TAMAN Negeri Royal Belum di Perak adalah sebuah habitat semula jadi kepada kehidupan flora dan fauna, termasuk spesies yang kini semakin pupus seperti gajah Asia, harimau Malaya dan tapir Malaya. Taman negeri ini juga merupakan kawasan... Klik di sini untuk terus membaca

TAMAN Negeri Royal Belum di Perak adalah sebuah habitat semula jadi kepada kehidupan flora dan fauna, termasuk spesies yang kini semakin pupus seperti gajah Asia, harimau Malaya dan tapir Malaya. Taman negeri ini juga merupakan kawasan penempatan orang asli terutama dari suku kaum Jahai yang menjadi salah satu sumber tarikan dalam sektor pelancongan.

Bermula daripada sebuah hutan simpan, taman negeri ini berjaya disenaraikan di dalam UNESCO Tentative List sebagai Tapak Warisan Dunia di dalam kategori ‘alam semula jadi’.

Taman negeri ini merupakan sebuah ‘hutan dara’ yang hanya dibuka kepada orang awam selepas tahun 1990. Sektor pelancongan di sini mula mencapai kemuncaknya bermula pada tahun 2015 sehingga tahun 2019 di mana pelancong tertarik dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna (terutama spesies burung enggang dan bunga rafflesia), perkampungan tradisional orang asli, lokasi air terjun dan tapak memancing yang strategik dan penginapan di rumah bot sebagai tarikan terkini.

Namun begitu, terdapat isu-isu yang boleh dikaitkan dengan pemuliharaan alam sekitar, keselamatan pelancong, hala tuju pelancongan eksklusif dan kesan pandemik terhadap pendapatan masyarakat setempat yang harus diambil perhatian.

Kajian mendapati kualiti air di sini agak rendah terutama sekali di kawasan parkir rumah bot, di kawasan memancing dan aktiviti air, kawasan perkampungan orang asli, juga di kem-kem pelancongan. Walaupun ia mungkin dipengaruhi oleh keadaan air tasik yang statik, pelancongan dapat dilihat sebagai faktor yang memberi impak negatif kepada pemuliharaan alam sekitar.

SEMPADAN

Keselamatan pelancong juga diragui kerana kekurangan bilangan anggota polis hutan. Kawalan mereka pula didapati hanya memfokuskan kawasan sempadan negara untuk membanteras operasi penyeludupan dan pencerobohan. Melatih masyarakat orang asli sebagai polis hutan dilihat sebagai satu penyelesaian sesuai berdasarkan kepakaran mereka terhadap selok-belok perjalanan di dalam hutan. Namun, langkah yang lebih strategik perlu diambil untuk jangka masa panjang memandangkan gaya hidup masyarakat orang asli yang tidak menetap lama di sesuatu kawasan.

Hala tuju pelancongan eksklusif yang ditetapkan kerajaan negeri pula harus diperjelaskan. Kos pelancongan di sini dikatakan lebih tinggi daripada taman-taman negeri lain dari segi kos bot laju, permit pelancong dan permit penyelidikan. Walaupun ini penting sebagai langkah mencegah overtourism, ia telah mengehadkan bilangan pelancong, sekali gus mengehadkan pendapatan masyarakat setempat. Pelancong asing pula dikatakan lebih berminat mengunjungi Taman Negara Pahang berbanding di sini kerana statusnya yang lebih terkenal di peringkat antarabangsa dan kemudahan pelancong lebih lengkap.

Terkini, seperti destinasi pelancongan lain, taman negeri ini turut terkesan dengan pandemik Covid-19 apabila bilangan pelancong turun mendadak pada tahun 2020 dan 2021. Beberapa buah hotel dan chalet juga telah berhenti beroperasi secara kekal atau sementara. Pengusaha hotel, rumah bot dan bot pelancongan hanya menerima pelancong tempatan dari Perak disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa mencari pekerjaan alternatif seperti menangkap ikan di laut dan menjalankan perniagaan makanan.

Langkah strategik harus diambil oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi terlibat sebagai penyelesaian kepada isu-isu ini. Ini juga penting bagi mencapai keseimbangan di antara memulihara status Taman Negeri Royal Belum sebagai Tapak Warisan Dunia dan menjadikannya sebuah produk pelancongan eksklusif terpenting bagi negeri Perak.

* Dr Rohaslinda Ramele @ Ramli ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur Bangunan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca