SHAH ALAM - "Jangankan Shahrol Shiro, kalau Amy Search mahu tanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin mewakili Barisan Nasional (BN) pun boleh jika mereka layak." Demikian kenyataan berseloroh Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn sewaktu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Jangankan Shahrol Shiro, kalau Amy Search mahu tanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin mewakili Barisan Nasional (BN) pun boleh jika mereka layak."

Demikian kenyataan berseloroh Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn sewaktu mengulas desas-desus nama pelawak terkemuka negara, Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 37, berada dalam pertimbangan pucuk kepimpinan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bastien Onn

Beliau mengaitkan Shahrol dan Amy kerana kedua-duanya merupakan selebriti yang berasal dari negeri selatan tanah air.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat mengakui keputusan pemilihan Shahrol sebagai calon pilihan raya terletak sepenuhnya di tangan pucuk kepimpinan BN.

Tambahnya, segala strategi peletakan muka-muka baharu termasuk calon muda dan selebriti adalah berdasarkan kebijaksanaan parti dalam merangka taktik bagi memaksimumkan kemenangan UMNO dan BN pada PRN Johor kelak.

"Sehingga kini, saya pun tidak pasti sama ada Shahrol mahu pun saya sendiri bakal bertanding kelak kerana perkara itu terletak atas strategi parti.

"Kalau beliau (Shahrol) dikatakan sebagai calon boleh menang sebagaimana strategi meletakkan selebriti (Datuk) Dira (Abu Zahar) bertanding pada PRN Melaka tahun lalu, apa salahnya?

"Paling penting, apabila pucuk kepimpinan parti sudah memutuskan siapa calon bakal bertanding kelak, ahli-ahli UMNO dan BN kena istiqamah dalam menyokong calon DUN masing-masing," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Spekulasi mengenai kemungkinan beberapa selebriti seperti Shahrol dan pengarah filem tersohor, Datuk Afdlin Shauki bakal bertanding sebagai calon PRN Johor kini semakin bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu.

Meskipun kedua-dua selebriti itu tidak mengesahkan spekulasi berkenaan, Afdlin tidak menolak sekiranya diberi peluang oleh PKR yang disokongnya kini selain mengucapkan selamat maju jaya kepada Shahrol jika pelawak itu diberi kepercayaan bertanding pilihan raya.

Shahrol pula memaklumkan kepada media sebelum ini bahawa beliau tidak tahu sama ada bakal dicalonkan dan menyerahkan perkara itu kepada parti.

Berasal dari Kluang, Johor, Shahrol dikatakan sedang dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota, salah satu daripada dua kerusi DUN di Parlimen Kluang selain DUN Mengkibol.

Bagaimanapun, peluang Shahrol untuk dipilih sebagai calon BN mungkin sukar memandangkan nama beliau difahamkan ditolak oleh akar umbi parti termasuk majoriti kepimpinan sayap Pemuda UMNO negeri itu sendiri.

Ura-ura itu diperkuatkan lagi apabila Shahrol yang juga seorang pelakon seolah-olah mula menerima serangan 'politik' baru-baru ini, gara-gara dakwaan satu akaun Twitter mengenai dirinya dikatakan pernah ditamatkan kerja sebagai pegawai imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana terbabit dengan dadah.

Sumber pemimpin muda UMNO Johor mendedahkan sebilangan pucuk kepimpinan Pemuda UMNO negeri itu difahamkan sudah mengemukakan bantahan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekiranya nama pelawak itu dipilih sebagai calon BN.

"Tiada masalah dengan keperibadian Shahrol (Shiro), tetapi beliau masih dianggap baharu dalam UMNO dengan lebih ramai pemimpin muda dianggap lebih layak dan sanggup bersetia kepada UMNO sekalipun kalah teruk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Selain itu, Shahrol dianggap berbeza dengan Dira kerana ADUN Rim itu sememangnya seorang terpelajar dan berlatarbelakangkan keluarga penyokong tegar UMNO walaupun bergelar selebriti.

Shahrol Shiro sempat meluangkan masa berkempen membantu rakan selebriti, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang bertanding di DUN Rim pada PRN Melaka tahun lalu.

"Sebaliknya, Shahrol hanyalah seorang pelawak. Beza Shahrol dan Dira ibarat langit dan bumi," kata sumber pemimpin UMNO Johor berkenaan.

Bagaimanapun, sumber UMNO Johor itu mengakui keputusan akhir terletak pada tangan Pengarah Pilihan Raya BN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menentukan strategi terbaik.

"Apa sahaja keputusan parti, kita akan patuh demi memaksimumkan kemenangan UMNO dan BN pada PRN Johor kelak," ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca