Itulah persoalan yang mungkin sedang bermain dalam fikiran setiap seorang kakitangan agensi kerajaan terbesar itu sejak kecoh surat dalaman berhubung soal integriti tersebar dan menjadi viral.
Benar sepertimana yang dikatakan, pada pagi Isnin, SPRM telah menyerbu dan merampas beberapa dokumen penting daripada Mara Corp.
Sebelum itu, iaitu beberapa hari yang lalu, tular di media sosial satu dokumen berbentuk sepucuk surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corp, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun untuk melakukan siasatan dalaman terhadap lima pegawai tinggi Mara Corp yang dikatakan telah menyalahguna kedudukan mereka.
Surat bertarikh 30 Januari itu mengandungi dakwaan-dakwaan yang berat ke atas lima orang pegawai yang nama mereka turut disebut dan disenaraikan.
Selepas kandungan surat itu didedahkan, Azizah pula dalam reaksi segera pada Jumaat lalu berkata, pihaknya tidak memandang ringan akan kes ini dan sedang melakukan siasatan dalaman.
Bagaimanapun, Azizah pada masa yang sama menafikan berlakunya sebarang salah guna kuasa atau salah urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya.
Sementara itu, Sinar Harian dimaklumkan, lima pegawai kanan Mara Corp yang nama mereka disebut di dalam surat yang dihantar kepada Azizah atas pelbagai dakwaan salah laku beranggapan semua tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka adalah palsu dan sengaja ditimbulkan bagi menutup isu sebenar iaitu penggunaan kad kredit syarikat oleh seorang ahli Lembaga Pengarah Mara Corp.
"Aktiviti beliau dapat dikesan oleh pegawai Mara Corp yang telah mengemaskini akaun perbelanjaan kad kredit korporat syarikat di mana ia telah melanggar polisi penggunaan kemudahan tersebut untuk kegunaan atau aktiviti lain," kata satu sumber.
Susulan itu, kelima-lima individu berkenaan telah membuat laporan polis secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan yang Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka Kertas Enkuari Polis (KEP) berhubung kes lima pegawai Mara yang didakwa terbabit dengan isu integriti dan salah guna kuasa.
"Saya sahkan bahawa polis sudah membuka kertas KEP," katanya. Klik di sini untuk terus membaca