SHAH ALAM - Pembuangan sisa plastik di lautan memberi kesan kepada hidupan marin sehingga membahayakan kelangsungan spesies berkenaan. Pengurus Projek Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), Dylan Wang berkata, hidupan laut seperti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembuangan sisa plastik di lautan memberi kesan kepada hidupan marin sehingga membahayakan kelangsungan spesies berkenaan.

Pengurus Projek Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), Dylan Wang berkata, hidupan laut seperti penyu kebiasaannya akan termakan sisa plastik kerana terkeliru menyangkakan plastik itu adalah makanan.

"Bila mereka makan sisa plastik, perut mereka susah untuk mencerna plastik itu, jadi mereka tidak mendapat nutrisi daripada makanan yang sepatutnya.

"Saya pernah kutip telur penyu sekali keluar dengan sisa plastik. Sebab lama dia tidak bertelur, kita pergi tengok dan kami dapati ada plastik di tempat dia bertelur, jadi kita tarik keluar plastik itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, menurut Dylan, pencemaran plastik yang berterusan di negara ini merupakan satu isu global yang dijangka menyebabkan kepupusan kepada spesies hidupan laut tertentu.

Ujar Dylan, beliau pernah menemui kura-kura besar jenis baning yang mati akibat termakan sisa plastik.

"Saya tanam kura-kura baning itu dan selepas tiga bulan saya keluarkan balik keluar untuk mendapatkan semula tulang-tulang dan cangkerangnya.

"Di dalam cangkerang itu, meskipun organ dalaman kura-kura itu sudah hancur, tetapi sisa plastik masih ada di dalamnya,” ujarnya.

Saintis Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman sebelum ini memberitahu lebih kurang 663 spesies haiwan akuatik termasuk penyu dilaporkan mendapat kesan buruk akibat pencemaran plastik.

"Justeru, semua peringkat dan kepelbagaian hidupan laut berisiko tinggi iaitu daripada plankton sehinggalah haiwan yang besar seperti burung laut, anjing laut, penyu, ikan lumba-lumba dan ikan paus.

"Kira-kira 100 juta mamalia marin terbunuh setiap tahun akibat pencemaran plastik kerana menyangka ia sebagai makanan. Laporan ikan paus mati berpunca daripada plastik juga bukan perkara asing,” kata Haliza.

Penyu

Dalam pada itu, Dylan memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan laut sekali gus menyelamatkan hidupan laut di negara ini.

"Kerajaan memainkan peranan dalam memastikan penggunaan plastik di pasar raya serta kedai-kedai makan dapat dikurangkan.

"Masyarakat sudah pakai plastik selama berpuluh tahun tiba-tiba nak minta mereka tukar tabiat itu, ia agak sukar.

"Jadi kita buat program kesedaran untuk budak-budak di setiap sekolah supaya mereka dapat sampaikannya kepada ibu bapa,” jelasnya.

Tambah Dylan, golongan generasi muda juga berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat pada masa ini.

"Sebab generasi muda kebanyakan mereka bersekolah, tidak sama dengan orang dulu di mana pengetahuan dan kesedaran mereka mengenai perkara ini kurang,” jelas beliau.


INFO


Insiden hidupan laut mati akibat termakan plastik

2022 - Sekurang-kurangnya 15 ekor penyu ditemui mati di pantai Terengganu pada tahun ini. Ini termasuk seekor penyu agar betina mati terdampar di Pantai Kelulut, Marang dipercayai akibat tertelan plastik.

2019 - Ikan yu jantan ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru, Menumbok, Sabah yang disahkan mati akibat termakan beg plastik. Beg plastik sepanjang 46 sentimeter (sm) dan selebar 32sm itu dipercayai menyebabkan halangan fizikal dalam saluran usus ikan yu itu sehingga mengakibatkan kelaparan dan kematian.

2018 - Seekor ikan paus sperma yang ditemui mati terdampar di perairan Pulau Kapota, Taman Nasional Wakatobi, Sulawesi Tenggara, Indonesia didapati menelan hampir enam kilogram plastik termasuk botol dan beg plastik serta tali rafia.

2016 - Seekor ikan paus spesies sei (Balaenoptera borealis) dijumpai mati di muara Sungai Sarang Buaya, Batu Pahat, Johor. Hasil bedah siasat dan ujian histopatologi oleh unit penyelidik serta pakar Institut Penyelidikan Perikanan telah menjumpai cebisan plastik dalam usus dan perut paus tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca