SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan tujuh individu bagi melengkapkan Kertas Enkuari Polis (KEP) susulan laporan polis dibuat lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan tujuh individu bagi melengkapkan Kertas Enkuari Polis (KEP) susulan laporan polis dibuat lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi wartawan Sinar Premium, mengesahkan ketujuh-tujuh saksi berkenaan dipanggil memberi keterangan secara berasingan, pada Ahad dan Isnin.

"Setakat ini, kita sudah selesai merekodkan keterangan daripada tujuh individu termasuklah lima daripadanya adalah pegawai Mara yang membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, pada Ahad lalu bagi menafikan pembabitan mereka dalam salah laku syarikat Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp).

"Hari ini, kita panggil dua lagi saksi penting termasuk Pengarah Bahagian Undang-Undang Mara Corp dan Ketua Pengarah Mara bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Ketua Pengarah Mara, direkodkan keterangannya selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, hari ini (Isnin) berhubung penyebaran dokumen syarikat terbabit,” katanya.

Noor Dellhan berkata demikian ketika mengulas berhubung perkembangan terkini siasatan susulan tindakan polis membuka kertas KEP selepas laporan dibuat oleh lima pegawai Mara di Balai Polis Dang Wangi, pada pagi Ahad lalu.

Noor Dellhan

Terdahulu, lima pegawai Mara membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, pada Ahad lalu bagi menafikan dakwaan terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa seperti yang dilaporkan dalam satu dokumen yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut sumber, mereka turut mendakwa individu yang menandatangani dokumen berkenaan melakukan fitnah terhadap mereka.

Salah seorang daripada mereka turut mengesyaki individu yang menandatangani dokumen itu cuba mengalih perhatian Pengerusi Mara terhadap isu salah guna kuasa yang dilakukan salah seorang ahli lembaga Pengarah Mara Corp.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, polis juga akan merakam keterangan seorang lagi pegawai Mara sebaik beliau tamat menjalani kuarantin akibat jangkitan Covid-19, pada Sabtu ini.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas KEP dan akan menyerahkannya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila ia siap kelak untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, Noor Dellhan berkata, polis tidak menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kad kredit yang didakwa dilakukan oleh seorang Ahli Lembaga Pengarah Mara Corp kerana difahamkan perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang.

Berikutan itu, SPRM, pada pagi Isnin menyerbu sekurang-kurang tiga pejabat berkaitan Mara di ibu negara bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.

Beberapa pegawai SPRM hadir di pejabat berkenaan bermula kira-kira jam 10.30 pagi Isnin dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan yang boleh membantu siasatan.

Selain ibu pejabat Mara di Jalan Mara, pegawai SPRM juga ke syarikat pelaburan Mara dan sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi itu.

Klik di sini untuk terus membaca