AKHIRNYA selesai juga kemelut yang menggemparkan arena sukan badminton negara melibatkan pemain ranking ketujuh dunia Lee Zii Jia yang tekad meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi memenuhi cita-cita bergelar seorang pemain... Klik di sini untuk terus membaca
AKHIRNYA selesai juga kemelut yang menggemparkan arena sukan badminton negara melibatkan pemain ranking ketujuh dunia Lee Zii Jia yang tekad meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi memenuhi cita-cita bergelar seorang pemain profesional.

Hasil pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan tertinggi BAM, iaitu Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Timbalan Presiden 1, Datuk V Subramaniam dan Timbalan Presiden 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos serta juara Seluruh England itu baru-baru ini telah merealisasikan impian Zi Jia.

Pertemuan tersebut turut dihadiri bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei yang juga dikenakan penggantungan dua tahun oleh BAM sebelum ini daripada menyertai mana-mana kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah meninggalkan badan itu atas alasan kesihatan.

Kedua-dua pemain kini dibenarkan berpisah dari BAM dengan persetujuan bersama tanpa sebarang tindakan lanjut dikenakan ke atas mereka malah turut layak mendaftar kejohanan antarabangsa berkuat kuasa serta-merta.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (Uitm) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, kemelut antara Zii Jia dan BAM perlu menjadi penanda aras untuk melakukan anjakan paradigma.

"Apabila seorang jaguh badminton mahu keluar daripada BAM untuk bergelar pemain profesional tidak semestinya perkara itu harus dipandang daripada sudut negatif," ujarnya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Jelasnya, di luar negara perkara seumpama ini sudah lama berlaku dan ia dianggap normal dan tidak bermakna apabila ahli sukan atau atlet tidak bernaung di bawah satu badan induk, mereka tidak boleh mewakili negara.

"Lihat contoh pemain tenis profesional di luar negara walaupun bergerak secara bebas (independent) mereka tetap memberi komitmen penuh sekiranya dipanggil badan induk untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan atau kejuaraan," katanya lagi.

Tambah Mohd Sadek, berikutan tercetusnya kemelut ini, satu mekanisme baharu bagi membolehkan badan induk mendapat pulangan berdasarkan konsep menang-menang juga boleh diwujudkan.

"Mungkin selepas ini boleh diusahakan satu 'exit policy' berkaitan isu perjanjian yang akan memberi manfaat kepada badan induk sukan sekiranya atlet kendalian mereka mahu bergerak solo.

"Malah di luar negara, terdapat badan sukan yang membangunkan prestasi atlet ke tahap profesional kemudian 'menjual' bakat mereka sekali gus mendapatkan pulangan," katanya.

SH - Sukan sebagai kerjaya

Daripada satu sudut lain, Mohd Sadek berkata, insiden BAM-Zii Jia juga menampakkan ruang dan peluang untuk lebih ramai atlet bergelar profesional dan menjadikan sukan satu kerjaya.

"Tidak mustahil apa yang berlaku kepada BAM ini berlaku kepada badan induk sukan lain. Buktinya di Eropah, senario ini berlaku dalam sukan melibatkan olahraga dan juga renang yang bergerak secara profesional," katanya lagi.

Situasi BAM-Zii Jia ini juga boleh dilihat sebagai endors nilai profesionalisme di mana satu badan induk sukan itu seharusnya terbuka apabila para pemainnya mahu bergerak sebagai profesional.

Namun begitu, Mohd Sadek mengingatkan cabaran yang perlu didepani sekiranya mahu menjadikan bidang sukan sebagai satu kerjaya.

"Cabaran terbesar atlet adalah untuk memastikan prestasi berada dalam keadaan terbaik demi meyakinkan para penaja untuk terus membuat pelaburan.

"Sekiranya bertanding secara kompetitif, seorang atlet itu umumnya mempunyai 15 tahun maksimum untuk memberikan prestasi yang terbaik. Selepas umur 30 tahun kebanyakan atlet akan mengalami penurunan prestasi, itu pun sekiranya tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Mohd Sadek menambah, pelbagai peluang datang apabila prestasi atlet sedang memuncak jadi tidak timbul soal mengambil kesempatan terhadap glamor dan wang ringgit yang datang daripada segala macam penajaan.

"Begitu juga dengan situasi Zii Jia, pasti ramai yang berminat mahu menyambar dan memberi peluang kepada beliau sekiranya meninggalkan BAM.

"Tetapi saya pasti jaguh muda itu tidak akan menggadaikan kepentingan negara hanya semata-mata untuk kuasa dan wang ringgit," katanya. Klik di sini untuk terus membaca