PENGGABUNGAN saham (share consolidation) merupakan satu tindakan korporat di mana jumlah saham syarikat digabungkan yang akan menyebabkan berkurang jumlah saham secara keseluruhannya. Tindakan korporat membahagikan unit saham milik pelabur... Klik di sini untuk terus membaca

PENGGABUNGAN saham (share consolidation) merupakan satu tindakan korporat di mana jumlah saham syarikat digabungkan yang akan menyebabkan berkurang jumlah saham secara keseluruhannya.

Tindakan korporat membahagikan unit saham milik pelabur berdasarkan nisbah penggabungan saham yang diumumkan oleh pihak syarikat bertujuan untuk menarik minat orang ramai membeli saham syarikat tersebut apabila berlakunya kenaikkan harga selepas penggabungan.

Perkara yang perlu pelabur ambil tahu apabila penggabungan saham berlaku adalah bilakah tarikh luput pengiraan saham yang digabungkan (ex-date), berapakah nisbah penggabungan dan berapakah unit saham yang akan dimiliki selepas penggabungan tersebut.

Sekiranya anda memiliki saham yang telah membuat penggabungan saham, anda akan mendapati harga saham pegangan anda tiba-tiba meningkat tinggi tetapi unit saham dipegang akan berkurang. Contohnya, nisbah penggabungan adalah dua unit menjadi satu unit, harga saham sebelum berlakunya penggabungan saham ialah RM0.50 dengan pegangan sebanyak 10,000 unit.

Apabila berlakunya penggabungan saham, harga saham setelah berlakunya penggabungan saham akan meningkat ke RM1 tetapi unit pegangan menurun kepada 5,000 unit. Ini bermakna, nilai saham anda sebenarnya kekal sama dan tidak berubah.

Berbeza pula dengan tindakan korporat bagi pecahan saham yang mana harga saham pegangan menurun tetapi unit saham akan bertambah.

Penggabungan saham ini seumpama menukar dua keping wang kertas RM50 menjadi sekeping wang kertas RM100. Nilainya tetap sama iaitu RM100.

KESAN PENGGABUNGAN SAHAM

Selepas ex-date tindakan korporat ini dilaksanakan, harga saham akan diselaraskan menjadi lebih tinggi mengikut nisbah penggabungan. Namun begitu, portfolio anda biasanya akan mengambil masa untuk diselaraskan.

Penyelarasan ini dilakukan secara automatik dalam sistem pelantar broker. Dalam masa tersebut, portfolio akan memaparkan unit pegangan yang banyak beserta harga saham yang tinggi. Sebenarnya tindakan korporat gabungan saham telah pun berlaku.

Pemegang saham syarikat yang melaksanakan gabungan saham ini perlu faham dan mengenalpasti jumlah unit pegangan sebelum menjual pada hari ex-date bagi mengelakkan terlebih jual dan dikenakan denda oleh pihak Bursa Malaysia.

Untuk lebih yakin, para pelabur boleh menghubungi wakil peniaga saham masing-masing bagi mendapatkan maklumat pegangan saham terkini.

Bagi pelabur yang tidak mempunyai pegangan dan ingin membeli ketika ex-date bolehlah membuat transaksi seperti biasa dan tidak akan terlibat dengan sebarang urusan penggabungan saham tersebut.

Jika ditanya adakah ia bagus atau pun tidak, ini bergantung matlamat dan tujuan syarikat melaksanakan penggabungan saham tersebut.

Layari laman web untuk maklumat terkini: https://fb.watch/aXyOeKAA3F/

* MOHD ASRI AHMAD ialah Mentor Pelaburan Saham Syariah

Klik di sini untuk terus membaca