SHAH ALAM - Hidupan laut dan garam yang menjadi antara sumber makanan manusia kini semakin tercemar dengan bahan kimia berpunca daripada plastik yang dibuang ke laut. Pencemaran hidupan laut itu sekali gus akan memberi kesan kronik ke atas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hidupan laut dan garam yang menjadi antara sumber makanan manusia kini semakin tercemar dengan bahan kimia berpunca daripada plastik yang dibuang ke laut.

Pencemaran hidupan laut itu sekali gus akan memberi kesan kronik ke atas kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan mutasi yang mengakibatkan kanser.

Pakar saintis alam sekitar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia juga tidak terkecuali berdepan risiko kesihatan itu akibat ketidakupayaan menguruskan sampah plastik sehingga mengakibatkan pencemaran plastik ke laut.

Menurutnya, secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia setiap tahun yang sebahagian besarnya berakhir di lautan.

"Kajian menganggarkan negara menghasilkan 0.94 juta tan sisa plastik tidak terurus dan 0.14 hingga 0.37 juta tan mungkin memasuki lautan.

"Sekiranya sampah plastik tidak diurus dengan baik, ia akan mewujudkan sebuah pulau sampah plastik di tengah lautan akibat bawaan air hujan ke sungai dan kemudian mengalir ke laut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, sampah plastik yang terapung di laut menyerap bahan pencemar yang sangat toksik dan berbahaya seperti polychlorinated biphenyls (PCBs), chlorinated pesticides (DDT) dan polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH).

Katanya, apabila plastik dimakan oleh haiwan di lautan, ia akan menyebabkan bahan kimia yang terdapat di dalamnya menyerap ke dalam tisu haiwan berkenaan seterusnya memberi ancaman besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari oleh mikroplastik dan nanoplastik.

"Partikel kecil plastik yang kekal dalam lautan selama berabad ini bukan sahaja mengancam hidupan marin, sebaliknya turut mencemarkan keseluruhan ekosistem marin,” ujarnya.

KESAN BURUK KEPADA MANUSIA

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam berkata, kebanyakan plastik mengandungi bahan kimia tambahan dan bahan cemar berisiko toksik yang memudaratkan kesihatan.

Menurutnya, bahan kimia tersebut boleh berpindah daripada dalam plastik ke permukaan atau terus kepada medium yang terdedah kepadanya.

"Jadi, plastik dalam barang-barang kegunaan harian seperti pembungkus makanan boleh melarut resap ke dalam makanan dan aliran darah manusia.

"Ia juga dapat diserap dan bioakumulasi ke dalam tisu organisma dan seterusnya mencemari rantai makanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hidupan laut dan garam yang menjadi antara sumber makanan manusia kini semakin tercemar dengan bahan kimia berpunca daripada plastik yang dibuang ke laut. - Foto hiasan Bernama

Mageswari memberitahu, kajian menunjukkan penggunaan biasa bungkusan plastik untuk makanan akan merembes mikroplastik dan nanoplastik ke dalam makanan dan minuman.

Tambah beliau, saintis juga telah menyuarakan kebimbangan bahawa pendedahan kepada mikroplastik boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya.

"Antaranya, kesan radang yang dikaitkan dengan kanser, penyakit jantung, penyakit radang usus, artritis dan reumatoid.

"Selain itu, boleh juga berlaku keracunan gen seperti kerosakan yang menyebabkan mutasi dan membawa kepada kanser, penyakit aterosklerosis, kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular dan penyakit autoimun seperti diabetes jenis 1, sklerosis berbilang dan radang usus.

"Banyak haiwan memakan plastik dengan menyalah anggapnya sebagai makanan yang menyebabkan boleh terjerat atau tercekik oleh plastik.

"Yang pada akhirnya mengakibatkan kelaparan, perforasi atau bocor perut, dan tekanan keseluruhan, yang memberi kesan negatif terhadap hayat, tingkah laku dan keupayaan pembiakan haiwan tersebut,” ujarnya.

Menurut Mageswari, kerajaan perlu mengurangkan penggunaan plastik secara menyeluruh dengan mengawal penghasilan bahan tersebut.

Tambah beliau, dalam Persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA 5.2) yang bakal berlangsung pada akhir Februari ini, satu resolusi akan dibincangkan untuk memulakan rundingan ke arah suatu perjanjian global baharu bagi menangani isu pencemaran plastik.

"Perjanjian global baharu ini perlu menghapuskan kesan toksik plastik sepanjang kitaran hayatnya iaitu daripada pengeluaran, penggunaan dan pelupusan.

"Ia juga harus menyediakan remedi kepada komuniti yang terjejas dan mengurangkan kesan toksik plastik dan bahan tambahan toksiknya.

"Justeru, kami menyeru agar kerajaan Malaysia turut menyokong resolusi Rwanda-Peru bagi rundingan treati plastik global ini,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca