera terhadap penduduk Myanmar.
Ketika ini tentera Myanmar sudah kehilangan beberapa wilayah kepada kumpulan bersenjata etnik minoriti. Jika pergolakan politik tidak diselesaikan dalam masa terdekat, ada kemungkinan Myanmar akan terheret dalam perang saudara.
Konflik di Myanmar bukan lagi konflik tempatan tetapi memberi implikasi antarabangsa. Negara jiran seperti Thailand dan Bangladesh terpaksa berdepan masalah pelarian terutama apabila tentera Myanmar melancarkan operasi ketenteraan di kawasan sempadan.
Syarikat-syarikat multinasional minyak dan gas asli seperti Chevron serta Total telah mengisytiharkan mereka akan menghentikan operasi cari gali kerana keadaan politik dan ekonomi Myanmar semakin runsing.
Pada 28 Januari lalu, Duta Besar China ke PBB, Zhang Jun buat kali pertama telah menegur kerajaan Myanmar untuk menghentikan kekerasan dan melahirkan kebimbangan kemungkinan tercetus perang saudara. China mempunyai kepentingan politik dan ekonomi di Myanmar melalui program Belt and Road Initiative (BRI).
Jika situasi tidak pulih, ia hanya akan membawa kerugian kepada pelaburan China. Walaupun, China sering dianggap sebagai penyokong kerajaan Myanmar tetapi keadaan semakin serius sehingga kepentingan China tergugat, maka Beijing perlu mengambil tindakan sedemikian.
ASEAN juga telah mengambil pendirian lebih tegas terhadap Myanmar. Buat kali pertama sejak penubuhan ASEAN, ia tidak mengundang Ketua Panglima Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hiang selaku pemerintah menghadiri Persidangan ASEAN dan Persidangan Asia Timur 2021.
ASEAN juga melarang Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang dilantik oleh kerajaan tentera daripada menyertai Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan pada 16-17 Februari ini di Kemboja.
Sebelum ini ASEAN telah berusaha mencari jalan penyelesaian melalui ‘Konsensus 5 Point’ yang telah dipersetujui pemimpin ASEAN ketika Persidangan Khas ASEAN mengenai Myanmar yang diadakan pada 24 April tahun lalu.
Malah, pemimpin tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hiang ketika itu telah bersetuju dengan Konsensus 5 Point tetapi Myanmar tidak berbuat apa-apa, sebaliknya keadaan menjadi menyedihkan.
Setelah setahun, kerajaan tentera Myanmar perlu sedar bahawa tiada tanda penduduk Myanmar akan menerima pemerintahan tentera walaupun kekerasan digunakan. Ia hanya merugikan dan memberi kesan lebih parah kepada ekonomi serta kestabilan politik Myanmar.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca