SHAH ALAM - Obsesi penggunaan plastik yang meningkat di negara ini menjadikan Malaysia sebagai penyumbang terbesar pencemaran plastik di Asia. Saintis Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Obsesi penggunaan plastik yang meningkat di negara ini menjadikan Malaysia sebagai penyumbang terbesar pencemaran plastik di Asia.

Saintis Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, peningkatan penggunaan plastik oleh rakyat Malaysia adalah 1.16 kilogram per kapita pada 2018 kepada 16.8 kilogram per kapita pada 2020.

Menurutnya, kini, purata setiap individu menggunakan hampir 20 kilogram plastik setahun dan penggunaan plastik telah meningkat tahun demi tahun selaras dengan pertambahan populasi dan kepesatan pembangunan.

"Kajian Profesor Jenna Jambeck daripada Universiti Georgia mendapati sebanyak 8.8 juta tan plastik berakhir di lautan seluruh dunia setiap tahun, manakala statistik Our World in Data (OWD) merekodkan 8 juta tan (bersamaan tiga peratus bahan buangan plastik global) akan mengalir ke laut menerusi pelbagai saluran. Kajian juga menunjukkan dalam satu kilometer persegi lautan mempunyai 63,000 plastik mikro.

"Pasukan ahli sains yang sama juga mendedahkan Malaysia sebagai pelaku terburuk kelapan di seluruh dunia untuk pembuangan sisa plastik,” katanya.

Mengulas lanjut, Haliza berkata, kerajaan mestilah mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini, termasuk mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas import sisa plastik dari negara lain.

Katanya, ini kerana, meskipun negara sudah membangunkan Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030: Ke Arah Masa Hadapan Yang Lestari keberkesanan pelan tindakan itu masih hambar.

"Kerajaan juga perlu mengatasi pencemaran plastik di daratan terlebih dahulu dengan mengawal pengeluaran dan penggunaan plastik. Antara lain menambah baik dan menggalakkan secara tegas konsep 4R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula), recycle (kitar semula) dan refuse (tolak).

"Program ‘tiada beg plastik percuma’ dan kempen Say No to Straws perlu diterus dan ditambah baik. Perlu juga diwujudkan lebih banyak pusat kitar semula supaya pengguna mempunyai akses untuk melupuskan sampah plastik atau barang yang boleh dikitar semula,” katanya.

Timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan dihantar di kawasan parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi

PERHEBAT KEMPEN

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bakal mengadakan kerjasama dengan Malaysia Recyclers Plastics Association (MRPA) untuk kempen mengurangkan penggunaan barangan berasaskan plastik.

Pengarah Komunikasi dan Mobilisasinya, Saral James Maniam berkata, kerjasama itu mampu menggandakan usaha FOMCA dalam mendidik orang ramai khususnya tentang penggunaan beg plastik.

"Kerjasama ini kita akan laksanakan sedikit masa lagi dan ia adalah antara usaha besar kita pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Saral berkata, pengguna di negara ini masih belum mempunyai kesedaran sepenuhnya tentang kesan bahan tersebut kepada alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penggunaan beg plastik yang dikategorikan masih tinggi meskipun bayaran dikenakan bagi setiap penggunaan beg plastik di pasar raya dan kedai 24 jam.

Menurut beliau, meskipun polisi diperingkat kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah mengharamkan penggunaan beg plastik di semua premis di seluruh negara dan telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri, namun di peringkat pengguna belum ia belum berjaya.

"Mengapa saya cakap belum berjaya adalah kerana didikan dan kesedaran orang ramai itu belum menyeluruh meskipun caj 20 sen bagi penggunaan sekeping beg plastik itu dianggap mahal,” katanya.

"Sebagai contoh sampah di rumah kita tak pernah asingkan pun, selalunya bila kita buang, semua jenis bahan ada dalam bungkusan sampah itu, tapi anak-anak kita di sekolah dah dididik untuk asingkan sampah jadi kesedaran ini sebenarnya bermula dari rumah,” jelasnya.

Selain daripada itu katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat boleh memainkan peranan di kawasan masing-masing.

"PBT mungkin bantu dari segi penguatkuasaan sebagai contoh sampah yang dikutip juga diasingkan mengikut kategori oleh lori pemungut sampah, barulah orang nampak kepentingan pengasingan sampah berkenaan,” tegasnya.

Saral berkata, selain diwujudkan banyak lokasi untuk kitar semula, ahli majlis PBT setiap kawasan juga boleh membantu memandangkan kesedaran masyarakat di luar bandar khususnya masih rendah.

"FOMCA sendiri setiap tahun mengadakan kempen melalui pertandingan yang diadakan di peringkat sekolah, pun begitu tanpa kerjasama daripada semua pihak kempen pengurangan penggunaan beg plastik ini tidak akan berjaya,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca