IMEJ Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kian tercalar sejak pendedahan bukti yang membongkar beliau bersama kakitangan pejabat No 10 Downing Street menghadiri kira-kira 12 parti sosial ketika pelaksanaan lockdown pertama di negara itu.... Klik di sini untuk terus membaca

IMEJ Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kian tercalar sejak pendedahan bukti yang membongkar beliau bersama kakitangan pejabat No 10 Downing Street menghadiri kira-kira 12 parti sosial ketika pelaksanaan lockdown pertama di negara itu.

Johnson, 57, kini terpaksa ‘berjuang’ untuk mempertahankan karier politiknya yang ibarat telur di hujung tanduk selepas berdepan desakan untuk meletak jawatan termasuk dalam kalangan anggota parti pemerintah, Parti Konservatif sejak akhir tahun lalu.

Skandal parti sosial itu diburukkan lagi dengan keputusan peletakan jawatan mengejut melibatkan pegawai berprofil tinggi pejabat No 10 termasuk pengarah komunikasi, ketua turus dan setiausaha peribadi beliau pada minggu lalu yang disifatkan sebagai ‘titik akhir’ kepada perjalanan karier politik Johnson.

Ketika ini, beberapa anggota kanan Tory mula mempertikaikan sama ada Johnson adalah individu yang layak untuk memimpin parti tersebut pada pilihan raya akan datang.

Persoalan yang muncul adalah, mampukah beliau membina semula kepercayaan dalam kalangan anggota parti dan pengundi atau adakah kedudukan Parti Konservatif turut terkesan akibat tindakannya yang ‘bersuka-ria’ hingga melanggar perintah lockdown.

Reputasinya semakin buruk selepas buku biografi terbaharu berjudul First Lady: Intrigue at the Court of Carrie and Boris Johnson, hasil tulisan Lord Ashcroft mendakwa keadaan huru-hara di Downing Street berpunca daripada campur tangan isterinya, Carrie yang menjadi ‘penasihat kanan’ yang mengawal urusan kerja dan dasar beliau.

Tinjauan dilakukan Ipsos Mori pada bulan lalu mendapati sokongan ke atas beliau menjunam pada paras terendah iaitu -39 peratus manakala parti pembangkang, Parti Buruh kini mendahului sokongan dengan 32 mata meninggalkan Parti Konservatif akibat pembongkaran skandal ‘partgate’ tersebut.

Pendedahan bekas Ketua Penasihat beliau, Dominic Cummings juga menyebabkan bekas Datuk Bandar London itu dituduh sebagai pemimpin yang hipokrasi tidak hanya oleh pembangkang malah sebahagian besar anggota partinya sendiri.

Pendahulunya, Theresa May turut menyelar No 10 Downing Street kerana gagal mematuhi peraturan yang telah dilaksanakan oleh mereka ke atas orang awam yang dilarang terlibat sebarang aktiviti sosial termasuk menghadiri upacara pengebumian ketika pelaksanaan lockdown tersebut pada 2020.

NASIB JOHNSON

Laporan dikeluarkan Setiausaha Tetap Kedua Pejabat Kabinet, Sue Gray yang mengetuai siasatan ke atas skandal parti sosial itu mendapati berlaku ‘kegagalan dalam kepimpinan dan pertimbangan’ selain pengambilan minuman alkohol secara berlebihan di tempat kerja.

Menurutnya lagi, sebahagian daripada acara sosial itu juga tidak mematuhi peraturan lockdown dan ia tidak wajar diadakan pada masa tersebut.

Bukti daripada 300 keping gambar dan 500 dokumen yang diserahkan kepada Polis Metropolitan London menunjukkan pelanggaran jelas dilakukan Johnson walaupun beliau telah menzahirkan permohonan maaf secara sambil lewa untuk mempertahankan dirinya dan sebagai cubaan meredakan kemarahan orang ramai.

Beberapa media tempatan seperti The Guardian menggelar Johnson sebagai ‘perdana menteri tanpa rasa malu’ kerana bersikap selamba dan menjadikan individu lain sebagai kambing hitam untuk menutup kesalahannya.

Beberapa tajuk muka depan akhbar di Britain yang memaparkan skandal parti sosial Johnson.

Ketika desakan untuk berundur semakin meningkat, Johnson berkemungkinan bakal berdepan undi tidak percaya jika mendapat sokongan 15 peratus anggota Parti Konservatif (54 daripada 360 anggota) yang mengemukakan surat kepada Pengerusi Jawatankuasa 1922, Sir Graham Brady.

Jika proses itu gagal, Johnson akan kekal memegang jawatannya dan tidak boleh dicabar untuk tempoh setahun.

Namun jika sebaliknya, beliau perlu meletak jawatan selain dilarang bertanding dalam pemilihan kepimpinan akan datang.

Pada masa ini, dua anggota parti yang disebut sebagai calon pilihan untuk menggantikan beliau adalah Menteri Kewangan, Rishi Sunak yang mempunyai peranan berprofil tinggi dalam menghebahkan sokongan kerajaan terhadap sektor ekonomi ketika pandemik Covid-19 dan Menteri Luar, Liz Truss yang popular dalam kalangan anggota akar umbi Parti Konservatif.

DULU WARTAWAN

Alexander Boris de Pfeffel Johnson atau Boris Johnson dilahirkan pada 19 Jun 1964 di Upper East Side, New York di Amerika Syarikat (AS), namun dibesarkan di Britain dan dididik untuk berdaya saing oleh kedua-dua ibu bapanya sejak dari kecil.

Johnson merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan pernah mendapat tajaan Biasiswa Raja ketika menuntut di Eton College dan menyambung pengajian di Balliol College dalam pengajian Sastera Purba dan Falsafah Klasik.

Beliau memulakan kariernya sebagai wartawan dengan The Times dan semakin menyinar dalam dunia kewartawanan apabila dilantik sebagai editor majalah The Spectator pada 1995 hingga 2005 selain menjadi kolumnis untuk The Daily Telegraph dan GQ.

Pada Mei 2008, Johnson dipilih sebagai Datuk Bandar London setelah menewaskan Ken Livingstone dan beliau berjaya mengekalkan jawatannya ketika pemilihan semula pada 2012.

Ketika kempen Brexit pada 2015-16, Johnson dengan lantang menyokong kempen ‘undi keluar daripada Kesatuan Eropah (EU)’ dan susulan kemenangannya, beliau dilihat sebagai calon berpotensi untuk menjadi perdana menteri.

Namun, Johnson menolak pencalonan Parti Konservatif yang menyaksikan pelantikan Theresa May.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Setiausaha Luar di bawah kepimpinan May pada 2016 hingga 2018.

Selepas peletakan jawatan oleh May, beliau melancarkan kempen untuk bertanding dan menyingkirkan pesaingnya, Jeremy Hunt dengan 66 peratus undi pada 22 Julai 2019.

Karier beliau sebagai pemimpin kontroversi bermula apabila Johnson mencadangkan Brexit dilaksanakan pada 31 Oktober 2019 dengan atau tanpa perjanjian selain mengesyorkan Pilihan Raya Umum diadakan pada September tahun sama di bawah ‘Akta Parlimen Jangka Tetap’ untuk mengelakkan Britain meninggalkan blok EU tanpa perjanjian.

Perkahwinan Johnson pernah menemui kegagalan sebanyak dua kali sebelum beliau berkahwin dengan Carrie dalam sebuah majlis tertutup di Katedral Westminster pada 29 Mei 2021. - Agensi

Tiada siapa beri amaran kepada saya, parti sosial di Downing Street melanggar peraturan Covid-19.”

Klik di sini untuk terus membaca