WABAK Covid-19 telah menyebabkan ekonomi global pada tahun 2020 mengecut sehingga 3.1 peratus. Kawalan pergerakan dan sekatan sempadan menyebabkan gangguan terhadap bekalan logistik serta tenaga kerja sektor industri. Antara sektor yang... Klik di sini untuk terus membaca

WABAK Covid-19 telah menyebabkan ekonomi global pada tahun 2020 mengecut sehingga 3.1 peratus. Kawalan pergerakan dan sekatan sempadan menyebabkan gangguan terhadap bekalan logistik serta tenaga kerja sektor industri. Antara sektor yang terkesan teruk adalah industri.

Walaupun demikian, salah satu industri yang tidak terkesan dengan kegawatan ekonomi global ialah industri aset atau platform berkaitan pertahanan. Sebahagian besar merupakan firma-firma yang menghasilkan produk pertahanan diperakui mutu serta kemampuannya.

Penjualan sistem persenjataan oleh 100 firma terkemuka global pada tahun 2020 adalah 17 peratus lebih tinggi berbanding 2015 dan merupakan tahun keenam berturut-turut menyaksikan peningkatan berterusan.

Sebanyak 41 buah firma industri pertahanan Amerika Syarikat melaksanakan penjualan keseluruhan berjumlah AS$285 bilion pada 2020, menyaksikan peningkatan 1.9 peratus berbanding 2019. Gabungan lima firma pertahanan China pula mencecah jualan bernilai AS$66.8 bilion yang merupakan peningkatan 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

26 buah firma Eropah Barat, keseluruhannya berjaya mengaut kontrak penjualan berjumlah AS$109 bilion. Pemain-pemain industri pertahanan Britain terdiri daripada tujuh firma utama membuat penjualan bernilai AS$37.5 bilion, satu peningkatan 6.2 peratus berbanding tahun 2019. Empat firma Jerman pula menyaksikan penjualan bernilai AS$8.9 bilion, peningkatan 1.3 peratus.

Empat firma Korea Selatan membuat penjualan bernilai AS$6.5 bilion. Ini merupakan peningkatan 4.6 peratus berbanding 2019. Tiga firma India turut menyaksikan peningkatan 1.7 peratus.

MEROSOT SEDIKIT

Hanya dua negara mengalami kemerosotan dalam penjualan produk pertahanannya di peringkat global iaitu Perancis dan Rusia. Penjualan oleh firma Perancis jatuh sehingga 7.7 peratus berbanding 2019. Faktor utama kemerosotan berpunca daripada kelewatan firma Dassault dalam penghantaran pesawat tempur pelbagai misi jenis Rafale kepada negara pembeli.

Tidak semua firma Perancis mengalami penurunan jualan. Firma Safran umpamanya, yang menghasilkan sistem pejera elektronik dan navigasi menyaksikan peningkatan dalam jumlah jualannya pada tahun 2020.

Kemerosotan penjualan produk pertahanan paling terjejas pada 2020 ialah Rusia. Industri pertahanannya mengalami kemerosotan penjualan dari AS$28.2 bilion pada 2019 kepada AS$26.4 bilion iaitu penurunan 6.5 peratus. Walaupun demikian, seperti Perancis, firma tertentu Rusia seperti United Aircraft Corporation menyaksikan lonjakan penjualan sehingga 16 peratus berbanding tahun 2019.

Antara penyebab penurunan jualan oleh firma Rusia berpunca dari Moscow yang melaksanakan polisi agar menjelang tahun 2025, 30 peratus produk firma pertahanan mestilah berbentuk produk kegunaan awam, manakala menjelang 2030, peratusan perlu mencapai 50 peratus dari keseluruhan produk dihasilkan.

Apa yang jelas ialah industri pertahanan, sekiranya diuruskan dengan baik dan menghasilkan produk berkualiti bakal mempunyai daya kelangsungan operasi tinggi, walaupun ketika ekonomi global menguncup.

Peranan pihak kerajaan sesebuah negara turut memberi impak kepada kekuatan industri pertahanan. Langkah diambil oleh firma pertahanan Amerika Syarikat ialah mengadakan usaha sama dan penggabungan. Ini membolehkan mereka menawarkan harga lebih baik kepada pelanggan dan memudahkan proses logistik dan pemasaran.

India pada tahun 2020 umpamanya telah melarang pengimportan beberapa jenis peralatan ketenteraan dari luar untuk mempertingkatkan daya mandiri serta penghasilan peralatan oleh firma tempatan. Pada 2021, Indonesia mengambil langkah sama seperti Amerika Syarikat dengan memperkasakan Badan Usaha Milik Negara (BUMN) atau di negara ini dikenali sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan yang berkecimpung dalam bidang industri pertahanan.

Perkara sama rasanya telah sekian lama dilaksanakan di negara ini. Antaranya, penggabungan firma industri, pelan mewujudkan kawasan industri pertahanan bersepadu dan penubuhan pelbagai jawatankuasa di peringkat industri serta kementerian berkaitan.

Namun kenapa sehingga hari ini kita masih gagal menghasilkan produk bernilai tinggi di pasaran pertahanan global dan menjana pendapatan kepada ekonomi negara?

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca